Ogos 26, 2024

Search
Close this search box.

SMARTventure: memperkasa STEM kepada pelajar tingkatan 3

JOHOR BAHRU, 14 JUN – Kelab Smartcamp Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah menganjurkan satu program berkenaan STEM yang dinamakan SMARTventure di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perling pada 14 dan 15 Jun 2024.

Program SMARTventure merupakan program peringkat daerah Johor Bahru yang melibatkan lima buah sekolah iaitu SMK Seri Perling sebagai tuan rumah, SMK Damai Jaya, SMK Dato’ Usman Awang, SMK Taman Bukit Indah dan SMK Infant Jesus Convent.

Program tersebut telah mendapat kerjasama dari Unit Kokurikulum di SMK Seri Perling yang bertujuan mendedahkan para pelajar kepada aspek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pembelajaran luar kelas dalam 5 fasa SMART iaitu Start, Master, Apply, Relate dan Teamwork. Dalam masa yang sama, mahasiswa dan mahasiswi UTM juga berpeluang mengasah kemahiran mereka untuk berkomunikasi dengan menjadi fasilitator.

Selain meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan STEM, program ini juga memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ke-4 iaitu pendidikan berkualiti, membimbing generasi muda dalam aspek STEM demi meningkatkan kualiti pendidikan tanpa mengira latar belakang. Bukan itu sahaja, malah program ini juga memenuhi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025) sebagai satu agenda yang penting dalam transformasi pendidikan bagi menyediakan generasi muda menghadapi cabaran abad ke-21.

SMARTventure telah disertai seramai 69 orang pelajar tingkatan tiga dari lima buah sekolah dengan dibantu oleh 37 orang fasilitator dari UTM di bawah bimbingan Penasihat Program SMARTventure, Puan Rafidah Mohamad dan Cik Adnin Nur Qatrunnada Amran. Program ini padat dengan modul-modul yang direka khas oleh Unit Modul SMARTventure untuk menekankan niche area KTC iaitu kreatif dan inovatif sepanjang program.

Sesi Pre-Quiz.

Program ini dimulakan dengan aktiviti Ice Breaking dan Pre-Quiz. Para peserta telah diberi cebisan puzzle dan perlu mencari ahli kumpulan untuk membentuk sebuah puzzle yang lengkap. Sesi Pre-Quiz telah dijawab oleh setiap peserta bagi menguji pengetahuan mereka tentang STEM.

Selepas sesi tersebut, sesi suai kenal diadakan antara para peserta dan fasilitator yang bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk bersuara dalam kumpulan kecil dan mencipta ukhuwah antara ahli kumpulan.

Sesi menyambung puzzle dalam kumpulan.

Modul pertama adalah modul Start, merupakan aktiviti sharing knowledge dan gallery walk dengan tujuan memberi perkongsian ilmu tentang STEM dan mengasah kreativiti serta keberanian para peserta untuk menyampaikan pembentangan di khalayak ramai.

Sesi sharing knowledge kepada para peserta di mana fasilitator akan berkongsi maklumat tentang STEM kepada peserta dalam kumpulan. Bagi menguji kemahiran berfikir para peserta, mereka diminta untuk menulis semula mengikut kefahaman dan kreativiti sendiri pada kertas mahjong.
Sesi gallery walk semasa modul Start adalah sesi pelajar membentangkan informasi yang telah ditulis di kertas mahjong kepada pelajar dari kumpulan lain.

Modul kedua yang dinamakan Master merupakan aktiviti pembinaan roket air dengan tujuan meningkatkan inovasi peserta serta kemahiran berkomunikasi dalam berkongsi idea tentang pembinaan roket air yang baik antara ahli pasukan.

Sesi pembinaan roket air dalam kumpulan memberi peluang kepada peserta untuk berbincang dalam kumpulan tentang kestabilan roket dengan menitikberatkan aerodinamik pada roket tersebut.

Modul ketiga ialah modul Apply yang merupakan aktiviti pelancaran roket air dengan tujuan mewujudkan daya saing secara sihat dalam diri pelajar dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta.

Sesi pelancaran roket air oleh setiap kumpulan. Pemarkahan dikira berdasarkan ketinggian dan kejauhan roket air tersebut berlepas.

Modul terakhir iaitu modul Relate and Teamwork merupakan aktiviti explorace yang bertujuan untuk membantu pelajar memperoleh ilmu pengetahuan tentang STEM dengan cara yang lebih santai dan seronok. Sebanyak lapan check point disediakan untuk para peserta bagi membantu mereka mengasah kemahiran berfikir dan berkomunikasi dalam pasukan.

Check point 2 semasa modul “Relate and Teamwork“: Science scavenger hunt di mana ahli kumpulan perlu melakonkan huruf peralatan makmal.
Check point 1 semasa modul “Relate And Teamwork“: Boat Plasticine di mana peserta perlu membina bot menggunakan plastisin dan menguji bot dengan meletakan guli sebanyak yang boleh.

Perasmian program SMARTventure telah disempurnakan oleh Puan Woo Lee Fang, pengetua SMK Seri Perling disaksikan oleh Puan Rafidah, Penasihat Program SMARTventure; Encik Liow Yon Shen, wakil rasmi YB Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Iskandar Puteri; Dato’ Suhaila Ahmad, Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seri Perling; Puan Fazila binti Razali, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Seri Perling dan semua yang hadir. Puan Woo menzahirkan rasa terima kasih beliau kepada pihak penganjur terhadap kejayaan pelaksanaan khidmat pendidikan yang sangat bermakna kepada pihak sekolah dan para peserta. Beliau juga menyatakan harapan agar lebih banyak pengajuran seumpama ini pada masa akan datang.

Barisan tetamu jemputan.
Ucapan perasmian dari Puan Woo, Pengetua SMK Seri Perling.
Penyampaian hadiah kepada para peserta oleh Puan Fazila, Penolong Kanan Kokurikulum.

Program SMARTventure telah melabuhkan tirainya dengan penyerahan cek yang disampaikan oleh wakil rasmi YB Liew Chin Tong kepada penasihat program, Puan Rafidah, wakil rasmi pengetua KTC.

Sesi penyerahan cek oleh wakil rasmi Ahli Parlimen Seri Iskandar.
Majlis penutup SMARTventure.

Pada hari kedua program, para peserta bersama fasilitator dan guru pengiring melawati Petrosains KLCC yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang STEM. Segala aktiviti dan permainan di Petrosains sedikit sebanyak menambah ilmu pengetahuan dan menarik minat para pelajar dalam mendalami bidang STEM.

Peserta menyelesaikan permainan di Petrosains dan dibimbing oleh fasilitator.
Hari terakhir program SMARTventure di Petrosains KLCC.

Secara keseluruhannya, program SMARTventure di SMK Seri Perling ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam membentuk insaniah pelajar. Program ini merupakan satu permulaan yang baik bagi menanam minat pelajar untuk menyambung pelajaran dalam bidang STEM ke peringkat yang lebih tinggi, selari dengan SDG 4 iaitu pendidikan berkualiti.

 

Disediakan oleh: Seri Najwa binti Hanafiah

Explore More