November 22, 2024

Search
Close this search box.

Program Astana 4.0 memacu keusahawanan dan perpaduan kaum

JOHOR BAHRU, 26 Mei – Program Astana merupakan Hari Terbuka KTC, yang menjadi salah satu program tahunan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor (JKM KTC) dengan tujuan menyediakan platform bagi pelajar untuk menjalankan aktiviti keusahawanan. Selain memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar UTM, program ini juga bertujuan mempereratkan silaturahim dalam kalangan warga KTC dan UTM secara umum. Program Astana 4.0 berjaya diadakan selama tiga hari, dari 23 Mei sehingga 25 Mei 2024. Dengan bertemakan “Chinatown” sebagai tema tahun ini, tema ini dipilih untuk mendedahkan kebudayaan kaum Cina di Malaysia yang mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Acara pemotongan riben oleh Dr. Syamsul Hendra Mahmud, felo penasihat program, sebagai tanda perasmian pembukaan Astana 4.0.

Antara sorotan aktiviti yang diadakan adalah Ceramah “Gaza Talk” yang disampaikan oleh tetamu kehormat, Prof. Dr. Mohd Hafidzi Mohd Noor dari Lembaga Amanah MyCARE, yang membincangkan situasi kritikal di Gaza. Ceramah tersebut, yang dihadiri oleh pelajar UTM, orang awam, serta saudara-mara dari Palestin, menekankan krisis kemanusiaan dan pentingnya solidariti global. Penyampaian yang sangat menyentuh hati ini meningkatkan kesedaran mengenai realiti kehidupan di Gaza dan kepentingan sokongan global.

Penyampaian saguhati kepada Prof. Dr. Mohd Hafidzi dan Encik Rozi Abdul Ghani dari Lembaga Amanah MyCARE oleh Dr. Syamsul Hendra Mahmud, felo penasihat program, yang diiringi oleh saudari Nurin Liyana Anwar, pengarah program.

Selain itu, pelbagai aktiviti sukan seperti sepak takraw, dodgeball, dan bola tampar diadakan untuk menyemarakkan semangat kesukanan bukan sahaja dalam kalangan warga KTC bahkan juga pelajar kolej yang lain. Acara sukan ini menyatukan pelajar dari pelbagai jurusan dan latar belakang, memupuk kerjasama dan semangat kesukanan yang tinggi.

Aktiviti sukan memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan hubungan antara pelajar KTC bersama kolej yang lain.

Bersempena dengan tema “Chinatown”, terdapat persembahan tradisional kaum Cina dari UTM Diabolo Club dan UTM 24 Festive Drum Club yang dapat menarik minat lagi pengunjung. Diabolo adalah alat permainan tradisional Cina yang terdiri daripada sebuah gelendong yang dimainkan di atas seutas tali yang dipegang oleh dua batang kayu. Manakala Gendang 24 Musim Perayaan adalah seni persembahan yang berasal dari Malaysia pada tahun 1988, menggabungkan elemen budaya Cina dan Malaysia dengan menggunakan 24 gendang Cina besar yang melambangkan 24 musim dalam kalendar pertanian Cina tradisional. Persembahan tersebut telah menambah pengetahuan budaya bagi mereka yang pertama kali melihat persembahan tersebut. Tambahan lagi, terdapat persembahan silat oleh Kelab Silat Gayung UTM yang berjaya memukau penonton dengan bakat pesilat yang hebat. Sorakan daripada penonton memeriahkan lagi program Astana 4.0.

Persembahan Gendang 24 Musim Perayaan menggema dengan kekuatan dan keanggunan, mencerminkan semangat perpaduan dan tradisi dalam budaya Cina.
UTM Diabolo Club membawa seni permainan tradisional Cina ke pentas, memukau penonton dengan setiap gerakan Diabolo yang dinamik.
Persembahan penuh semangat dari Kelab Silat Gayung UTM menghidupkan seni silat tradisional.

Antara pengisian lain progam ini ialah pertandingan memasak dumpling yang merupakan salah satu masakan istimewa untuk kaum Cina. Lauk ini dipilih kerana dia melambangkan perpaduan dan kebahagiaan, sering dinikmati semasa perayaan seperti Tahun Baru Cina. Dumpling ini boleh dikukus, direbus, atau digoreng, dan biasanya diisi dengan daging, makanan laut, sayur-sayuran, atau gabungannya. Pertandingan memasak dumpling membolehkan pelajar menunjukkan kreativiti dalam seni masakan, dengan setiap kumpulan bebas memvariasikan cara penyediaan dumpling dan dinilai dari segi persembahan makanan. Aktiviti ini memupuk semangat kerjasama dan komunikasi yang baik antara rakan sepasukan.

Peserta gigih menyediakan dumpling, menjadikan aktiviti memasak ini sebagai simbol perpaduan dan kreativiti.
Senyuman kepuasan menghiasi wajah peserta ketika membentangkan hidangan mereka, menceritakan kisah di sebalik setiap rasa dan ramuan.

Di samping itu, terdapat juga Mega Shopaholic yang menumpukan kepada peniaga kecil dalam kalangan pelajar UTM, dengan jualan barangan seperti pakaian terpakai dan kraftangan crochet.  Aktiviti ini secara tidak langsung memupuk jiwa keusahawanan dalam kalangan pelajar dengan memberi mereka peluang untuk berniaga.

Mega Shopaholic menghimpunkan pelajar UTM yang berbakat dalam perniagaan kecil, dari pakaian terpakai hingga kraftangan menarik.

Aktiviti hiburan seperti rumah hantu dan tayangan filem di kawasan S01 yang menambahkan keceriaan malam tersebut. Pelajar menikmati ketakutan bersama rakan-rakan di dalam rumah hantu yang disediakan oleh kru program Astana, dengan pelbagai reaksi menghiburkan dilihat sepanjang malam.

Secara keseluruhan, program tiga hari “Astana 4.0” tidak hanya mencapai kejayaan dalam menggabungkan berbagai aspek kehidupan akademik dan sosial, tetapi juga menjadi tonggak penting dalam memperkukuh ikatan sosial dalam kalangan pelajar. Dengan menawarkan platform untuk meluaskan wawasan dan memupuk keusahawanan, program ini tidak hanya membentuk individu yang berpengetahuan, tetapi juga warga kolej yang peka terhadap isu-isu kemanusiaan. Melalui pelbagai aktiviti seperti ceramah, pertandingan sukan, dan persembahan seni, kebersamaan dan semangat gotong-royong dalam kalangan pelajar semakin diperkukuh, mewujudkan persekitaran yang memihak kepada pembangunan holistik dan keharmonian di KTC.

Explore More