Disember 22, 2024

featured

Program SAICEP: Kolaborasi JKM KTC dan Kolej Allamanda UNIMAS Memperkukuh Hubungan Akademik dan Budaya

KUCHING, SARAWAK, 19 Mei – Buat pertama kalinya Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor (JKM KTC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah merentasi Laut China Selatan untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Allamanda (JPKA) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Program yang dinamakan Sarawak Academic, Innovation dan Cultural Exchange Programme (SAICEP) ini berlangsung selama enam hari dari 12 Mei hingga 17 Mei 2024.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang peserta SAICEP dari UTM berada di UNIMAS. Antaranya adalah sesi ramah mesra bersama Encik Muhammad Azhan Bin Abdullah, Pengetua Kolej Allamanda. Pelajar UTM disambut mesra oleh beliau dan ahli JPKA, serta diberi penerangan tentang sejarah dan pembangunan UNIMAS. Para peserta kemudian mengadakan aktiviti ice breaking serta campus tour untuk melawat sekitar UNIMAS.

Sesi ramah mesra bersama Encik Muhammad Azhan Bin Abdullah (Pengetua Kolej Allamanda) yang memberi penerangan tentang sejarah dan pembangunan UNIMAS.
Sesi ice breaking bertujuan untuk merapatkan hubungan dan meningkatkan kerjasama antara peserta UTM dan UNIMAS.
Sesi campus tour di sekitar UNIMAS, di mana lokasi gambar ini diambil di Jambatan Cinta Tasik yang merupakan salah satu tarikan di UNIMAS.
Mercu Tanda Fakulti Kejuruteraan, UNIMAS.

Bersempena Hari Belia, SAICEP menganjurkan Forum Pembangunan Belia yang membincangkan peranan dan cabaran-cabaran belia masa kini dalam pembangunan masyarakat dan negara. Panelis jemputan, Dr Muhammad Talhah bin Jima’ain, Pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2023, dan Puan Sharnaz binti Saberi, Penerima Anugerah Belia Sarawak 2022, turut serta dalam forum ini. Forum ini juga disiarkan secara langsung di Instagram KTC (@royal6th) supaya mahasiswa UTM dapat menyertai forum ini.

Forum Pembangunan Belia diterajui oleh Puan Sharnaz binti Saberi dan Dr. Muhammad Talhah bin Jima’ain, dengan penyelenggaraan oleh saudara Muhammad Faiz Farhan Bin Yusnizam.

Salah satu soalan dari peserta forum ini, Cik Aida Hartini binti Ismail, adalah, “Belia pada hari ini akan sentiasa mencuba sesuatu perkara yang baru. Namun, kebanyakan belia akan berasa tidak berani dan khuatir untuk mencuba perkara yang tidak biasa bagi mereka.” Menurut Puan Sharnaz, perasaan tersebut merupakan satu proses yang tidak dapat dielakkan untuk mencapai kepada sesuatu matlamat. Belia perlu mencabar dirinya untuk memulakan dan berusaha sedaya upaya menamatkan perkara yang baru tersebut. Bak kata pepatah, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Para belia perlu mencari hakikat, apa tujuan mereka hidup di dunia ini dan berusaha mengapai apa impian yang dipasakkan. Jangan takut kepada kegagalan kerana itulah guru terbaik untuk menjadikan kita belia yang lebih baik. “Embrace change, be the change,” nasihat beliau kepada para belia hari ini.

Cik Aida Hartini binti Ismail membangkitkan isu mengenai mengatasi kebimbangan dan ketidakselesaan dalam menghadapi cabaran baru.

Forum ini ditutup dengan penuh makna oleh Dr. Muhammad Talhah, yang menggunakan analogi kertas dan pen. Beliau meminta peserta untuk menyebut kertas sebagai pen dan pen sebagai kertas. Menurut penjelasannya, semasa zaman persekolahan, kita dibimbing oleh ibu bapa dan guru dengan cara yang jelas dan betul. Tetapi, ketika kita memasuki alam universiti, kita dihadapkan dengan pelbagai pilihan dan keputusan sendiri. Tiada lagi panduan langsung dari ibu bapa. Kita mula diperkenalkan dengan situasi yang mencabar dan mungkin salah, seperti yang ditunjukkan oleh analogi kertas dan pen. Walaupun pada permulaannya kita mungkin berasa takut, tetapi kita perlu mencuba sehingga kita menjadi biasa dengan cabaran tersebut. Manakala, satu sisi lagi adalah, bagi perkara yang tidak betul, kita tinggalkan jangan dibiasakan, kelak akan terbiasa melakukan hal yang sebenarnya salah. Sebagai belia Malaysia, kita memilih arah kita sendiri untuk masa hadapan negara, menuju perubahan dan kepimpinan.

Sesi pemberian cenderahati kepada panelis jemputan Forum Pembangunan Belia, disampaikan oleh Encik Muhamad Azhan bin Abdullah (Pengetua Kolej Allanmanda) yang diiringi oleh Cik Ummikhaira Sofea (Felo Kolej Allamanda).

Peserta SAICEP mengadakan aktiviti SAICEP Garden, di mana para peserta membina lima buah kerusi menggunakan tayar terpakai. Tayar-tayar tersebut dicat dan diubah suai menjadi kerusi yang akan dijadikan kenangan kepada pihak UNIMAS tentang program SAICEP 2024.

