Disember 22, 2024

gambar

CFiRST UTM dan YPKDT lestarikan alam sekitar melalui program komuniti

PONTIAN, 8 Jun –  Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) telah mengadakan Majlis Penutup Program Pemindahan Pengetahuan Kelestarian Alam Sekitar dan Pengamalan Sakinah telah diadakan di Dewan Haji Salem , Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, Pontian.

Majlis penutup ini merupakan rangkuman keseluruhan bagi satu projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), UTM. Projek yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Abu@Hussin ini merupakan projek yang memfokuskan kepada aspek kelestarian kekeluargaan yang meliputi modul-modul daripada Modul Keluarga Sakinah dan Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor yang dibangunkan bersama YPKDT dan UTM. Projek ini turut memfokuskan kepada aspek kelestarian alam sekitar dengan melibatkan anak-anak dan golongan remaja di Pekan Nanas terutamanya di Kampung Melayu Raya bagi memahami kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Sesi Pengurusan Jenazah bersama anak-anak komuniti Pekan Nanas.

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah pengurusan dan penggunaan semula sisa-sisa buangan isi rumah seperti minyak masak terpakai bagi penghasilan sabun dan mereka juga didedahkan mengenai pengurusan minyak masak terpakai yang boleh menjana pendapatan sampingan kepada penduduk kampung. Selain itu, peserta turut didedahkan dengan aspek pengamalan Sakinah, di mana beberapa siri perkongsian kepada anak-anak remaja mengenai amalan Sakinah telah diadakan iaitu termasuk pengurusan jenazah. Dalam acara penutup ini peserta dalam kalangan remaja telah menunjukkan cara mengenai pengurusan jenazah dan turut diselia oleh penggerak Sakinah daripada pihak YPKDT.

Sesi Penjualan Minyak Masak Terpakai.

Sepanjang program inj berlangsung, sokongan penuh telah diberikan oleh rakan kerjasama daripada YPKDT, Pusat Komuniti Desa (PKD) Melayu Raya, Pekan Nanas, Pejabat Daerah Pontian, Sekolah Agama Melayu Raya, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu Raya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Yunos Sulaiman serta penduduk kampung yang terlibat menjayakan program ini. Turut menghadiri majlis tersebut Pengarah CFiRST Dr. Aminudin Hehsan, Penghulu Mukim Pekan Nanas, Ketua Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Puan Norhafiza Salimin yang merupakan pegawai YPKDT Daerah Pontian dan Puan Nor Irmezawani Jamaian, Pegawai Komuniti PKD Melayu Raya.

Sesi Penyerahan Coffee Book Program KTP

Pihak CFiRST ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ahli CFiRST dan pensyarah yang terlibat. Semoga segala usaha penganjuran program ini akan memberi manfaat kepada masyarakat. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga pihak penganjur juga ditujukan kepada CCIN yang telah menyumbang kepada aktiviti ini melalui dana KTP-RIG (Knowledge Tranfer Program-Research Innovation Grant).

Explore More