Jun 18, 2024

Search
Close this search box.
sjil penghargaan

Program Mahasiswa Turun Desa hasilkan pelan tindakan ekonomi MADANI Kampung Beng

LENGONG, PERAK, 26 Mei – Seramai 18 orang mahasiswa Tahun 4 Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan program Mahasiswa Turun Desa @Kampung Beng. Program ini turut disertai oleh dua orang pensyarah pengiring Program Perancangan Bandar dan Wilayah FABU, iaitu Dr. Mohamad Fadhli Rashid dan Dr. Khairul Hisyam Kamarudin. Program ini turut mendapat sokongan daripada Persatuan Mahasiswa Perancangan Bandar dan Wilayah (PEWIBAWA), Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Beng, Lenggong.

groupmahasiswa
Kumpulan mahasiswa sebelum bermula sesi perbincangan kumpulan berfokus

Program Mahasiswa Turun Desa @Kampung Beng yang berlangsung selama 3 hari ini turut melibatkan beberapa aktiviti, antaranya program anak angkat, diikuti kajian transformasi luar bandar yang dijalankan menerusi kaji selidik isi rumah menggunakan borang soal-selidik, serta sesi perbincangan kumpulan berfokus (focus group discussion – FGD) untuk menghasilkan Pelan Tindakan Ekonomi MADANI Kampung Beng, Lenggong, Perak.

Sepanjang berada di Kampung Beng, mahasiswa yang terlibat telah dibahagikan kepada beberapa keluarga angkat dimana mereka tinggal bersama, bersilaturrahim, serta membantu aktiviti keluarga angkat di rumah menyediakan makanan, mendalami cara hidup, rutin harian di kampung dan lain-lain. Pendekatan ini juga memberikan first-hand experience dan penghayatan kepada mahasiswa bekenaan kehidupan di desa. Bagi bancian isi rumah pula, mahasiswa dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil di mana mereka bergerak ke beberapa buah kampung rangkaian bagi menemubual ketua isi rumah untuk mendapatkan maklumat sosioekonomi, isu, cabaran dan peluang pembangunan masa depan di kawasan tersebut.

FGD
Wakil penduduk berkongsi input berkenaan cabaran, potensi dan peluang pembangunan Kampung Beng

Pada hari terakhir program, mahasiswa melaksanakan sesi perbincangan kumpulan berfokus untuk menghasilkan Pelan Tindakan Ekonomi MADANI Kampung Beng. Sesi ini sangat penting memandangkan Kampung Beng telah dijadikan Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Justeru, pelbagai cabaran dan potensi pembangunan ekonomi dan sosio-budaya telah dikenal pasti untuk melonjakkan lagi peluang pembangunan inap desa, pelancongan ekologi-geologi, promosi produk unggul setempat terutama makanan tradisional dan ikan pekasam, kelestarian hidup nelayan tasik dan sungai serta melengkapkan kemudahan infrastruktur luar bandar terutamanya bekalan air terawat dan jalan luar bandar.

majlis penutup
Majlis penutup program Mahasiswa Turun Desa @Kampung Beng disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Perak

Tambah istimewa lagi, majlis penutup program Mahasiswa Turun Desa @Kampung Beng telah disempurnakan sendiri oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Perak. Dalam ucapannya, beliau berkongsi maklumat kepelbagaian tarikan geologi dan alam semula jadi yang unik, sehingga menjadikan kawasan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan kawasan ini juga sedang memohon pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark.

anak angkat
Penyerahan cenderahati kepada setiap keluarga angkat

YB Datuk Seri juga turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak UTM kerana memilih Kampung Beng sebagai lokasi program anak angkat dan kajian pelan tindakan pembangunan kampung. Sumbangan kepakaran UTM melalui translational research diharap akan menghasilkan program dan kajian dengan manfaat dan impak kepada masyarakat setempat secara langsung dan tidak langsung.

 

Disediakan oleh: Dr. Khairul Hisyam Kamarudin & Dr. Mohamad Fadhli Rashid

Explore More