Disember 2, 2024

Search
Close this search box.
A

FKE UTM berada di puncak dunia: Pengiktirafan “Top 100” dalam QS World University Rankings by Subject 2024

JOHOR BAHRU, 29 Mei – Pencapaian membanggakan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam QS World University Rankings by Subject 2024 baru-baru ini mencerminkan keberhasilan kerjasama erat antara pihak universiti, industri, dan kerajaan dalam membangunkan tenaga pakar yang mampu menangkis cabaran Revolusi Industri 4.0 dan keperluan teknologi hijau.

Dalam wawancara eksklusif, Dekan FKE, Prof. Dr. Jafri Din, menekankan pentingnya inovasi berterusan, penglibatan aktif dalam penyelidikan, dan hubungan strategik dengan pemain industri global untuk memastikan program akademik kekal relevan dan kompetitif.

Kejayaan ini bukan sahaja meletakkan UTM di persada dunia sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa tetapi juga membuka peluang luas kepada pelajar dan penyelidik untuk terlibat dalam projek-projek berimpak tinggi yang mampu mengubah landskap teknologi masa depan.

A
Pengalaman pelajar menjalankan pengujian sendiri mendedahkan mereka kepada kerja ‘hands-on’ agar mereka mampu mengendali alatan sendiri dengan cekap

Prof. Jafri menjelaskan, kejayaan fakulti ini bukan hanya didorong oleh kerjasama erat dengan industri serta agensi kerajaan, bahkan kurikulumnya sentiasa dikemas kini di samping aktiviti penyelidikan yang berterusan.

Menerusi pengiktirafan ini, FKE dilihat akan terus mengukuhkan reputasinya sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan, menawarkan program yang memenuhi keperluan semasa dan masa depan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik & Elektronik.

Selain memberi impak besar dalam kebolehpasaran graduan, FKE juga memainkan peranan penting dalam perkembangan teknologi hijau dan tenaga yang boleh diperbaharui, seiring dengan usaha global dalam menangani perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar.

A
Antara alatan makmal canggih yang disediakan bagi membantu pelajar menjalani latihan amali secara ‘hands-on’ sendiri

Menurut Prof. Jafri, “Bidang Kejuruteraan Elektrik & Elektronik merupakan salah satu program utama dalam kejuruteraan. Dengan revolusi industri 4.0 menuju ke 5.0, kepentingan bidang ini semakin meningkat terutama dalam teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.”

“FKE bekerjasama dengan Fakulti Sains untuk membangunkan teknologi bateri dan tenaga solar dengan memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia di kawasan tropika. Ini adalah antara usaha kami untuk melestarikan bumi dan alam semesta. Pensyarah kami sentiasa memainkan peranan penting dalam memajukan teknologi ini,” tambah beliau.

Selain itu, Prof. Jafri turut menyentuh tentang akreditasi kurikulum oleh Engineering Accreditation Council (EAC) di bawah naungan Washington Accord, yang berperanan untuk memastikan kurikulum yang dirangka mendapat pengiktirafan di peringkat global dan menarik minat pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian mereka di sini.

A
Kelengkapan fasiliti dan kemudahan yang disediakan di FKE membantu pelajar menerima capaian maklumat dengan lebih baik.

“Kami pastikan graduan kami ‘future ready’ dan mampu menyumbang idea serta inovasi mereka bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malahan juga antarabangsa,” ujar beliau.

Beliau menekankan, meskipun berhadapan cabaran mendapatkan pelajar pascasiswazah tempatan kerana tawaran gaji yang menarik daripada industri dan juga negara jiran seperti Singapura, keadaan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan reputasi akademik dan majikan yang juga menyumbang kepada penilaian QS World University Ranking.

FKE juga telah meraih anugerah kebolehpasaran graduan tertinggi di UTM bagi tahun 2022, yang mencerminkan keperluan tenaga kerja mahir dalam sektor kejuruteraan elektrik dan elektronik yang terus meningkat bukan sahaja di Malaysia, malahan juga di negara seberang tambak.

A
Sesi pengajaran dan pembelajaran melibatkan interaksi antara pelajar dan pensyarah memudahkan penyampaian maklumat secara terus.

