September 6, 2024

Search
Close this search box.
n

UTM santuni pelajar sekolah menengah daerah Segamat dengan kemahiran asas AI bersama mahasiswa UNILED, Indonesia

SEGAMAT, 15 Mei – Fakulti Komputeran (FK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang diketuai oleh Dr. Suhaila Mohd Yusuf, telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), International DigiCulture Coding CSR Summer School bersama universiti jemputan dari Indonesia iaitu Universitas Lembah Dempo (UNILED), Pagar Alam, Palembang yang diadakan pada 4 hingga 9 Mei 2024 yang lepas. Melalui program ini, FK UTM, telah menjalinkan kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat, Johor dengan menganjurkan khidmat masyarakat menerusi program pengaturcaraan robotik, secara serentak di sembilan buah sekolah menengah terpilih sekitar daerah Segamat.

Fasilitator UNILED dan pengajar UTM bersama peserta di SMK Paduka Tuan
Fasilitator UNILED dan pengajar UTM bersama peserta di Sekolah Menengah Kebangsaan Paduka Tuan.

Khidmat masyarat ini melibatkan 13 orang di setiap sekolah menengah termasuk seorang pensyarah UTM, seorang fasilitator UTM, 10 orang fasilitator UNILED dan seorang pensyarah pengiring UNILED. Secara keseluruhan, program ini melibatkan seramai 170 orang pelajar sekolah menengah serta guru pengiring termasuk 9 pelajar sekolah rendah yang turut serta ke sekolah yang terpilih.

Persediaan khidmat masyarakat ini dimulakan dengan penyediaan latihan kepada fasilitator UNILED. Fasilitator ini dilatih terlebih dahulu mengenai asas-asas robot mudah-alih yang dinamakan RoboKar dan kecerdasan buatan (AI) di UTM oleh tenaga pengajar dan mahasiswa UTM.

Pengajaran modul oleh pensyarah UTM
Pengajaran modul oleh pensyarah UTM

Tema program kali ini, memberi penekanan terhadap kepentingan serta manfaat AI. Penyelidik UTM yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Dayang Norhayati Abang Jawawi telah membangunkan modul pengajaran seiring dengan inisiatif kerajaan untuk menyampaikan pengetahuan AI dalam inisiatif AI untuk rakyat. Para pelajar sekolah diberi pendedahan untuk menyelesaikan masalah dengan menggunakan AI menerusi pengaturcaraan robotik.

iOS cx heic
Penerangan modul oleh fasilitator UNILED.

Program tersebut telah berlansung selama setengah hari. Aktiviti utama yang dijalankan di sekolah adalah pengajaran modul dan pengaturcaraan robot, manakala terdapat juga aktiviti-aktiviti lain yang dikelola oleh setiap sekolah masing-masing, seperti persembahan kebudayaan oleh pelajar sekolah serta penyampaian hadiah mahupun sijil kepada semua peserta.

Program khidmat masyarakat ini memberi peluang kepada sekolah untuk menambah ilmu sebagai persediaan menyertai sebarang pertandingan robotik di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang. Selain itu, program ini juga memberikan pendedahan kepada mahasiswa UNILED tentang kebudayaan serta sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia.

Persembahan kebudayaan pelajar SMK Seri Bali semasa pembukaan majlis.

Menerusi program ini juga, FK UTM berjaya mencapai matlamat CSR dalam melestarikan modul pengajaran menggunakan bahan yang dibangunkan oleh penyelidik UTM. Selain itu, menerusi kolaborasi bersama universiti luar negara, pihak UTM telah mempromosikan produk penyelidikan UTM bagi tujuan khidmat masyarakat.

Disediakan oleh:  Nurul Nazihah Jamal dan Nadhira Mohamad

Explore More