Julai 25, 2024

Search
Close this search box.
TVET

Kurikulum mampan TVET landasan pembangunan graduan berkemahiran

JOHOR BAHRU, 10 Jun – Pembangunan kurikulum yang sistematik adalah penting untuk memastikan program yang ditawarkan dapat menghasilkan graduan yang memenuhi keperluan industri serta sesuai dengan aktiviti perniagaan yang berkembang pesat dan kompleks pada masa kini. Hal ini amat penting terutama sekali apabila merancang kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang fokus utamanya adalah untuk melahirkan tenaga kerja mahir bagi sesebuah negara. Selain itu, teras kepada pembangunan kurikulum TVET adalah untuk menyediakan pendidikan dan latihan yang membentuk individu dengan kompetensi khusus dalam pekerjaan secara holistik.

tvet

TVET secara sejarahnya dikenali sebagai pendidikan untuk bekerja. Lebih daripada itu, kini sistem pendidikan ini telah memberi tumpuan dalam menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan serta sikap dan nilai yang diperlukan untuk terus berjaya. Program pendidikan dan latihan kemahiran yang baik membantu graduan membina perkembangan kerjaya mereka dengan penekanan kepada peningkatan kemahiran (upskilling) dan pemantapan semula kemahiran (skill retooling).

Kayu ukur kepada pencapaian pelajar daripada sistem TVET juga tidak terbatas kepada satu corak pencapaian. Ia kini memainkan peranan yang cukup luas dalam menyediakan alternatif kepada sistem pendidikan daripada aliran akademik dan konvensional. Institusi latihan kemahiran seharusnya mempersiapkan pelajar untuk pekerjaan tertentu, beberapa kemungkinan pekerjaan, atau untuk bekerja sendiri. Selain itu, institusi kemahiran juga harus memikirkan kurikulum yang saling berkait antara pelajar dengan keperluan industri, perniagaan dan masyarakat. Graduan daripada sistem Pendidikan Teknikal dan Vokasional yang mampan seharusnya memberikan impak signifikan kepada komuniti setempat.

Sistem pendidikan perdana kini turut menekankan kepada kemenjadian pelajar melalui penekanan kepada keperluan, sasaran hasil dan proses pendidikan yang sejajar (constructive alignment). Hal ini amat penting terutama sekali dalam menghasilkan tenaga kerja dan kepakaran teknologi bagi memenuhi keperluan masa depan negara. Diperingkat awal pembangunan kurikulum bagi TVET harus menjurus kepada sikap, kebolehan, pengetahuan dan kemahiran yang ingin dicapai. Penyusunan yang baik membolehkan kurikulum ini bergerak seiring dengan keperluan komuniti dan industri berbanding kurikulum bidang pengajian lain.

Justeru diperingkat perancangan, individu atau komuniti yang memacu TVET negara mestilah mempunyai pemahaman yang jelas mengenai proses, keperluan dan sasaran yang ingin dicapai sebelum sesuatu program baharu dicadangkan. Daripada permulaan yang jelas ini, kurikulum yang baik dapat direka bentuk dan disesuaikan dengan keperluan komuniti dan industri. Lebih dari itu, membangunkan idea reka bentuk tadi dan menguruskan kurikulum menjadi nadi penting kepada keberhasilan matlamat yang telah digariskan. Ini adalah lebih kritikal dalam Pendidikan Teknikal dan Vokasional, yang secara khusus menyediakan tenaga kerja yang holistik dan kompetatif untuk negara.

Tidak dapat dinafikan lagi, berdasarkan falsafah pembangunan kurikulum Pendidikan Teknikal dan Vokasional, pembangunan kurikulum yang mantap adalah sangat penting.

 

Oleh: Profesor Dr. Muhammad Sukri Saud dan Dr Muhamad Afzamiman bin Aripi
Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

Explore More