November 22, 2024

Search
Close this search box.
IMG

JOHOR BAHRU, 26 Jun – Program Recycle E-Waste: Innovate Solution telah dijalankan dengan tiga objektif utama iaitu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pelupusan e-waste (buangan elektrik dan elektronik) dengan cara yang betul dan teratur, memastikan generasi muda celik e-waste dan dapat memahami konsep kitar semula e-waste dalam memelihara alam sekitar, dan menginovasikan penyelesaian untuk kitar semula produk e-waste kepada produk seni/arca berbantukan kecerdasan buatan (AI). Program di bawah tajaan geran Suruhanjaya Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan geran Program Pemindahan Ilmu – KTP@Faculty, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (TDPPI) Fakulti Sains iaitu Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek.

JULY PLAN FOR THE PROGRAM
Poster dan perasmian pembukaan program oleh TDPPI Fakulti Sains.

Program ini dibahagikan kepada empat siri. Siri 1 yang dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMK BBU) ini merangkumi aspek pengenalan kepada e-waste, teknik inovasi menggunakan Design Thinking dan AI, selain eleman-elemen utama senibina arca diperkenalkan kepada 20 orang peserta bersama 5 orang guru pengiring. Empat buah sekolah harian lain yang turut serta dalam Siri 1 ini termasuklah dari SMK Tasek Utara, SMK Tasek Utara 2, SMK Dato Abdul Rahman Yassin, dan SM Teknik Johor Bahru. Manakala Siri 2 dan 3 akan dijalankan secara atas talian di mana para penyelidik UTM dan pelajar dari Physics Student Council bertindak sebagai mentor bagi 10 kumpulan yang akan menyertai pertandingan akhir Recycle E-Waste: Innovate Solution pada bulan Oktober 2024 nanti.

JULY PLAN FOR THE PROGRAM
Para penyelidik dari Fakulti Sains dan Fakulti Alam Bina dan Ukur sedang menjalankan aktiviti pemindahan ilmu kepada para peserta program.

Selain itu, program Recycle and Redeem Now! telah dijalankan di SMK BBU. Program ini merupakan kesinambungan dari kerjasama antara para penyelidik Fakulti Sains dan pihak Electronic Recycling Through Heroes (ERTH) di bawah syarikat Blue Bee Technologies Sdn. Bhd. Jumlah kutipan dianggarkan sebanyak 147 kg merangkumi peralatan elektronik seperti komputer riba, PC, TV/monitor, mesin pencetak, telefon pintar dan beberapa peralatan lain. Pihak ERTH turut menyumbangkan e-waste dalam bentuk papan litar tercetak (PCB) yang diambil dari peralatan elektronik yang telah dilupuskan untuk diinovasikan sebagai produk baru oleh para peserta program dengan tema “E-Waste: Small Devices, Big Impact”.

JULY PLAN FOR THE PROGRAM
Penyerahan e-waste oleh En. Mohamed Tarek El-Fatatry (pengasas ERTH) kepada penyelidik UTM dan sekitar program Recycle and Redeem Now! di SMK BBU

Sambutan positif dari para peserta dan pihak sekolah menandakan bahawa inisiatif sebegini perlu diteruskan dan diperluas lagi pada masa akan datang. Dengan sokongan berterusan dari semua pihak, kita mampu mencapai matlamat untuk menjadikan amalan kitar semula E-Waste sebagai norma dalam masyarakat kita. Pihak penganjur berharap agar usaha ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak program inovatif pada masa akan datang, menjadikan kita lebih bertanggungjawab dalam memelihara bumi yang didiami. E-Waste bukanlah sekadar sisa, ia adalah peluang untuk inovasi dan perubahan positif.

 

Disediakan oleh: Siti Salwa Alias, Munirah Najiha Salaudin

Explore More