November 22, 2024

Search
Close this search box.
IMG

Program SAICEP: Program pengenalan asas STEM membakar minat pelajar dalam dunia sains

KUCHING, SARAWAK, 16 Mei – Program Sarawak Academic, Innovation and Cultural Exchange Programme (SAICEP 2024) anjuran bersama antara Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor (JKM KTC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Allamanda (JPKA) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), telah mengadakan Program Pengenalan Asas STEM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang, Petra Jaya, Kuching pada 14 Mei 2024.

Gambar bersama krew UTM dan UNIMAS yang telah menjayakan Program Pengenalan Asas STEM.

Seramai 73 pelajar Tingkatan 1 telah terlibat dalam aktiviti tersebut. Tujuan program ini adalah untuk memperkenalkan dan memupuk minat dalam bidang sains melalui  beberapa aktiviti yang telah dirancang oleh pihak mahasiswa UTM dan UNIMAS. Selain itu, pelajar juga diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif serta memupuk semangat kerjasama dengan menghasilkan sebuah produk baru daripada bahan terpakai.

Taklimat ringkas disampaikan oleh Saudari Insyirah binti Ash’ari selaku Ketua Aktiviti untuk Program Pengenalan Asas STEM.

Program ini bermula dengan sesi induksi yang melibatkan demonstrasi tangan berapi. Dengan mencampurkan sabun air dan gas bustana, peserta dapat melihat bahan yang mudah terbakar apabila terdedah kepada api. Demonstrasi ini dijalankan dengan selamat dan terdapat dua pelajar terpilih berkesempatan untuk mencubanya.

Demonstrasi tangan berapi sebagai pembukaan Program Pengenalan Asas STEM berjaya meningkatkan minat pelajar terhadap aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan.
Pelajar terpilih untuk melakukan demonstrasi tangan berapi dengan selamat ditemani oleh Saudara Muhammad Syafiq Rusyaidi bin Aqeeb Lizalman Nordin sebagai fasilitator.

Terdapat tiga aktiviti yang dijalankan ke atas pelajar. Aktiviti pertama adalah pembuatan roket botol berdasarkan Hukum Ketiga Newton yang menyatakan setiap tindak balas memiliki tindak balas yang serupa tetapi berlawanan arah. Melalui campuran cuka dan serbuk penaik dalam botol yang ditutup rapat, gas akan dihasilkan untuk meningkatkan tekanan dalam botol. Kemudian, botol tersebut diletakkan di tempat pelepasan di mana gas yang dikeluarkan dengan pantas akan mendorong botol ke atas.

Tekanan dalam roket botol meningkat akibat campuran cuka dan serbuk penaik, menyebabkan gas dalam botol terlepas dan menghasilkan daya yang mendorong botol ke atas.

Aktiviti kedua melibatkan konsep graviti dan daya seret di mana pelajar mencuba untuk mencipta sebuah payung terjun yang mengambil masa paling lama untuk mendarat. Pelajar diberi penerangan tentang faktor jisim dan bentuk yang mempengaruhi masa payung terjun untuk mengapung di udara.

Pelepasan payung terjun hasil kreatif pelajar menunjukkan masa mendarat masing-masing berbeza disebabkan faktor jisim dan bentuk penghasilan payung terjunnya.

Aktiviti terakhir melibatkan penciptaan kereta belon yang bergerak dengan angin. Pelajar diminta mencipta kereta belon yang menarik dan dapat bergerak laju dalam jarak yang jauh. Konsep aktiviti ini serupa dengan aktiviti payung terjun, di mana faktor seperti saiz dan bentuk kereta serta kedudukan belon mempengaruhi magnitud geseran antara roda kereta dan permukaan, yang akan menentukan jarak maksimum kereta belon tersebut.

Pelajar sedang mengatur kereta belon mereka, mencari penyelesaian untuk perjalanan yang lebih jauh dan lancar.

Program ini ditutup dengan majlis penutup dan sesi penyampaian hadiah yang dihadiri oleh Encik Kamel bin Haji Achong, Pengetua SMK Bandar Samariang, Dr. Muhammad Talhah Ajmain@Jima’ain, Penasihat Program SAICEP 2024 serta Saudari Nur Fariza Muhammad, pengarah program SAICEP 2024. Majlis penutup diserikan dengan ucapan yang menginspirasikan oleh Dr. Muhammad Talhah, yang menekankan pentingnya pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam membentuk masa depan pelajar serta memberikan galakkan kepada pelajar agar tekun dalam menuntut ilmu. En Kamel pula menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk mahasiswa UTM dan UNIMAS, yang telah berusaha menjayakan program ini. Selain itu, sesi penyampaian hadiah turut diadakan bagi menghargai usaha dan kreativiti pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam aktiviti-aktiviti STEM sepanjang program ini.

Majlis penutup dengan kehadiran (dari kiri) Encik Kamel bin Haji Achong, Dr. Muhammad Talhah Ajmain@Jima’ain, dan Cik Nur Fariza Muhammad.
Sesi penyampaian hadiah kepada kumpulan cemerlang berdasarkan jarak roket belon, tempoh payung belon mendarat, serta kereta belon yang paling menarik dan bergerak jauh.

Majlis Penutup diakhiri dengan sesi pemberian buku sumbangan dari Program SAICEP, mewakili UTM Penerbit, kepada pihak sekolah. Sumbangan ini bertujuan untuk memperkaya sumber bacaan dan rujukan pelajar, sekaligus mendidik masyarakat berilmu dan mengukuhkan hubungan kerjasama antara universiti dan sekolah.

Sesi pemberian buku sumbangan dari UTM Penerbit kepada sekolah, memperkukuhkan lagi hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti serta sebuah proses mendidik masyarakat dengan ilmu.

Tuntasnya, semua bahan yang digunakan semasa aktiviti Pengenalan Asas STEM hanya terdiri daripada bahan terpakai seperti botol plastik, penyedut, getah, dan lidi sate. Bahan-bahan ini mampu menghasilkan produk sains yang telah dikreatifkan oleh pelajar. Diharapkan aktiviti-aktiviti ini dapat menggalakkan minat dan semangat pelajar SMK Bandar Samariang dalam pembelajaran sains selepas program ini.

Explore More