Jun 17, 2024

Search
Close this search box.
A

UTM FKT terus cemerlang : Libatkan industri dan alumni kekalkan status subjek “Top 100” dunia

JOHOR BAHRU, 26 Mei – Pembangunan kurikulum bersepadu yang melibatkan semua pemegang taruh termasuk industri, tenaga pakar akademik, dan alumni menjadi kunci utama kejayaan bidang Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Petroleum di bawah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) menjadi antara 100 bidang terbaik di dunia menerusi Top 100 QS World University Rankings by Subject 2024.

Prof. Ir. Dr. Rahmat Mohsin, Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga ketika ditemui menjelaskan kurikulum di FKT direka dengan teliti untuk memenuhi kehendak pemegang taruh dan sasaran daripada Industrial Advisory Panel (IAP).

Pembangunan kurikulum baharu yang dirancang dan sedang dibangunkan kini juga merujuk cadangan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang merangkumi pendekatan Industry Immersion, Research Experiential Learning, dan Research Led Teaching dan disesuaikan dengan keperluan semasa industri serta perkembangan teknologi.

IMGM
Sistem pilot yang dibina hampir menyerupai sistem industri bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar dengan Research Experiential Learning

Program UNIX (University-Industry Exchange Programme), antara program yang terkandung dalam program Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian, Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Bioproses) dengan Kepujian, Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Gas) dengan Kepujian dan Kejuruteraan Petroleum dengan Kepujian, memiliki keunikannya tersendiri dan juga merupakan amalan terbaik FKT. Para pelajar yang terpilih akan mengikuti program selama setahun dan diberikan  projek  tahun akhir (PSM) yang berasaskan topik sebenar daripada pihak industri; Semester 2, Tahun 3 merupakan PSM 1, pelajar perlu menyediakan cadangan penyelidikan sebelum menjalani latihan industri pada semester pendek untuk pengumpulan data manakala Semester 1, Tahun 4 merupakan PSM 2 melibatkan pembentangan laporan dapatan kajian yang telah dilaksanakan. Program UNIX ini dapat memberikan pengalaman industri sebenar kepada pelajar yang terlibat sepanjang program berkenaan.

“Sementara itu, kebolehpasaran graduan fakulti ini mencapai hampir 100% dengan 30% daripada mereka memperoleh gaji premium. Fakulti ini juga menerima maklum balas yang positif daripada industri kerana telah berjaya menghasilkan graduan yang cukup bersedia dalam menempuh dunia pekerjaan.”

IMGM
Suasana pembelajaran yang kondusif membolehkan pelajar menumpukan perhatian dalam kuliah dan mengadakan perbincangan bersama pensyarah serta rakan sekelas

FKT menjadi antara fakulti yang sering kali menerima permohonan kemasukan pelajar yang tinggi sehinggakan paras minimum CGPA yang ditetapkan bagi justifikasi penerimaan ke fakulti ini adalah CGPA 3.5. Pada suatu ketika fakulti ini pernah hanya menerima pelajar dengan CGPA 4.0 disebabkan permintaan kemasukan yang terlalu tinggi, seterusnya membuktikan kualiti fakulti ini dalam menghasilkan pelajar yang berkebolehan dan holistik sememangnya tidak dapat disangkal.

“Pengambilan pelajar baharu mencapai 100% daripada unjuran yang dicadangkan telah menunjukkan permintaan yang sangat tinggi terhadap program ini. Proses pemilihan pensyarah pula sangat ketat bagi memastikan mereka mempunyai nilai kesarjanaan yang cemerlang, bakat, kemahiran, personaliti dan kepimpinan yang sesuai,” jelas Prof. Rahmat.

IMGM
Peralatan yang dilengkapi dengan sistem kawalan komputer memudahkan proses pengambilan data oleh pelajar

Tenaga pengajar di FKT bukan sahaja terlibat dalam proses pengajaran tetapi juga aktif dalam penyelidikan dan pembangunan di industri, pembangunan standard nasional, dan menghasilkan buku rujukan yang digunakan oleh agensi-agensi utama seperti SIRIM dan Suruhanjaya Tenaga.

FKT juga berjaya melahirkan ramai alumni yang kini memegang jawatan penting dalam sektor industri dan sektor awam. Antara alumni terkenal daripada jurusan Kejuruteraan Kimia termasuklah Dato’ Ir. Ts. Ahmad Izram Osman, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Bagi jurusan Kejuruteraan Petroleum, alumni tersohor termasuklah Haji Burhanuddin Md Radzi, pengasas Les Copaque, dan Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM sendiri.

IMGM
Makmal yang dilengkapi dengan peralatan yang digunakan dalam industri memdedahkan pelajar kepada gerak kerja industri sebenar

Dalam usaha mengekalkan dan meningkatkan kedudukan program Kejuruteraan Petroleum dan Kejuruteraan Kimia di FKT dalam QS World University Rankings by Subject, Prof. Rahmat turut berkongsi inisiatif yang dilaksanakan pada tahun 2024. Antara yang menjadi fokus adalah pelaksanaan sistem solar dan pengumpulan air, kempen kelestarian tenaga FKT serta pelancaran “Skunk Team”. Selain itu, fakulti juga merancang program sangkutan staf di industri, pengaplikasian AI dalam kurikulum FKT, pengesanan alumni terkemuka, dana endowmen untuk usaha kelestarian dan pembangunan bakat inovasi staf dalam kategori profesional dan pelaksana di FKT. Semua inisiatif ini bertujuan memperkukuh kedudukan fakulti dalam ranking dunia dan memastikan program tersebut terus cemerlang di peringkat global.

IMGM

Prof. Rahmat menzahirkan harapannya agar fakulti ini menjadi peneraju kegemilangan dalam bidang pengkhususan yang dipelopori serta berperanan sebagai pakar rujuk yang membantu Malaysia meraih pengiktirafan global melalui perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran di semua peringkat pendidikan dan latihan profesional. Beliau juga menekankan pentingnya penerokaan teknologi termaju yang praktikal, kepimpinan dalam melahirkan graduan yang holistik dan beradab serta usaha berterusan untuk mengekalkan dan meningkatkan kedudukan fakulti dalam QS World University Rankings by Subject. Dengan visi yang jelas dan perancangan strategik yang rapi, FKT berada di landasan yang tepat untuk terus cemerlang pada masa hadapan.

IMGM
Prof. Ir. Dr. Rahmat Mohsin membahas berkenaan dengan pencapaian FKT dalam QS World University Rankings by Subject ketika ditemui di pejabatnya

“Kami beraspirasi untuk memimpin generasi graduan yang holistik dan beradab serta mengekalkan kedudukan kami dalam QS World University Rankings yang membanggakan,” ujar Prof. Rahmat.

Kejayaan FKT dalam QS World University Rankings by Subject 2024 bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik fakulti ini tetapi juga komitmen UTM dalam menghasilkan graduan yang kompeten dan bersedia untuk menghadapi cabaran industri global. Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga terus melangkah maju dengan visi dan misi yang mantap untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Explore More