Peserta SAICEP bergotong-royong untuk mengecat tayar terpakai sebelum menghasilkan kerusi yang kreatif dan menarik.
Hasil produk dari aktiviti SAICEP Garden menjadi kenangan bermakna untuk Kolej Allamanda, UNIMAS.

Pada malam hari yang sama, Majlis Perasmian Penutupan Program SAICEP 2024 diadakan dan dihadiri oleh Prof. Ir Dr. Al-Khalid Haji Othman, TNC HEPA UNIMAS, Prof. Madya Dr. Faisal Ali Bin Anwarali Khan, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UNIMAS, Encik Muhammad Azhan Bin Abdullah, Pengetua Kolej Allamanda, Dr. Muhammad Talhah Bin Ajmain @ Jima’ain, wakil Pengetua Kolej Tuanku Canselor dan Penasihat Program SAICEP 2024, Haji Yul Haidzir Razali, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Kejiranan Mesra Kuching Family Park, Prof. Madya Dr. Sophian bin Bujang, Mantan Pengetua Kolej Allamanda, Mohd Zul Hariz Bin Mohd Fadzli, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Cik Nur Fariza Binti Muhammad, pengarah program SAICEP 2024 dan Cik Sarah Yong Xin Ying, pengarah bersama program SAICEP 2024.

Barisan tetamu kehormat yang menghadiri majlis perasmian penutupan program SAICEP 2024, termasuk (dari kiri) Mohd Zul Hariz Bin Mohd Fadzli, Prof. Madya Dr. Sophian bin Bujang, Prof. Madya Dr. Faisal Ali Bin Anwarali Khan, Dr. Muhammad Talhah Bin Ajmain @ Jima’ain, Prof. Ir Dr. Al-Khalid Haji Othman, Encik Muhammad Azhan Bin Abdullah, Haji Yul Haidzir Razali, Cik Nur Fariza Binti Muhammad dan Cik Sarah Yong Xin Ying.
Majlis perasmian penutupan turut dihadiri oleh penduduk Kuching Family Park (barisan hadapan).

Majlis ini turut dimeriahkan dengan acara persembahan silang budaya yang dipersembahkan oleh peserta SAICEP. Pertukaran budaya telah berlaku di antara peserta SAICEP dari UTM dan UNIMAS. Peserta dari UTM telah mempelajari tarian Rejang Beuh, yang juga dikenali sebagai tarian helang kerana gerakannya menyerupai pergerakan helang yang mengibaskan sayapnya. Tarian ini merupakan tradisi kaum Bidayuh selepas musim menuai. Sementara itu, peserta dari UNIMAS mempelajari tarian zapin, iaitu tarian tradisional masyarakat Melayu yang telah dikenali sejak zaman dahulu. Tarian ini diilhamkan oleh peranakan Arab dan dipercayai berasal dari Yaman melalui pedagang yang berdagang di kawasan tersebut.

Tarian Rejang Beuh (gambar atas) dan tarian zapin (gambar bawah) yang dipersembahkan oleh peserta SAICEP adalah hasil dari aktiviti persilangan budaya.

Majlis pada malam tersebut diteruskan lagi dengan sesi perasmian penutupan Program SAICEP 2024 menggunakan gong sebagai gimik. Penggunaan gong sebagai gimik telah menjadi tradisi lama di UNIMAS. Pada malam tersebut, gong telah dibunyi sebanyak tiga kali, melambangkan tiga elemen program SAICEP iaitu akademik, inovasi dan budaya. Sesi penyampaian cenderahati telah dijalankan untuk memberi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Kolej Allamanda dan Kolej Tuanku Canselor yang bekerjasama, Kuching Family Park yang memberi peluang kepada peserta SAICEP untuk menjalankan khidmat masyarat, dan pihak UNIMAS yang sudi menerima kedatangan para peserta dari UTM.

Gong telah diketuk sebanyak tiga kali oleh Prof. Ir Dr. Al-Khalid Haji Othman, melambangkan tiga elemen Program SAICEP: akademik, inovasi dan budaya.
Sesi pertukaran cenderahati antara Kolej Tuanku Canselor dan Kolej Allamanda.
Sesi penyampaian penghargaan kepada pihak UNIMAS (gambar atas) dan pihak Kuching Family Park (gambar bawah).

Sebagaimana pepatah berkata, “tak kenal, maka tak cinta”. Sepanjang enam hari program di Kuching, hubungan silaturahim terjalin erat di antara Kolej Tuanku Canselor (KTC) dan Kolej Allamanda (KA) melalui pelbagai aktiviti di Kuching Family Park, SMK Samariang, dan UNIMAS. Seperti yang tercermin dalam nama program, pertukaran akademik, teknologi, dan budaya telah dicapai dengan penuh jayanya. Para peserta sungguh bangga dengan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya. Semoga mahasiswa mahasiswi dari kedua-dua universiti akan terus berusaha memperkukuhkan hubungan ini serta menjadi belia yang berani menyahut cabaran dan menyumbang kepada pembangunan negara kita yang tercinta.

Sesi bergambar bersama semasa majlis perasmian penutupan Program SAICEP 2024.

Explore More