Oktober 18, 2024

Search
Close this search box.
A

JOHOR BAHRU, 24 Jul. – Dalam dunia akademik dan sukan, jarang kita menemui individu yang mampu menguasai kedua-dua bidang dengan cemerlang. Namun, bagi Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian yang lebih mesra disapa dengan panggilan ‘Dr. JJ’ itu bukanlah mustahil. Beliau bukan sahaja mengharumkan nama institusi ini melalui penyelidikan dan penerbitan dalam bidang kejuruteraan elektrik, tetapi juga mengukir nama dalam arena sukan lawan pedang (fencing)  sejak sekian lama. Seperti dua sisi pada wang syiling, Dr. Jasrul membuktikan dengan dedikasi, semangat, dan disiplin yang tinggi, kejayaan boleh dicapai pada kedua-dua bidang yang dimiliki.

A
Dr Jasrul (kanan) ketika berlatih lawan pedang bersama salah seorang anak didiknya

Meskipun lebih dikenali menerusi kepakaran dalam bidang tenaga boleh diperbaharui terutamanya tenaga solar PV, minat dan dedikasinya melangkaui sempadan akademik. Kehidupan hariannya tidak berdiam di bilik kuliah dan makmal penyelidikan semata-mata. Dr. Jasrul sebenarnya tangkas dalam arena sukan lawan pedang sejak sekian lama. Beliau merupakan seorang atlet sukan lawan pedang yang berjaya, satu sukan yang jarang diceburi tetapi memerlukan kecerdasan mental dan fizikal yang tinggi.

“Saya mula berkecimpung dalam sukan ini sejak di bangku sekolah, lebih tepat ketika di Tingkatan 4 semasa bersekolah di Sekolah Teknik pada tahun 2001. Buat pertama kalinya pada tahun itu Malaysia ingin mengaktifkan acara lawan pedang lawan pedang bagi SUKMA 2002. Maka, apabila pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mencari bakat bagi acara ini, saya akhirnya terpilih menjadi salah seorang atlet yang mewakili Selangor pada SUKMA 2002,” ujar Dr Jasrul.

Bagi Dr. Jasrul, sukan lawan pedang adalah lebih daripada sekadar hobi. Ia adalah medan yang mengajarnya tentang ketenangan, strategi, dan keupayaan untuk membuat keputusan pantas. Kenyataan ini menunjukkan bagaimana sukan ini membentuk sikap dan pandangannya dalam menghadapi cabaran kehidupan.

“Prinsip yang saya pegang adalah tidak berputus asa dan prinsip ini juga yang saya terapkan dalam kehidupan akademik dan pekerjaan profesional saya,” tambah beliau.

Selain keunikan sukan lawan pedang itu sendiri, sukan ini juga antara sukan yang menjadi pilihan utama bagi mana-mana badan di peringkat antarabangsa untuk menjustifiksai penawaran biasiswa kepada pelajar. Justeru, penglibatan dalam sukan lawan pedang memberi banyak kelebihan dalam konteks yang pelbagai.

A

Selain sibuk dengan tugas sebagai seorang pensyarah yang perlu memenuhi 7P, beliau juga memenuhi tuntutan tugas sebagai pengetua di Kolej Perdana dan pengarah bagi salah sebuah syarikat hiliran (spin-off) UTM iaitu Sustainable and Innovation Engineering Sdn. Bhd. Meskipun jadual harian beliau telah padat dipenuhi dengan pelbagai urusan, namun itu tidak sedikit pun memudarkan semangat beliau untuk tetap bergiat aktif dalam sukan lawan pedang ini. Bagi Dr. Jasrul kesihatan merupakan aset yang sangat penting. Justeru sesibuk manapun beliau, beliau tetap konsisten meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam setiap hari untuk berlatih lawan pedang bersama anak-anaknya.

Tidak hanya berhenti di situ, Dr. Jasrul juga mengambil inisiatif untuk mempromosikan sukan lawan pedang di UTM. Selepas mendapati bahawa sukan ini semakin kurang mendapat sambutan pasca COVID-19, beliau bersama rakan-rakan atlet dan bekas atlet menubuhkan kelab sukan lawan pedang untuk anak-anak UTM dan pelajar sekitar. Dengan sokongan dan tajaan daripada Masjid Sultan Ismail (MSI), kelab ini berjaya melahirkan bakat-bakat baharu yang telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan. Dr. Jasrul berharap suatu hari nanti kelab ini dapat melahirkan atlet Malaysia yang berjaya di peringkat antarabangsa.

