November 4, 2024

Search
Close this search box.

Bengkel Penguasaan AI GEMPAK perkasa komuniti PPR Seri Semarak

KUALA LUMPUR, 14 Jul. – Bengkel Penguasaan AI, sebahagian daripada Projek Gelombang Eksplorasi Melalui Penguasaan AI dalam Komuniti (GEMPAK), telah diadakan pada 14 Julai 2024 di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur. Projek GEMPAK adalah inisiatif yang bertujuan memberikan peluang kepada komuniti B40 untuk mempelajari dan menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI), dengan matlamat meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial mereka. Program ini menyediakan platform bagi peserta meneroka potensi AI dalam pelbagai aspek kehidupan harian dan kerjaya mereka.

Projek GEMPAK ini diketuai oleh Dr. Nurul Aini Bani, dibantu oleh penyelidik dari Kumpulan Penyelidikan Elektrofisiologi, Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur. Bengkel ini berjaya menarik minat 20 orang peserta dari pelbagai latar belakang dan status ekonomi.

Selain itu, bengkel ini juga menjemput seorang pelatih eUsahawan yang diiktiraf oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai penceramah luar. Beliau berkongsi pengetahuan mendalam mengenai aplikasi dan potensi AI dalam pelbagai bidang, serta memberikan panduan praktikal tentang cara menggunakan alat bantu AI untuk meningkatkan produktiviti dalam perniagaan.

Peserta bengkel diajar cara menggunakan perisian ChatGPT dengan betul dan efektif, menyediakan prompt untuk penjanaan gambar AI melalui beberapa platform, serta memperkasakan penggunaan Canva untuk menyediakan kandungan media sosial yang dapat menjana pendapatan. Setiap peserta juga diberikan modul asas penguasaan AI dan dibimbing secara berterusan selepas program berakhir untuk memastikan ilmu yang diperoleh dapat diterapkan dengan berkesan.

Para peserta tekun mendengar penerangan dari penceramah jemputan
Peserta mencuba salah satu aplikasi AI yang diajar semasa bengkel
Teknik face swap adalah antara yang diajar semasa bengkel

Program ini disokong oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM, Institute of Electronics and Electrical Engineers (IEEE) Kuala Lumpur Subsection, Arus Infiniti Sdn. Bhd., dan Pusat NADI. Persatuan Penduduk PPR Seri Semarak, Kuala Lumpur juga memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan bengkel ini.

Bengkel ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai kecerdasan buatan, tetapi juga membekalkan mereka dengan kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian dan kerjaya. Para peserta meluahkan kegembiraan dan kepuasan mereka terhadap bengkel ini, serta berharap lebih banyak program seperti ini akan diadakan untuk memperkasakan masyarakat.

Projek GEMPAK terus komited dalam usaha membawa manfaat teknologi terkini kepada komuniti dan berharap lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program-program yang akan datang.

Explore More