September 28, 2024

Search
Close this search box.
b

The Thrill Inside The Bugis Venture: JKM KTDI Melawat Sekolah Di Bumi Makassar (ROTMA’24)

MAKASSAR, 15 Mei – Disaat pelajar lain sedang sibuk menghadapi minggu ujian, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Dr. Ismail (JKM KTDI) bekerja keras bagi melakukan persiapan program tanpa melupakan tugas hakiki mereka sebagai pelajar iaitu pelajaran. UTM : Road To Makassar atau lebih dikenali sebagai ROTMA‘24 merupakan sebuah program berimpak tinggi yang dikendalikan oleh JKM KTDI sesi 2023/2024 di bawah program Top Bidder. Program ini telah berjaya menarik minat jabatan-jabatan seperti Bahagian Rekrutmen dan Kemasukan Mahasiswa UTM (UTM SRAD), UTM Alumni dan UTM International untuk berkolaborasi bersama JKM KTDI bagi menjayakan program ini. Selain berfokus kepada pertukaran budaya dan pengetahuan, program ini dilihat mampu meningkatkan lagi nama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di peringkat antarabangsa. Melalui program sampingan ‘Discover UTM: Your path to Excellence’, JKM KTDI telah mengorak langkah dengan membantu dalam mempromosikan UTM kepada pelajar-pelajar di dua buah sekolah di Makassar, Indonesia. Program ini bertujuan bagi memperkenalkan kepada para pelajar berkaitan program akademik yang disediakan di UTM, mempromosikan UTM, serta menarik minat pelajar antarabangsa untuk menyambung pelajaran di Malaysia khususnya di UTM.

Body

Krew program dibahagikan kepada dua kumpulan di mana kumpulan pertama ke Sekolah Menengah Atas (SMA) Islam Athirah manakala kumpulan kedua bergerak ke SMA Kartika Wirabuana. Program ini dijalankan serentak di kedua-dua buah sekolah pada waktu pagi. Kehadiran krew program disambut baik oleh pihak sekolah.

Rotma

 

 

 

 

Program dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran yang juga merupakan budaya masyarakat di sana bagi memulakan sesebuah majlis. Seterusnya diikuti dengan persembahan nyanyian oleh pelajar sekolah dan sedikit kata alu-aluan oleh wakil daripada pihak sekolah.

Rotma

Sesi pertama ‘Discover UTM : Your Path to Excellence’ dimulakan dengan sesi suai kenal bersama para pelajar dan diteruskan dengan sesi perkongsian berkaitan program-program yang ditawarkan oleh UTM, fasiliti UTM, pencapaian UTM, dan juga perkongsian pengalaman oleh pelajar Indonesia yang belajar di UTM. Pelbagai soalan telah diajukan oleh para pelajar berkaitan UTM yang menunjukkan minat mereka terhadap apa yang telah disampaikan kepada mereka.

Rotma

Selesai sahaja sesi perkongsian, beberapa aktiviti telah dilakukan bersama para pelajar. Riak wajah yang ceria jelas terpancar daripada para pelajar ketika aktiviti sedang berlangsung. Hal ini sekali gus memberi gambaran kepada para pelajar bahawa pembelajaran di peringkat Universiti khususnya di UTM bukanlah sebuah fasa pembelajaran yang membosankan semata-mata tetapi akan menjadi sebuah kenangan buat mereka.

Rotma

 

 

 

 

Program ini disusuli dengan sesi penyerahan cenderahati oleh kedua-dua belah pihak dan diakhiri dengan sesi fotografi. Setelah itu, krew program telah dibawa melawat sekitar bangunan sekolah untuk melihat sendiri suasana pembelajaran di bumi Indonesia.

Rotma

Secara keseluruhan, program ROTMA‘24 ini telah mendapat respon yang baik daripada pelbagai pihak sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Program ini juga telah memberi pengalaman yang sangat berharga kepada semua yang terlibat tidak kira krew mahupun peserta. Pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh secara tidak langsung membantu dalam melahirkan lebih ramai masyarakat yang tidak hanya berjaya dalam akademik dan kemahiran sosial tetapi juga peka dan menghargai adat resam serta kepelbagaian bangsa dan etnik di muka bumi ini.

 

Disediakan oleh: Ahmad Harith bin Ahmad Bakhtiar

Explore More