JOHOR BAHRU, 28 Mei– Program Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM telah menganjurkan satu program Bicara Kerjaya bagi Graduan Kejuruteraan Geomatik yang telah disampaikan oleh pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Ukur Tanah (PEMETA). Sesi bicara kerjaya ini adalah bertujuan untuk memberi persediaan kepada pelajar-pelajar Geoinformasi untuk menghadapi sesi temuduga terutamanya apabila ingin memohon sebagai juruukur di bidang kerajaan kelak.
Sesi perkongsian dalam program bicara ini telah disampaikan oleh Yang Berusaha Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, Sr Hazri Hassan bersama-sama dengan Sr Mohamad Azmar Che Mat, Pengarah Ukur Bahagian (Perancangan dan Korporat). Rombongan delegasi ini telah disambut oleh Yang Berusaha Profesor Madya Sr Dr. Abdullah Hisam Omar, Pengarah Institut Sultan Iskandar (ISI), Sr. Dr. Tan Liat Choon, Pengerusi RISM Cawangan Johor dan barisan pensyarah-pensyarah kanan, Sr Dr. Muhammad Hafiz bin Mohd Yatim, Sr Dr. Kelvin Tang Kang Wee, Dr. Wan Anom Wan Aris, Sr Dr. Mohamad Hanif Hamden, Dr. Nurul Izzati Abd Karim dan Dr. Aimi Musa.
Sesi bicara kerjaya ini telah dihadiri oleh 40 orang pelajar tahun 3 dan tahun 4 Program Kejuruteraan Geomatik dan program telah diadakan di Bilik SCALE, FABU. Sesi soal jawab antara pelajar dan penceramah berlangsung dengan rancak dengan soalan-soalan berkaitan dengan penetapan gaji minimum dan bidang-bidang yang menjadi perhatian dalam bidang industri Geomatik dan Ukur Tanah.
Secara keseluruhannya, program bicara kerjaya ini merupakan satu platform yang sangat baik untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar tahun akhir bagi memberi pengetahuan tambahan kepada mereka serta memberi persediaan kepada pelajar untuk lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan kelak.