Disember 8, 2024

Search
Close this search box.
Program eksplorasi & ceramah pemanasan global dan mikroplastik

Mahasiswa UTM tingkat kesedaran pemanasan global dan mikroplastik

JOHOR BAHRU, 22 Jun – Pemanasan global dan pencemaran mikroplastik merupakan salah satu isu yang hangat dibincangkan kerana kesannya yang boleh mengancam kehidupan di muka bumi. Pemanasan global di malaysia telah menyebabkan berlakunya lebih banyak fenomena cuaca ekstrem yang dihadapi seperti gelombang haba, kemarau, dan hujan ribut. Mikroplastik pula boleh menyebabkan kesihatan manusia terjejas kerana memakan makanan seperti ikan, sotong dan udang. Ikan, sotong dan udang ini berkemungkinan mengandungi bahan kimia toksik ekoran memakan cebisan kecil plastik yang belum terurai sepenuhnya di dalam air.

Melihat kepada masalah ini, satu inisiatif telah dilakukan oleh mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi memberi kesedaran kepada murid-murid di sekolah. Program ini merupakan projek bagi Kursus Bina Insan Guru (SHPP 4043) seksyen 5, di bawah pensyarah Puan Marlina Ali dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), UTM. Program ini dijalankan melalui aktiviti pembelajaran servis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sutera, Johor Bahru.

Seramai 161 peserta yang terdiri daripada 25 orang mahasiswa tahun akhir Pendidikan Fizik, 30 mahasiswa tahun akhir Pendidikan Kimia, dan 106 murid tingkatan 3 dari SMK Taman Sutera telah terlibat dalam program kesedaran tentang pemanasan global dan mikroplastik.

Sesi ceramah disampaikan oleh saudari Suhaida Hamid
Sesi ceramah disampaikan oleh saudari Suhaidah Hamid.

Program ini dimulakan dengan sesi perkongsian oleh saudari Suhaidah Hamid, mahasiswi Pendidikan Fizik. Dalam perkongsian tersebut, saudari Suhaidah menjelaskan tentang konsep pemanasan global dan pencemaran mikroplastik, serta menerangkan aktiviti-aktiviti manusia yang boleh menyumbang kepada pemanasan global dan mikroplastik.

Seterusnya, program diteruskan dengan latihan dalam kumpulan (LDK), dimana pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberikan kertas mahjong. Setiap kumpulan diminta untuk membincangkan dan mencatatkan pemahaman mereka tentang pemanasan global dan pencemaran mikroplastik berdasarkan apa yang telah disampaikan semasa sesi perkongsian. Ini membolehkan murid-murid untuk mengolah semula maklumat yang telah mereka peroleh dan memahaminya dengan lebih mendalam.

Aktiviti latihan dalam kumpulan sedang dijalankan dengan murid SMK Taman Sutera
Aktiviti latihan dalam kumpulan sedang dijalankan dengan murid SMK Taman Sutera.

Selepas LDK, satu aktiviti ‘explorace’ yang dikenali sebagai “Eksplorasi Generasi Lestari” pula dijalankan. Dalam aktiviti ini, murid bergerak dari satu stesen ke stesen yang lain, menyiapkan tugasan berkaitan pemahaman mereka tentang pemanasan global dan pencemaran mikroplastik. Kumpulan yang berjaya menyiapkan tugasan dengan baik diberikan hadiah pada akhir program.

Stesen A : Eco-Separate
Stesen A : Eco-Separate.
Stesen B : Eco-Impact
Stesen B : Eco-Impact.
Stesen C : Teka silang kata Rendah Karbon
Stesen C : Teka silang kata Rendah Karbon.
Stesen D : Rustic Eco-Phone
Stesen D : Rustic Eco-Phone.
Stesen E :Enviro-Act
Stesen E : Enviro-Act.
Ucapan perasmian program oleh Pengetua SMK Taman Sutera
Ucapan perasmian program oleh Pengetua SMK Taman Sutera.

Majlis penutup dirasmikan oleh Pengetua SMK Taman Sutera, Datin Hajah Ruzita Kimin juga turut dihadiri oleh Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum, Puan Hasliza Mokhri dan pensyarah kursus Bina Insan Guru, Puan Marlina Ali. Menurut Datin Hajah Ruzita, program pemanasan global dan mikroplastik yang dijalankan ini sangat bermanfaat untuk murid sekolah kerana ia merupakan salah satu matlamat pembangunan mampan (SDG) yang ingin dicapai 2030 nanti. Ia juga seiring dengan matlamat yang ingin dicapai oleh Bandaraya Johor Bahru iaitu menjadi bandaraya bersih. Komitmen dan usaha mahasiswa UTM menjalankan aktiviti di sekolah telah meningkatkan kefahaman murid tentang SDG. 

GPK Kokurikulum, Puan Hasliza turut mengalu-alukan usaha mahasiswa dan mengharapkan agar jaringan antara komuniti sekolah dan UTM ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan kerana  program ini telah berjaya meningkatkan kesedaran murid sekolah tentang isu-isu alam sekitar terutama kesan pemanasan global dan pencemaran mikroplastik.

Explore More