Jun 17, 2024

Search
Close this search box.
Screenshot at  AM

Sukarelawan UTM Santuni Duyufurrahman

JOHOR BAHRU, 20 Mei – Musim haji tiba lagi dan bagi tahun 2024M / 1445H ini, seramai 31,600 bakal jemaah haji telah terpilih untuk berangkat menunaikan haji melalui beberapa stesen berlepas Operasi Haji Tanah Air (OHTA) di seluruh negara. Pada 26 dan 27 April lalu, Universiti Teknologi Malaysua (UTM) telah dipilih sebagai lokasi berlangsungnya Kursus Perdana Haji Negeri Johor melibatkan 3,620 bakal jemaah haji Negeri Johor manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTAS), Senai, Johor menjadi salah satu hub pelepasan haji bagi jemaah haji yang bermastautin di negeri Johor. 

Pada tahun ini, Pusat Kerjaya UTM (UTM CC) telah mengambil inisiatif untuk membentuk pasukan sukarelawan UTM melalui agenda Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) bagi membantu pihak Lembaga Tabung Haji (TH) Negeri Johor dalam OHTA. Seramai 10 orang sukarelawan yang terdiri daripada staf Pengurusan dan Pentadbiran pelbagai skim telah bersiap siaga untuk berkhidmat dalam operasi yang melibatkan dua fasa iaitu penerbangan pergi dan sambutan kepulangan jemaah haji. 

Fasa pertama melibatkan 1,988 bakal jemaah haji telah bermula pada Jumaat, 17 Mei 2024 sehingga 29 Mei 2024. Semua sukarelawan UTM sangat komited dalam membantu pihak TH mengedarkan kit haji, mengurus daftar masuk bagasi serta memberi bantuan kepada bakal jemaah haji warga emas dan kurang upaya. 

Pengarah TH Negeri Johor, Tuan Haji Abu Shukor Jangga, ketika ditemui di lokasi menyifatkan kerjasama TH dan UTM ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak UTM kerana saban tahun tidak pernah gagal dalam menempatkan sukarelawan untuk membantu kami dalam melancarkan proses pengurusan jemaah haji di Lapangan Terbang Senai ini. Semua sukarelawan UTM pantas menyesuaikan diri dan sangat membantu memudahkan urusan jemaah haji”, ujar beliau.

“Kolaborasi ini tidak akan terhenti di sini. Pihak TH akan melihat peluang kerjasama lanjut yang lebih luas dengan pihak UTM yang melibatkan staf dan pelajar dalam aspek lain yang boleh memberi impak positif kepada kedua-dua belah pihak”, beliau menambah.

Salah seorang bakal jemaah haji, Prof. Madya Dr. Nasrul Humaimi Mahmood ketika ditemui di balai berlepas mengakui keterlibatan UTM sebagai sukarelawan OHTA adalah inisiatif yang mulia dan penting dalam memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah semasa membuat persiapan ibadah haji terutama di tanah air. 

“Dengan menyertai Tabung Haji sebagai sukarelawan, staf UTM dapat menyumbangkan kemahiran mereka dalam aspek pengurusan, komunikasi serta memberi sokongan kepada jemaah secara tidak langsung menjadikan pengalaman haji mereka menjadi lebih lancar dan bermakna. Ini juga mencerminkan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial yang tinggi di kalangan warga UTM dalam menyokong aktiviti keagamaan dan kemanusiaan”, ujar beliau yang merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Elektrik.

Sementara itu, Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA), Hajah Noor Hadayah Ahmad sangat teruja melihat keterlibatan aktif dan penuh dedikasi sukarelawan UTM dalam  Kursus Perdana Haji dan Operasi Haji Tanah Air ini.

Beliau merupakan Pegawai Psikologi Kanan di UTM CC menyifatkan semangat kesukarelawanan yang membara di kalangan warga UTM adalah suatu yang luar biasa dan terpuji. Ini disebabkan walaupun masing-masing sibuk dengan tugas rasmi di pejabat, para sukarelawan ini berani berkorban memberi khidmat bakti secara sukarela demi agama, bangsa dan negara.

“Saya sangat seronok melihat mereka teruja dalam tugasan menyantuni duyufurrahman dengan senyuman yang tak lekang di bibir. Walaupun OHTA sedang berlangsung, masih ramai yang menawarkan diri untuk terlibat sama dalam operasi ini. Selain dapat menajamkan kemahiran komunikasi berkesan serta meningkatkan resilien dalam menangani hal-ehwal bakal jemaah haji yang pelbagai,  ia juga salah satu langkah persediaan awal untuk mereka mempersiap diri menjadi tetamu Allah apabila berpeluang mengikuti taklimat ibadat serta operasi haji kepada bakal jemaah haji secara langsung”, ujar beliau yang juga merupakan wakil tunggal UTM yang dipilih ke Arab Saudi untuk menjadi Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) tahun lalu.

Fasa pertama akan diteruskan secara berperingkat sehingga 29 Mei ini manakala fasa kedua yang melibatkan kepulangan jemaah haji sebanyak 14 penerbangan akan bermula pada 3 hingga 12 Julai 2024.

Explore More