JOHOR BAHRU, 27 Jun – Seramai 35 orang pengusaha makanan sekitar kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai sesi penerangan berkenaan Larangan Penggunaan Plastik Sekali Guna Peringkat universiti anjuran Seksyen Pengurusan Aset (SPA) dengan kerjasama Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS). Program yang berlangsung di Blok N24 ini telah berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran Pengarah Pelestarian Kampus, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din.
Program yang berbentuk penerangan dan juga dialog antara dua pihak itu secara amnya membicarakan berkenaan dengan larangan penggunaan plastik sekali guna di samping memberikan penerangan mengenai apa itu bahan plastik dan juga kesan buruknya kepada alam sekitar.
Para pengusaha yang hadir diberikan taklimat ringkas oleh Prof. Fadhil berkenaan penggunaan bahan plastik sekali guna dan bagaimana bahan ini boleh mencemarkan alam sekitar melalui pencemaran laut, tanah, kerosakan habitat dan juga membahayakan kesihatan manusia.
Prof. Fadhil yang ditemui selepas sesi penerangan ini berkata Kesan Pembuangan Plastik Sampah memberikan kesan yang serius dan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.
”Plastik mengambil masa diantara 400 hingga 1,000 tahun untuk diuraikan secara semulajadi dan tempoh yang lama ini akan mengakibatkan kerosakan serius kepada alam sekitar.
”Matlamat utama forum ini adalah bagi memberikan pendedahan kepada pengusaha makanan berkenaan dengan bahaya penggunaan bahan plastik sekali guna dan kesannya kepada alam sekitar pada masa hadapan,” katanya.
Menurut Prof. Fadhil, manusia menghasilkan 400 juta tan plastik setahun dan sebanyak 6.1 juta tan plastik terlepas ke laut dan akibat dari ini, sejumlah plastik mikro telah ditemui dalam makanan laut.
”Bahan ini boleh masuk ke dalam badan kita melalui pemakanan makanan laut dan plastik ini juga boleh menjejaskan kesihatan kita.
”Sekiranya trend pencemaran plastik berterusan tanpa intervensi dan perubahan, maka kadar pencemaran ini akan menjadi lebih buruk dan menakutkan apabila populasi ikan di lautan akan diatasi oleh pencemaran plastik menjelang tahun 2050,” katanya lagi.
Forum ini juga bertujuan bagi memaklumkan bahawa UTM akan menjalankan Kempen Larangan Penggunaan Plastik Sekali Guna selama sebulan sepanjang Julai ini sebelum menjalani fasa memperketatkan peraturan penggunaan bahan plastik ini di arked-arked makanan dan perkhidmatan UTM bermula Ogos 2024 kelak.
Selaras dengan langkah memperketatkan penggunana plastik sekali guna ini, pelanggan juga dikehendaki membawa bekas makanan dan minuman sendiri sekiranya ingin membungkus (‘take away’) makanan atau minuman yang dijual di arked makanan dalam kampus.
Turut menghadiri forum ini ialah Pengerusi Bahagian Pemajuan, Prof. Dr. Yusof Boon dan Encik Ariffin Basserany, Timbalan Pendaftar Bahagian Pemajuan.
Sesi penerangan ini adalah selaras dengan Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) No. 3 (Kesejahteraan dan Kesihatan yang Baik), SDG No. 12 (Penggunaan dan Pembuatan yang Bertanggungjawap)