A

Pencapaian peribadi Dr. Jasrul dalam sukan lawan pedang termasuklah menyertai Malaysia Open selain mewakili Selangor dalam SUKMA 2002. Namun, beliau mengakui bahawa cabaran terbesar dalam sukan ini adalah mendisiplinkan diri.

“Disiplin adalah kunci kejayaan. Kita perlu mengatur masa dengan baik dan memastikan setiap tanggungjawab dan aktiviti dapat dilaksanakan dengan seimbang,” katanya.

Menjadi salah seorang alumni kebanggaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), taat setia Dr. Jasrul terhadap alma maternya ini dapat dilihat menerusi ketiga-tiga peringkat pendidikan tinggi dan lanjutannya di sini. Pemegang Ijazah Kedoktoran dalam bidang kejuruteraan elektrik (kuasa) dari UTM ini, kini menabur bakti sebagai pensyarah di Jabatan Elektrik Kuasa, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM Johor Bahru.

IMG WA
Dr Jasrul (kanan) ketika memantau pasukannya memasang panel solar PV dalam satu projek CSR kepada komuniti nelayan di Mersing baru-baru ini

Dr. Jasrul bukan sahaja seorang pensyarah yang berdedikasi, tetapi juga seorang penyelidik terkemuka yang terlibat dalam pelbagai projek penyelidikan dan perundingan bersama syarikat-syarikat gergasi seperti Petronas dan Tenaga Nasional Berhad. Kepakaran beliau dalam kejuruteraan elektrik kuasa merangkumi sistem perlindungan, tenaga boleh baharu, dan teknologi lain yang berkaitan dengan power utility. Penyelidikan terkini Dr. Jasrul berkaitan dengan sistem penyimpanan tenaga melalui bateri atau BESS (Battery Energy Storage System), yang penting dalam mencapai sasaran Malaysia untuk mencapai 70% tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050 menerusi program NTEP.

“Negara kita sedang bergerak ke arah 70% tenaga boleh baharu. Itu adalah apa yang Malaysia target daripada transisi tenaga dan salah satu elemen yang sangat kritikal dalam 70% tenaga boleh baharu tersebut adalah tenaga solar PV dan penyimpanan tenaga bateri yang kita gelar sebagai BESS. Penyelidikan kami merangkumi bagaimana untuk kita adaptasi BESS dan solar yang ada untuk disesuaikan di Malaysia” ulas beliau.

IMG WA

Sebagai seorang yang ‘multitalented’ dan ‘versatile’, Dr. Jasrul memberikan nasihat kepada golongan muda, terutama mahasiswa dan mahasiswi UTM, untuk tidak hanya fokus kepada akademik tetapi juga melibatkan diri dalam kokurikulum.

“Pesanan saya kepada mahasiswa mahasiswi UTM, saya setuju akademik merupakan priority atau tujuan dan matlamat utama kita masuk ke universiti. Namun, dalam masa yang sama kita perlu maklum bahawa pihak industri pun melihat kepada penglibatan kita dalam kokurikulum baik dalam persatuan mahupun sukan.

“Nasihat saya kepada semua mahasiswa, mahasiswi keluarlah daripada bilik. Janganlah lepas kuliah terus lepak dalam bilik dan sebagainya. Kesihatan adalah perkara yang paling penting, Amanah yang diberikan kepada kita. Maka kita perlu pastikan diri kita sentiasa sihat supaya kita dapat aktif dalam pelbagai aktiviti lain yang disediakan di universiti,” ujarnya.

Dengan kepakaran dalam kejuruteraan elektrik dan ketangkasan dalam sukan lawan pedang, beliau telah membuktikan bahawa seseorang boleh mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang dengan usaha dan disiplin yang tinggi. Ia menjadi motivasi kepada generasi muda, untuk terus mengejar impian mereka, sambil mengekalkan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.

Explore More