INDONESIA, 5 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Negeri Malang (UM) telah melaksanakan program kolaborasi melalui International Student Service Learning (SSL) di Desa Srigading, Kecamatan Lawang, Kabupaten Malang, Indonesia pada 30 Mei hingga 4 Jun 2024.
Majlis perasmian telah dihadiri oleh Sekretaris Lembaga Penelitian dan Pengabdian kepada Masyarakat (LPPM), Dr. Hary Suswanto, Ketua Kampung, Bapak Hadori dan Timbalan Pengerusi Sekolah Prasiswazah (UGS) UTM, Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat, serta penduduk kampung pada 31 Mei 2024 di Balai Desa Srigading. Antara sebab pemilihan Desa Srigading sebagai lokasi program ini adalah kerana potensi besar yang terdapat di kampung ini, terutama yang berkaitan dengan penanaman dan pengeluaran hasil kopi, kekayaan budaya tradisi dan keindahan alam di kawasan pergunungan.
Antara objektif program ini untuk membantu penduduk kampung untuk mempromosi produk kopi yang dihasilkan dengan menggunakan kaedah pemasaran digital. Program ini turut dibantu oleh lima orang pensyarah dan lima orang pelajar dari UM. 32 orang pelajar UTM yang menyertai program ini adalah di bawah bimbingan Prof. Dr. Nordin Yahaya yang merupankan pengajar bagi Kursus Kokurikulum Mobiliti.
Selain dari aktiviti bersama UM, aktiviti bersama pelajar dan staf dengan satu lagi rakan kerjasama UTM iaitu Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) telah dijalankan di kampus ITS Surabaya pada 5-6 Jun 2024.
Sebagai melengkapkan aktiviti kolaborasi, Prof. Nordin juga telah menyampaikan perkongsian di UM di dalam program ‘International Guest Lecture’ dan perkongsian di ITS di dalam program ‘Research Student Enrichment Program’.
Menurut Prof. Nordin, “program ini telah memberikan peluang kepada pelajar untuk meneroka pertukaran budaya, mengenali negara luar dan membangunkan potensi diri dalam aspek kepimpinan, fleksibiliti, daya tahan, komunikasi dan kemahiran sosial yang dihasratkan dalam membentuk pelajar yang mempunyai kemahiran dan minda global. Semoga dengan pendedahan ini, pelajar UTM akan berpeluang merebut pekerjaan premium pada masa akan datang.”