Disember 19, 2024

slt

Modal insan berkualiti pemangkin kecemerlangan universiti

JOHOR BAHRU, 13 Jun  –  Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD) telah menganjurkan program Strategic Leadership Talk (SLT) Siri 4/2024 pada 12 Jun 2024. Pada siri kali ini, Puan Latifah Daud, Pengarah Eksekutif, Pengurusan Strategik Modal Insan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah dijemput untuk berkongsi pengalaman kepimpinan beliau melalui tajuk People and Leadership: Develop People through Performance. Program ini merupakan program ‘signature’ CTLD, Jabatan Pendaftar yang menampilkan perkongsian pengalaman kepimpinan ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan jemputan khas dari industri. Dengan kerjasama Jabatan Pendaftar dan Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat, UTM, program kali ini telah dihadiri oleh seramai 334 orang peserta dalam kalangan pegawai Pengurusan dan Profesional Gred 41 dan ke atas serta Pentadbir Akademik UTM Johor Bahru.

Puan Latifah berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam pengurusan dan pembangunan modal insan

Intipati perkongsian adalah merangkumi strategi pengurusan dan pembangunan modal insan di Khazanah Nasional Berhad. Beberapa aspek diketengahkan antaranya pengurusan prestasi, program pembangunan berstruktur, pengurusan bakat dan pelan penggantian serta pembangunan pembelajaran melalui inisiatif kejurulatihan. Budaya kerja di Khazanah adalah berdasarkan kepada kerangka sistem pengurusan prestasi (PMS Framework) yang menekankan kepada 60% pencapaian sasaran kepada KPI Balanced Scorecard, manakala 40% lagi adalah pencapaian kompetensi kepimpinan (LC) dan pelan pembangunan individu (IDP). Program pembangunan berstruktur seperti Program Pembangunan Kepimpinan Khazanah (KLDP) dilaksanakan bagi membentuk kemahiran kepimpinan sejajar dengan kompetensi kepimpinan Khazanah melalui peranan ‘Pemimpin Rakyat’ (People Leader). Selain itu, Program Pembangunan Kepimpinan Pegawai Kanan (SLDP) dilaksanakan bagi mengenal pasti bakat pengganti yang dilihat berpotensi mengisi jawatan-jawatan kanan di Khazanah dalam tempoh 2 tahun akan datang. Bagi membentuk pemimpin yang berprestasi tinggi, disiplin diri, pengurusan masa, kerja berpasukan, komunikasi efektif serta kemahiran dalam kejurulatihan pasukan amat penting bagi memastikan sasaran kerja dan objektif organisasi dapat dicapai.

Sesi soal jawab antara peserta bersama dengan Puan Latifah

Pengalaman meluas Puan Latifah yang juga merupakan ahli Lembaga Penasihat Kepimpinan UTM dalam bidang sumber manusia selama lebih 20 tahun banyak memberikan input berguna kepada pihak pengurusan UTM dalam usaha untuk merangka strategi bagi mengenal pasti dan menarik bakat-bakat penyelidik dan staf akademik yang berkualiti. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kolaborasi strategik universiti-industri dan penjenamaan UTM di peringkat antarabangsa. Selain itu, pengalaman dan pengetahuan beliau diharapkan dapat memberi idea bagi membentuk strategi pembangunan dan pengekalan staf melalui pengembangan kerjaya, program pembangunan profesional, insentif kerja yang menarik, persekitaran kerja yang menyokong serta menggalakkan kerjasama penyelidikan secara silang bidang. Perancangan dan pelaksanaan gerak kerja yang mampan dan strategik dalam pembangunan modal insan amat penting dalam memastikan UTM kekal tangkas dan dinamik sejajar dengan arus perubahan serta meningkatkan kedudukan UTM yang lebih baik dalam QS World University.

Explore More