Disember 26, 2024

JOHOR BAHRU, 6 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, menjadi institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di negara ini membangunkan program melibatkan belia berkaitan perahu layar jong berteraskan teknologi dan kejuruteraan. Perahu layar Jong yang boleh dipanggil sebagai Jong merupakan sebuah perahu bersaiz kecil yang dipasangkan layar dan dimainkan dalam perlumbaan Jong sewaktu cuaca berangin kencang. Jong merupakan permainan tradisional masyarakat Melayu sejak ratusan tahun lalu khususnya di kawasan Kepulauan Riau yang dahulunya termasuk Johor. Kini, tradisi perlumbaan perahu Jong masih diteruskan hasil usaha beberapa golongan termasuk komuniti di Tanjung Piai, Pontian dan Pulau Tanjung Surat, Kota Tinggi.

Pelajar sekolah mendengar penjelasan daripada pempamer Jong semasa mengunjungi MODE2024

UTM sentiasa bersedia menerapkan aspek inovasi dalam menyelesaikan masalah komuniti termasuk dalam aspek warisan dan pelancongan. Menyedari kepentingan mengetengahkan elemen keunikan warisan dan tradisi dalam menarik pelancong, penyelidik UTM bekerjasama dengan komuniti pembuat jong di Johor dalam membangunkan dokumentasi berkaitan warisan Jong termasuk maklumat tentang reka bentuk, pembuatan dan perlumbaan jong. Penglibatan UTM dalam mempromosikan warisan Jong telah bermula pada tahun 2019 dalam Projek Pembangunan Galeri Jong yang telah diselesaikan bersama komuniti Jong di Pulau Tanjung Surat.

Namun, para penyelidik seni bina kapal di UTM bersetuju bahawa usaha mempromosi warisan jong tidak seharusnya terhad kepada perkongsian tentang sejarah dan tradisi sahaja. Dokumentasi dan perkongsian tentang Jong perlu juga melibatkan ilmu saintifik yang digunakan dalam pembuatan dan perlumbaan jong. Hal ini dapat  menarik minat golongan belia dan kanak-kanak untuk mendalami ilmu STEM sambil mempelajari tentang warisan jong. Kerjasama UTM bersama komuniti pembuat jong telah menghasilkan beberapa hasil kajian berkaitan aspek kejuruteraan termasuk analisa saintifik bagi komponen layar dan katir Jong secara simulasi CFD.

Pelajar Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru telah menghasilkan video tentang konsep fizik dalam pergerakan jong

Terbaharu, staf UTM telah bekerjasama dengan Kelab Jong Pontian bagi menjayakan pameran Jong  sewaktu program Mechanical Open Day and Exhibition 2024 (MODE2024) anjuran Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM pada 4 dan 5 Jun. Pameran tersebut telah dapat menarik minat para pelajar dari UTM dan beberapa buah sekolah sekitar Johor Bahru dalam mempelajari teknologi yang digunakan semasa perlumbaan Jong. Beberapa pelajar telah menyertai aktiviti sepanjang pameran berlansung termasuk penerangan projek jong yang berkonsepkan IOT, pertandingan video pendek bagi jong dan mempelajari cara pemasangan jong.

UTM berharap usaha ini dapat memberikan nafas baru kepada konsep pelancongan di negara ini dan sekaligus menyokong usaha dalam melestarikan warisan jong.

Explore More