Sementara itu, FKE telah menghasilkan ramai alumni yang berjaya sejak penubuhannya pada tahun 1982. Beberapa alumni yang bukan sahaja telah menempa nama dalam industri, tetapi juga kembali menyumbang semula kepada UTM dan juga FKE secara khususnya, seperti Encik Swee Kiang Fong, CEO dan pengasas SkyeChip; YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, ahli parlimen; dan Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, yang merupakan Pengarah Bahagian Hubungan Industri Jabatan Pendidikan Tinggi KPT.

Ada juga alumni FKE yang menerajui di peringkat kementerian seperti YB Tuan Haji Adly Zahari, yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan. Tidak dilupakan juga graduan UTM yang menyumbang semula secara langsung sebagai ahli akademik, termasuk Dekan FKE sendiri, Prof. Ir. Dr. Sevia Mahdaliza Idrus, Prof. Madya Dr. Jasrul Jamani Jamian, Prof. Madya Dr. Yeong Che Fai, dan Prof. Madya Dr. Mohamad Hafis Izran Ishak, yang rata-ratanya aktif dalam menginovasi produk penyelidikan yang berimpak.

A
Prof. Dr. Jafri Din ketika ditemui di pejabatnya untuk mengulas lanjut berkenaan pencapaian program di bawah FKE dalam QS World University Rankings  by Subject

Mengulas tentang strategi masa depan, Prof. Dr. Jafri berkata, “Kejayaan ini bukan hasil usaha setahun dua. Kami tidak boleh terlalu selesa dan perlu terus berusaha untuk memastikan graduan kami berkualiti dan relevan dengan keperluan industri semasa.”

Beliau menyebut tentang inisiatif strategik FKE, termasuk fokus pada projek penyelidikan utama seperti Energy Sustainability, Biomedical, Microelectronic, Robotic, dan Internet of Things (IoT). Dengan penglibatan industri dalam R&D, FKE memastikan kurikulum yang dibangunkan sentiasa relevan dan dikemas kini mengikut perkembangan teknologi yang membangun dengan pesat ini.

FKE juga berusaha memperkasakan penasihatan akademik dan penglibatan pelajar dalam masyarakat melalui projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama pelbagai syarikat. Selain itu, pejabat pengurusan fakulti juga komited dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa bukan hanya dengan institusi ternama tetapi juga yang berpotensi besar dan sedang pantas berkembang seperti institusi di Vietnam dan Thailand.

A
‘Distribution trainer NE9202’ alatan yang disediakan di dalam makmal sebagai salah satu latihan amali pelajar untuk meneliti bahagian pengagihan kuasa elektrik yang berbeza, daripada litar asas kepada sistem tiga fasa yang seimbang dan tidak seimbang

“Kita juga tidak seharusnya selesa dengan rakan kongsi di luar negara sedia ada kerana kita seharusnya mempertingkatkan lagi kualiti kerjasama, kolaborasi, dan mengenal pasti rakan kongsi baharu, terutamanya negara-negara yang sangat berpotensi dan agresif dalam bidang Elektrikal dan Elektronik dan mendapat suntikan dana yang hebat walaupun universitinya masih berada di peringkat pertengahan. Akan tetapi, kita seharusnya menyokong mereka dan tidak mustahil mereka ini akan menjadi gergasi dalam bidang Elektrikal dan Elektronik dalam masa terdekat,” ujarnya.

Dalam memastikan FKE mampu bersaing di peringkat global dan mempertingkat kualiti pengajaran serta penyelidikan, tenaga pengajar di sini dipilih melalui proses tapisan yang sangat teliti dan strategik. Hal ini kerana tenaga pengajar serta penyelidiklah yang menjadi tonggak dalam membantu fakulti untuk mencapai kejayaan yang lebih besar. Optimis dengan sokongan universiti dan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta inisiatif daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Prof. Dr. Jafri percaya FKE mampu mencapai matlamat yang diidamkan.

Mengakhiri wawancara dengan harapan agar FKE terus relevan dan meningkat ke kedudukan 50 subjek teratas dalam QS World University Rankings by Subject. Dengan usaha berterusan dan komitmen tinggi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM terus melangkah maju menyumbang kepada pembangunan teknologi dan melahirkan graduan yang cemerlang di peringkat global.

Explore More