November 22, 2024

Search
Close this search box.

Syarahan umum FABU bersama industri memperkaya pengetahuan pelajar dan staf akademik, kukuhkan hubungan bersama industri

JOHOR BAHRU, 5 Jun – Program Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Lawatan dan Syarahan Umum oleh Profesor Adjung Tn. Jaiya Abu, Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Persekutuan selama satu (1) hari di FABU dan Blok N24, UTM. Program ini bertujuan untuk memperkaya pengetahuan semasa dan pengalaman akademik para pelajar dan staf akademik serta memperkukuhkan jaringan kolaborasi antara FABU UTM dengan JKPTG dalam bidang Pentadbiran dan Pembangunan tanah di Malaysia.

Program lawatan dimulakan dengan sesi mesyuarat Harta Tanah di FABU yang dipengerusikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Muhammad Najib Mohamed Razali, Pengarah Harta Tanah dimana beliau menerangkan perkembangan dan pencapaian oleh Harta Tanah, FABU UTM sepanjang tahun 2024. Turut hadir bersama dalam mesyuarat tersebut adalah Prof. Adjung Tn. Hj. Mohammad Shahrizal Mohammad Idris (Ahli Lembaga Pengarah GFM Services Berhad) dan staf-staf akademik Harta Tanah.

Sesi Mesyuarat antara Program Harta Tanah, FABU UTM dan Prof. Adjung Tn. Jaiya Abu, Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah, JKPTG Persekutuan

Staf-staf akademik juga berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan Profesor Adjung, berkongsi projek penyelidikan mereka dan mendapatkan maklum balas serta nasihat berharga.

Sesi Fotografi Prof. Adjung bersama Staf-staf Akdemik Harta Tanah dan Prof. Adjung Tn. Hj. Mohammad Shahrizal Mohammad Idris (Ahli Lembaga Pengarah GFM Services Berhad)

Program diteruskan dengan syarahan umum bertajuk “Struktur Pentadbiran & Perundangan Serta Pengenalan Kepada Kanun Tanah Negara” oleh Profesor Adjung Tn. Jaiya Abu pada 2.30 petang bertempat di Dewan Kuliah 7, Blok N24, UTM dan dihadiri oleh Staf Akademik FABU, pegawai-pegawai Pejabat Tanah dan Galian Johor, mahasiswa dan mahasiswi prasiswazah dan pascasiswazah Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, para hadirin dalam dan luar UTM.

Dalam syarahan tersebut, Profesor Adjung telah mengupas pelbagai topik penting, antaranya Struktur Pentadbiran Tanah Malaysia, Pengenalan Kepada Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Halatuju Pentadbiran Tanah Masa Depan diikuti dengan sesi soal jawab yang interaktif, di mana para hadirin berpeluang mengemukakan pelbagai soalan kepada Profesor Adjung.

Sesi Syarahan dan Soal Jawab bersama Prof. Adjung

Mengakhiri program syarahan tersebut, sesi pemberian cenderahati oleh PM. Gr. Sr. Dr. Azizah Ismail mewakili Pengarah Harta Tanah dan sesi fotografi kenang-kenangan bersama Staf Akademik FABU, pegawai-pegawai Pejabat Tanah dan Galian Johor, mahasiswa, mahasiswi, para hadirin dalam dan luar UTM.

Sesi Penyampaian Cenderahati oleh PMgr. Sr Dr. Azizah Ismail mewakili Pengarah Harta Tanah kepada Prof. Adjung Tn. Jaiya Abu

 

Sesi Fotografi Syarahan Umum Prof. Adjung Tn. Jaiya Abu bersama para hadirin

Dengan penganjuran program lawatan dan syarahan umum ini, ia telah memberi impak yang signifikan kepada semua yang terlibat dimana para pelajar boleh peningkatan pemahaman dan motivasi dalam bidang pengajian mereka. Disamping staf akademik dan organisasi luar berpeluang memperluaskan jaringan profesional dan memperoleh pandangan baru yang dapat diterapkan dalam penyelidikan, pengajaran serta pentabiran dan pembangunan tanah Malaysia.

Kesimpulannya, Program Harta Tanah, FABU, UTM, komited untuk terus menganjurkan program-program yang berimpak tinggi seperti ini dalam usaha meningkatkan kecemerlangan akademik dan profesional. Program ini juga diharapkan dapat menjadi platform berterusan untuk kolaborasi antara akademia dan industri, selaras dengan visi UTM untuk menjadi universiti global yang terkemuka.

Explore More