Disember 28, 2024

Program SAICEP: Pertukaran Akademik, Inovasi serta Kebudayaan di Bumi Kenyalang

SARAWAK, 22 Mei – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor (JKM KTC) telah berjaya menganjurkan program Sarawak Academic, Innovation and Cultural Exchange Programme (SAICEP 2024) di Kuching, Sarawak. Program ini berlansung selama enam hari, dari 12 Mei sehingga 17 Mei 2024. Seramai 19 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai program ini di bawah iringan Dr. Muhammad Talhah Ajmain@Jima’ain, felo penasihat KTC, dan En. Matthias Tiong Foh Thye, pembantu felo penasihat KTC.

Ketibaan peserta UTM di Lapangan Terbang Kuching pada malam 11 Mei 2024 disambut mesra oleh peserta UNIMAS.

Program ini sangat bermakna bagi peserta dari UTM kerana ini merupakan kali pertama bagi kebanyakan dari mereka untuk menjejak kaki ke Sarawak. Seperti yang tercermin dalam nama program, tujuan utamanya adalah memberi peluang kepada peserta dari UTM untuk melakukan silang pertukaran akademik, inovasi dan budaya dengan universiti dan komuniti di Sarawak. Mereka telah mendapat kerjasama dengan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Allamanda (JPKA) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pihak komuniti di Kuching Family Park dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang.

Dalam aspek akademik, pelbagai aktiviti telah dijalankan dengan penuh jayanya. Antaranya ialah Kursus Penyembelihan di Masjid Ar-Rahman pada 12 Mei 2024 yang melibatkan komuniti Kuching Family Park. Kursus ini telah disampaikan oleh Ustaz Faridzuan Abdullah dari Pejabat Agama Islam Bahagian Kuching dan Haji Mohd Azuan Haji Sabali dari Jabatan Agama Islam Sarawak. Peserta-peserta dapat mempelajari cara-cara dan hikmah menyembelih ayam secara halal dan Toyyiba (Bersih, patuh Syariah).

Program SAICEP juga mengadakan Program Pengenalan Asas Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di SMK Bandar Samariang pada 14 Mei 2024. Program ini memberi peluang kepada pelajar sekolah tersebut untuk memperoleh pengalaman praktikal dan memupuk minat dalam bidang sains melalui aktiviti-aktiviti STEM yang diadakan. Selain itu, Forum Pembangunan Belia pada malam 15 Mei 2024, bersempena Hari Belia, menjadi acara yang sangat bermakna bagi peserta dengan inspirasi dan iktibar yang diperoleh dari panelis jemputan yang dihormati, iaitu Dr. Muhammad Talhah, Pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2023, dan Puan Sharnaz Saberi, Penerima Anugerah Belia Sarawak 2022.

Aktiviti bersifat akademik merangkumi kursus penyembelihan, program pengenalan asas STEM dan Forum Pembangunan Belia.

Seterusnya, bagi aspek inovasi pula, peserta SAICEP telah mengadakan aktiviti simenfero di Kuching Family Park, menghasilkan lima kerusi menggunakan simen yang akan dimanfaatkan oleh penduduk di Taman Lanskap mereka. Ilmu berkaitan simenfero ini telah dipelajari lebih awal oleh para peserta di UTM dari Encik Nawawi Mohd Salleh yang merupakan seorang tenaga pengajar teknikal kokurikulum Simenfero di UTM. Selain itu, aktiviti SAICEP Garden yang menggunakan tayar terpakai untuk membuat lima kerusi juga meninggalkan kenangan yang manis bagi pihak Kolej Allamanda di UNIMAS.

Aktiviti inovasi menghasilkan kerusi menggunakan simen (gambar di atas) dan tayar terpakai (gambar di bawah).

Bagi elemen yang terakhir, iaitu kebudayaan, festival sukan rakyat yang melibatkan permainan tradisional telah dianjurkan di Kuching Family Park. Permainan yang telah dijalankan termasuk tarik upih, galah panjang, batu Seremban, ceper, batak lampong, konda kondi dan tarik tali. Selain itu, pertukaran silang budaya juga dijalankan di mana peserta UTM mempelajari Tarian Rejang Beuh dari peserta UNIMAS, manakala peserta UNIMAS mempelajari tarian Zapin dari peserta UTM. Persembahan tarian dari kedua-dua kumpulan telah dibuat yang memeriahkan majlis perasmian penutupan pada malam 16 Mei 2024.

