NEGERI SEMBILAN, 9 Mei – Berlangsungnya sebuah program “Moh ke Jolobu !” bermula daripada 9 hingga 11 MEI 2024 yang dibawakan khas oleh Kelab Lambaian Masyarakat (KLM) dan KLM ini merupakan sebuah kelab di bawah naungan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor (JKM KTC). Program ini telah mendapat tajaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang dan beberapa jabatan dalam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) antaranya kolej kediaman KTC, UTM International, WAKAF, UTM Alumni dan Jabata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). Program ini juga adalah program kesinambungan daripada program “Parit Bugis Yuk!”. Bersesuaian dengan bidang tujahan KTC, iaitu Inovatif, Kreatif & Pengantarabangsaan, program ini telah mendapat sokongan penuh daripada Pengetua KTC, Prof. Ir. Dr. Sharul Kamal Abdul Rahim, dibantu oleh Felo Penasihat Program, Dr. Fatin Afiqah Md Azmi, Pembantu Felo Penasihat, Cik Fatin Batrisya Jihat@Ahmad serta Pengarah Program, saudari Siti Nurbalqis Jaanavaskhan. Dikesempatan ini, KLM telah mengambil peluang keemasan ini untuk mendalami dan mempelajari nilai-nilai dan budaya baharu di Kampung Ulu Jelebu, Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Lokasi pilihan program kami kali ini mempunyai keunikannya tersendiri dari segi adat, warisan dan budaya masyarakat di sana.
Program ini melibatkan seramai 37 peserta termasuk 29 orang ahli jawatankuasa dan 8 orang pelajar antarabangsa yang terdiri daripada pelbagai negara seperti Korea, Jepun, Nigeria, Maghribi, Mesir, Myanmar, Indonesia, dan Bangladesh. Program ini adalah bertujuan untuk mempelajari dan mengenal nilai, budaya dan kesenian yang pelbagai, menggalakkan toleransi budaya dengan berinteraksi dan mengenal budaya masyarakat Negeri Sembilan serta untuk membina hubungan sosial bersama komuniti setempat yang mampu merapatkan jurang sosial.
Muzium Adat yang berada di tengah pekan Kuala Klawang, Jelebu menjadi lokasi pertama dikunjungi buat para peserta. Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk memperkenalkan serba sedikit mengenai adat,budaya dan warisan negeri-negeri di Malaysia terutamanya Negeri Sembilan. Muzium ini merupakan muzium pertama di negara kita yang menghimpunkan adat dari pelbagai etnik di Malaysia dan ia mempunyai empat buah galeri utama yang memberi penekanan kepada beberapa kegiatan dan menghimpunkan beberapa aspek kehidupan masyarakat Malaysia yang dikenali sebagai adat bersesuaian dengan imej dan identiti Negeri Sembilan sebagai “Tanah Beradat”.
Setelah selesai melawat Muzium adat, perjalanan diteruskan ke lokasi utama iaitu Kampung Ulu Jelebu untuk bertemu dengan keluarga angkat masing-masing. Setiap rumah keluarga angkat telah diberi pengiktirafan sebagai Homestay Klawang. Setelah itu, peserta dibawa oleh penduduk kampung untuk mengelilingi sekitar kampung dan melawat tempat bersejarah di sana antaranya, Makam Sejarah Jelebu dan Masjid Kuala Dulang. Pada sebelah malam, aktiviti kerohanian serta inovasi diadakan di surau Kampung Ulu Jelebu bersama-sama dengan penduduk kampung. Turut memeriahkan acara, salah seorang penduduk kampung turut serta dalam projek inovasi “lava lamp” yang menggunakan bahan mudah didapati seperti minyak masak, cuka, pewarna dan soda bikarbonat. Pada masa yang sama, beberapa krew dan peserta antarabangsa belajar dan berlatih menggunakan cak lempong yang akan dipersembahkan pada majlis penutup. Cak lempong ini adalah salah satu alat musik tradisional berasal dari Minangkabau yang tergolong dalam keluarga gong yang berukuran kecil. Cak Lempong mula berkembang dalam kalangan masyarakat Melayu berketurunan Minangkabau di Negeri Sembilan yang berasal dari Minangkabau atau Sumatera Barat, Indonesia. Kini, Cak Lempong telah diperkenalkan ke negeri-negeri lain dan diajar di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan tinggi.
Pada hari kedua, aktiviti dimulakan dengan senamrobik yang bertempat di Empang Batu. Selepas itu, peserta ke lokasi mengoca ikan di kawasan tersebut. Perkataan “mengoca” ini merupakan dialek Negeri Sembilan yang merujuk kepada perbuatan menangkap ikan menggunakan tangan kosong. Hasil daripada tangkapan akan dimasak oleh keluarga angkat masing-masing. Kemudian, kesemua peserta meneruskan aktiviti mereka dengan aktiviti air. Pada sebelah petang pula, peserta diberi peluang untuk mempelajari cara menyediakan masakan tradisional seperti lemang, rendang, ketupat dan dodol. Dengan aktiviti seperti ini, ia dapat mengeratkan lagi hubungan antara peserta dan penduduk kampung.
Pada hari terakhir, program diteruskan dengan majlis penutup yang dihadiri oleh tetamu VIP iaitu Yang Berhormat, Dato’ Ir. Haji Bakri bin Sawir, ADUN Klawang, penduduk kampung dan semua peserta. Majlis penutup program ini telah dirasmikan dengan gimik mengetuk gong oleh YB. Majlis dimeriahkan dengan persembahan cak lempong dan tarian zapin oleh peserta antarabangsa dan krew program. Sebagai penghargaan, cenderamata daripada pihak UTM diberikan kepada keluarga angkat dan pihak homestay Klawang.
Penganjuran Moh ke Jolobu tidak hanya mempelajari dan mengenal budaya, adat resam dan warisan masyarakat Minangkabau di Kuala Klawang, Negeri Sembilan malah dapat membina keakraban antara generasi muda dan tua dan mengeratkan hubungan silaturahim serta mencipta persahabatan yang erat di kalangan masyarakat tempatan. Diharapkan melalui program seperti ini akan memberikan peluang kepada pelajar antarabangsa UTM dari negara yang berbeza dapat menyelami, memahami dan mencuba budaya dan cara hidup masyarakat di Malaysia yang kaya dengan khazanah warisan negeri tersendiri.
Bunga layu di dalam taman,
Bunga ditanam di kawasan gurun;
Warisan Melayu jangan ditinggalkan,
Menjadi kebanggaan turun-temurun.
Disediakan oleh: Aireen Fuzanee binti Azemi, Noor Syaza Naurah binti Abdul Shukor, Siti Nurbalqis binti Jaanavaskhan & Dr Fatin Afiqah binti Md Azmi