November 22, 2024

Search
Close this search box.
featured

Program SAICEP: kolaborasi mahasiswa UTM dan UNIMAS di Kuching Family Park, Sarawak

KUCHING, SARAWAK , 14 Mei – Suasana di Kuching Family Park (KFP) sungguh meriah tatkala kehadiran peserta program Sarawak Academic, Innovation and Cultural Exchange Programme (SAICEP 2024) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor (JKM KTC) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Kolej Allamanda (JPKA) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Sesi gambar bersama di antara peserta Program SAICEP 2024 dan penduduk Kuching Family Park, menampilkan senyuman dan semangat kebersamaan yang memenuhi udara.

Hari ini menandakan permulaan program SAICEP yang berlangsung selama 6 hari sehingga 17 Mei 2024 di Kuching, Sarawak. Salah satu tujuan program ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara institusi pelajar dan pihak masyarakat setempat. KFP dipilih sebagai lokasi kerana ia merupakan mercu tanda usaha Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam menjadikan Kuching sebagai bandar bersih, cantik, selamat, pintar dan lestari.

Program SAICEP telah mendapat kerjasama dari pihak Kerukunan Tertangga dan Kejiranan Mesra (KRT KJM) serta Masjid Ar-Rahman untuk menjalankan beberapa aktiviti di KFP. Aktiviti pertama yang diadakan adalah Festival Sukan Rakyat pada waktu pagi yang menekankan aspek sukan dan kebudayaan melalui permainan tradisional seperti tarik upih, galah panjang, batu Seremban, ceper, batak lampong, konda kondi dan tarik tali. Aktiviti ini disambut hangat oleh anak-anak muda KFP yang berusia antara 7 hingga 17 tahun.

Kemeriahan aktiviti Festival Sukan Rakyat dirasai dengan penuh keceriaan oleh anak-anak muda Kuching Family Park, diikuti dengan sesi penyampaian hadiah kepada semua peserta yang terlibat dalam aktiviti ini.

Aktiviti seterusnya pada waktu petang pula adalah perkongsian ilmu simenfero dan kursus penyembelihan yang dijalankan secara serentak dengan dibahagikan peserta SAICEP kepada dua kumpulan. Kumpulan yang pertama melaksanakan aktiviti perkongsian ilmu simen dengan melakukan demonstrasi kepada penduduk dewasa KFP tentang langkah-langkah membuat simenfero. Ilmu berkaitan simenfero ini telah dipelajari lebih awal oleh para peserta di UTM dari Encik Nawawi bin Mohd Salleh. Beliau merupakan seorang tenaga pengajar teknikal kokurikulum Simenfero di UTM. Para peserta bersama-sama penduduk KFP berjaya membuat lima kerusi menggunakan simen yang akan dimanfaatkan oleh penduduk di Taman Lanskap KFP.

Sesi pembelajaran simenfero oleh peserta SAICEP 2024 di UTM bersama Encik Nawawi bin Mohd Salleh sebelum program.
Aktiviti demonstrasi pembuatan simenfero untuk mencipta empat kerusi bagi penduduk Kuching Family Park, mengukuhkan lagi ikatan antara peserta program dengan komuniti setempat.

Pada masa yang sama, peserta daripada kumpulan kedua pula mengikuti kursus penyembelihan ayam yang disampaikan oleh Ustaz Faridzuan bin Abdullah dari Pejabat Agama Islam Bahagian Kuching. Mereka, bersama beberapa penduduk KFP, mempelajari cara-cara dan hikmah menyembelih ayam secara halal dan Toyyiba (Bersih, patuh Syariah). Peserta juga berpeluang menimba pengalaman penyembelihan ayam melalui sesi amali yang dikendalikan oleh Haji Mohd Azuan bin Haji Sabali dari Jabatan Agama Islam Sarawak.

Kursus Penyembelihan disampaikan oleh Ustaz Faridzuan bin Abdullah, membawa pemahaman yang mendalam mengenai proses penyembelihan secara halal dan Toyyiba kepada peserta.
Sesi amali penyembelihan yang dipimpin oleh Haji Mohd Azuan Bin Haji Sabali, memberikan pengalaman praktikal kepada peserta program dalam melaksanakan proses penyembelihan secara betul dan patuh syariah.

Setelah usai kursus penyembelihan, para peserta program bersama-sama pihak Masjid Ar-Rahman berganding bahu dalam menyediakan juadah makan malam dengan menu istimewa daripada Sarawak iaitu ayam pansuh. Aktiviti program SAICEP pada hari pertama ini diakhiri dengan majlis makan malam bersama penduduk KFP selepas solat Isyak. Melalui program ini, diharapkan ikatan silaturahim yang terjalin dapat terus berkekalan dan menjadi inspirasi bagi usaha-usaha kerjasama serupa ini di masa hadapan.

Perkongsian dalam memasak ayam pansuh, hidangan istimewa di Sarawak, menghadirkan suasana memasak tradisional yang kaya dengan cita rasa tempatan kepada peserta program SAICEP 2024.
Sesi penutup bersama penduduk Kuching Family Park diakhiri dengan beramah mesra dan menjamu makanan bersama-sama bertempat di Masjid Ar-Rahman. Para penduduk menikmati juadah makanan dengan penuh rasa kesyukuran dan mahabbah.

Explore More