November 10, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

Aplikasi projek STEM dunia sebenar untuk pelajar Orang Asli

KUALA LUMPUR, 6 Jul. – Sebanyak 58 peserta yang terdiri daripada anak-anak orang asli dari pelbagai suku kaum berumur 13-17 tahun telah mengambil bahagian dalam program “Aplikasi Projek STEM Dunia Sebenar (STEM PjBL) untuk Pelajar Orang Asli” yang berlangsung di Asrama Darul Falah (ASDAF) di Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang cara menyelesaikan projek dunia sebenar dengan kaedah yang betul serta merekabentuk produk sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berdasarkan tema projek yang diberikan.

WhatsApp Image at
Dr. Ayuni selaku ketua projek memberi penerangan kepada para pelajar.

Program ini diketuai oleh Dr. Nur Ayuni dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), dan dibantu oleh para fasilitator STEM yang terdiri daripada beberapa pensyarah dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Selain itu, wakil-wakil industri seperti Encik Mohd Noor dari CMN Digylearn Sdn. Bhd., Dr Habibah dari Khayrin Faqir Resources (KFR) serta Encik Muhammad Ikram dari Pusat Tuisyen Budak Rajin juga turut serta dalam membantu para pelajar menjalankan projek STEM yang diberikan.

WhatsApp Image at ()
Sesi pembahagian kumpulan dibantu oleh Dr. Roslina dan Dr. Hayati.

Program dimulakan dengan slot modul pertama bertajuk “Carilah Solusimu!”. Untuk slot ini, para peserta diperkenalkan dengan 5 kaedah sistematik dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar (real world problem) yang dikongsikan oleh Dr. Ayuni, dibantu oleh Dr. Roslina dan Dr. Hayati sebagai pengerusi majlis ketika itu.

Modul kedua , yang dinamakan “STEM Survivor,” menekankan kepentingan kerjasama, kepimpinan dalam kumpulan serta kepantasan dalam menyelesaikan masalah menggunakan 5 kaedah penyelesaian masalah yang pelajar pelajari dari modul pertama. Dalam modul ini, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dibimbing oleh fasilitator UTM berpengalaman. Setiap kumpulan memilih seorang ketua survivor (KS) untuk mengetuai aktiviti. KS diberikan satu senario masalah dunia sebenar yang kemudian dikongsi dengan ahli kumpulan untuk pembahagian tugas. Peranan ahli kumpulan termasuklah sebagai pemikir, pencari bahan solusi, penganalisis, dan pembentang projek. Kumpulan-kumpulan ini diberikan masa tertentu untuk mengenalpasti masalah dan solusi, mencari maklumat yang relevan, menjalankan solusi, menyemak hasil, dan menganalisis keputusan mereka.

WhatsApp Image at
Pelajar sedang cuba untuk merekabentuk model STEM yang diperlukan.
WhatsApp Image at ()
Para pelajar bersemangat mengumpul bahan untuk membina replika model mereka.

Aktiviti ini bukan sahaja mengasah kemahiran analitikal peserta tetapi juga mampu memupuk semangat kerja berpasukan. Para pelajar perlu bergerak dalam pasukan dan mencari bahan alami untuk digunakan bagi menyelesaikan masalah yang kumpulan mereka perlu selesaikan. Bagi pelajar, program ini bukan sahaja memperkasakan mereka dengan kemahiran STEM yang kritikal tetapi juga meningkatkan keyakinan mereka dalam menerapkan ilmu ini untuk menyelesaikan masalah harian. Program ini membuka mata mereka kepada pelbagai kemungkinan dan peluang dalam bidang STEM yang sebelum ini mungkin tidak pernah mereka bayangkan. Dari sudut pandang komuniti, program ini membantu mengangkat taraf pendidikan dan pengetahuan sains dan teknologi dalam kalangan anak-anak dari komuniti orang asli. Ini bukan sahaja memberikan manfaat jangka pendek dalam bentuk peningkatan prestasi akademik tetapi juga manfaat jangka panjang dalam membentuk generasi yang lebih berdaya saing dan berpengetahuan.

WhatsApp Image at ()
Sesi demonstrasi dan rekabentuk model STEM yang dibina pelajar.
WhatsApp Image at
Semakan dan penilaian model STEM oleh para fasilitator UTM.

Dengan melibatkan pensyarah dari MJIIT dan FAI, UTM menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pembangunan pendidikan dan hubungan dengan komuniti. Kolaborasi dengan pihak industri seperti CMN Digylearn Sdn. Bhd., KFR dan Pusat Tuisyen Budak Rajin juga memperkukuh hubungan antara akademia, industri, dan komuniti, menunjukkan bahawa sinergi antara ketiga-tiga pihak ini mampu menghasilkan impak yang signifikan dan berkelanjutan. Secara keseluruhan, Program Aplikasi Projek STEM Dunia Sebenar (STEM PjBL) untuk pelajar Orang Asli ini bukan sahaja memberikan ilmu dan kemahiran baharu kepada para pelajar tetapi juga memperlihatkan potensi besar dalam kolaborasi antara institusi pendidikan, industri, dan komuniti untuk memajukan pendidikan STEM di Malaysia.

Explore More