Disember 22, 2024

Kunjungan ICC UTM-MOSTI ke stesen penyelidikan MPOB Keratong beri pendedahan kepada peladang

KUANTAN, PAHANG, 28 Mei – Pusat Inovasi & Pengkomersilan UTM bersama-sama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensi-agensi di bawahnya telah membuat kunjungan ke stesen penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Keratong, Pahang.  ICC menjadi wakil UTM untuk diberi pendedahan dan demonstrasi penuaian serta mekanisasi di ladang oleh pihak MPOB.

Sesi bergambar di ladang kelapa sawit MPOB oleh wakil kumpulan UTM                        

Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk merungkai langkah penyelesaian teknologi bagi menangani isu penuaian sawit untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga buruh asing. Selain daripada itu, perbincangan bersama MOSTI dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) turut dilakukan untuk meningkatkan produktiviti di ladang sawit melalui produk yang diinovasikan oleh para penyelidik UTM dan agensi yang lain.

Lawatan tersebut disambut baik oleh warga kerja Bahagian Penyelidikan Kejuruteraan dan Pemprosesan MPOB yang diketuai oleh Pengarah Bahagian, Dr.Astimar Abd Aziz dan En. Norzi Ismail selaku Ketua Stesen Keratong MPOB serta pelajar daripada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Kehadiran pelajar TVET ke program tersebut adalah untuk membantu pelaksanaan demonstrasi terhadap produk-produk yang dipersembahkan kepada para pelawat.

Antara produk yang terlibat dalam demonstrasi adalah inovasi pengait kelapa seperti EXOROBO dan jentera MEKASA, jentera kenderaan elektrik untuk kerja-kerja penuaian, dan juga mesin baja robotik. Exorobo merupakan satu inovasi dari UTM yang diketuai oleh Dr. Wan Aliff Abdul Saad dan dibantu oleh Dr. Muhammad Danial Abu Hasan. Inovasi ini memberikan sokongan ke atas lengan penuai semasa mereka membawa mesin pengait buah kelapa sawit di sekitar kawasan ladang. Mekanisme eksoskeleton pasif ExoRobo berfokus pada memindahkan beban pada mesin mekanisasi terus ke tanah, dengan mengurangkan bebanan pada otot yang perlu ditanggung oleh pengait.

Pelajar TVET melakukan aktiviti demonstrasi

Wakil ICC UTM juga telah menjalankan penyelidikan pasaran semasa sesi lawatan ini. Pihak MPOB memaklumkan wujud keperluan teknologi untuk membantu pada setiap proses penuaian kelapa sawit. Terdapat tujuh Langkah penuaian hasil kelapa sawit iaitu mengimbas buah yang telah masak; buang pelepah; potong tandan masak; susun pelepah di tempat sepatutnya; potong tangkai buah; pindahkan buah ke platform; pengumpulan buah lerai.

Pihak MPOB  juga memaklumkan keperluan utama inovasi untuk penuaian kelapa sawit ini antaranya adalah seperti mesin pengait kelapa murah, tahan lasak dan mudah pengendalian; dan inovasi kutip buah lerai.

 

Sesi demonstrasi oleh penyelidik UTM, Dr. Wan Aliff beserta Timbalan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan yang turut serta mencuba produk yang dihasilkan

Lawatan diteruskan dengan sesi taklimat demontrasi secara digital daripada agensi-agensi yang terlibat seperti Mandrossa Sdn. Bhd. dan Binsho Solutions (M) Sdn Bhd yang lebih terperinci berkaitan dengan produk inovasi mereka. Dalam waktu yang sama, lawatan ini dapat membina hubungan jaringan perniagaan antara para penyelidik dan agensi  penaja seperti Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), MOSTI, Cradle Fund Sdn. Bhd. dan juga agensi-agensi lain.

 

Penulis bersama: Nur Atiqah binti Abdul Rahman, Encik Muhammad Arif bin Harun, Dr. Ma Kalthum binti Ishak

Explore More