Aktiviti festival sukan rakyat yang menekankan aspek kebudayaan melalui permainan tradisional.
Tarian Rejang Beuh (atas) dan tarian zapin (bawah) yang dipersembahkan oleh peserta SAICEP semasa majlis perasmian penutupan adalah hasil dari aktiviti persilangan budaya.

Sementara itu, peserta program SAICEP dari UTM juga berkesempatan untuk mengadakan aktiviti eksplorasi warisan Sarawak. Antaranya ialah lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 15 Mei 2024 yang bertepatan dengan hari pertama persidangan DUN Sarawak ke-19. Para peserta dapat menyaksikan proses perundangan di Sarawak, memperkaya pengetahuan mereka tentang politik dan pentadbiran negeri, serta menambah pengalaman akademik dan kokurikulum di luar bilik kuliah.

Peserta SAICEP yang berpenampilan kemas dan bersemangat dengan pakaian formal mereka melawat ke DUN Sarawak.

Selain itu, peserta SAICEP mengambil peluang untuk mengunjungi Brooke’s Gallery di Fort Margherita yang menceritakan sejarah Sarawak semasa era Brooke, yang juga dikenali sebagai ‘Rajah Putih’. Mereka mempelajari bagaimana dinasti Brooke membentuk dan mempengaruhi perkembangan politik, ekonomi, dan sosial di Sarawak, serta cabaran yang dihadapi oleh penduduk tempatan. Pengalaman ini memperkaya pengetahuan sejarah mereka dan memberikan perspektif tentang warisan kolonial yang masih mempengaruhi budaya dan identiti Sarawak.

Gambar bersama di depan Brooke’s Gallery setelah menjejak warisan sejarah Sarawak.
Bendera Sarawak, juga dikenali sebagai bendera Ibu Pertiwi, dikibarkan di Tiang Ibu Pertiwi berdekatan dengan Brooke’s Gallery, yang merupakan tiang tertinggi di Asia Tenggara.

Pada 17 Mei 2024, sebelum bertolak balik ke Johor Bahru, peserta SAICEP mengunjungi Borneo Cultural Museum untuk mendalami kekayaan budaya dan warisan etnik Borneo melalui koleksi artifak, seni, pakaian tradisional, dan peralatan harian masyarakat pribumi seperti Iban, Bidayuh, dan Orang Ulu. Kesan daripada lawatan ini, mereka mempelajari tentang kepelbagaian etnik dan warisan di Malaysia, menjadikan penutup kepada program SAICEP ini membekas di jiwa dan lebih bermakna.

Borneo Cultural Museum ialah tempat lawatan terakhir di Sarawak memperlihatkan senyuman dan ceria dari para peserta.

Ironinya, program SAICEP telah berjalan dengan penuh jayanya. Pengorbanan masa dan khidmat tenaga dari para peserta SAICEP serta sokongan dari felo penasihat KTC dan Kolej Allamanda turut diberi penghargaan. SAICEP juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja termasuk KTC, JPKA UNIMAS, Jabatan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (JTNCAA) UTM, Jabatan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (JTNCPI) UTM, UTM Alumni, Penerbit UTM Press, UNIMAS, Yayasan Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Irfan Resources dan Cafe UNIMAS yang telah menyumbangkan sama ada dalam bentuk tunai atau barangan. Program ini juga merupakan salah satu program yang ditaja oleh program UTM Top Bidder yang dianjurkan oleh Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UTM. Insya-Allah, JKM KTC akan terus berusaha menganjurkan lebih banyak program yang berimpak dan Menginovasikan Solusi pada masa hadapan.

Sesi gambar bersama sebelum peserta UTM pulang ke Johor, mengabadikan momen manis penutupan lawatan mereka di Sarawak yang penuh dengan pengalaman berharga dan kenangan yang tidak akan dilupakan.

Explore More