Mei 1, 2024

Search
Close this search box.
MTE CPD

Rangkul dua anugerah dalam MTE 2024 inovasi CPD Dummy with Embedded Artificial Respiratory System dapat pengiktirafan global

Cakna akan isu yang mendapat perhatian umum akhir-akhir ini berkenaan tragedi kanak-kanak maut akibat tertinggal di dalam kenderaan membuatkan Prof Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Husain, Timbalan Dekan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTM Kuala Lumpur tangkas mencari solusi menerusi inovasi Child Presence Detection (CPD) Dummy with Embedded Artificial Respiratory System.

Produk ini dibangunkan bersama-sama kumpulan penyelidik UTM, MIROS dan sebuah syarikat hiliran UTM iaitu ACTS Smart Solutions Sdn Bhd, dengan hasrat untuk membantu industri dan pengeluar teknologi automotif seluruh dunia yang kini sedang giat membangunkan teknologi Child Presence Detection (CPD) bagi menangani isu ini.

Apa yang lebih membanggakan produk inovatif berkenaan berjaya meraih dua anugerah pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2024, iaitu Anugerah Khas yang diberikan oleh Eurobusiness Haller Poland dan juga Anugerah Emas kerana berupaya memperlihatkan kepentingan dan impaknya terhadap keselamatan pengguna kenderaan terutamanya kanak-kanak.

MTE CPD
Dr Nurulakmar (dua dari kanan) dan rakan sepasukan ketika menerima anugerah sewaktu MTE 2024 pad Februari lalu.

Mempunyai pengalaman hampir tiga tahun memimpin Pejabat Satelit UTM-PROTON di Shah Alam, Dr Nurulakmar berkata, inspirasi penciptaan patung CPD ini timbul daripada insiden yang menggerunkan di mana kanak-kanak ditinggalkan dalam kenderaan yang akhirnya membawa kepada kematian yang boleh dicegah.

Berkepakaran dalam bidang keselamatan kenderaan, Dr. Nurulakmar bersama pasukannya telah berjaya mencipta patung tiruan yang realistik untuk mensimulasikan corak pernafasan kanak-kanak.

“Child Presence Detection (CPD) Dummy with Embedded Artificial Respiratory System dibangunkan mengikut saiz sebenar seorang bayi/kanak-kanak ASEAN dengan keupayaan untuk mensimulasikan senario pergerakan pernafasan,” ujar Dr Nurulakmar.

Patung CPD
Patung CPD yang dibangunkan oleh pasukan Dr. Nurulakmar.

Mematuhi protokol ASEAN NCAP, patung CPD ini berfungsi sebagai alat pengesahan piawai untuk menilai teknologi CPD yang dibangunkan dalam kenderaan. Patung ini dapat mensimulasikan pergerakan pernafasan kanak-kanak yang realistik, sekali gus boleh membantu dalam pembangunan dan pengesahan teknologi CPD untuk mencegah tragedi seperti strok haba atau kanak-kanak yang terperangkap di dalam kenderaan.

“Sistem pernafasan patung CPD ini boleh dikawal dan dilaraskan antara 20-50bpm dengan amplitud pergerakan yang realistik, membolehkan patung ini meniru senario pergerakan pernafasan bayi atau kanak-kanak yang sedang tidur dan menangis atau panik” katanya.

Menyedari adanya keperluan untuk intervensi awal dalam langkah-langkah keselamatan, ASEAN NCAP telah mewajibkan penggunaan teknologi CPD ke dalam protokol keselamatan kenderaan. Walau bagaimanapun, pengujian dengan kanak-kanak sebenar yang membawa risiko besarlah yang telah mendorong kepada pembangunan patung CPD sebagai alternatif yang selamat dan berkesan untuk mengesahkan teknologi CPD berkenaan.

“Penggunaan kanak-kanak sebenar dalam pengujian teknologi atau validasi kenderaan adalah berisiko tinggi dan tidak selamat. Di sini kami mengenalpasti ada keperluan signifikan bagi mewujudkan sebuah alat validasi yang berkesan untuk menilai keberkesanan teknologi CPD yang dibangunkan oleh pengeluar kenderaan sebelum ia boleh digunakan dalam kenderaan sebenar” ujar beliau.

Walaupun berjaya meraih kejayaan di MTE 2024 baru-baru ini, perjalanan bagi patung CPD masih jauh kata beliau. Kini berada pada Tahap Kesediaan Teknologi 5 (TRL5), prototaip ini sedang menjalani penambahbaikan lanjutan untuk mensimulasikan suhu badan dan memasukkan kemampuan pemantauan jarak jauh. Dijangka akan tersedia secara komersial menjelang tahun 2025, patung CPD ini selari dengan protokol ASEAN NCAP dan menyumbang kepada standard keselamatan automotif baharu dan sedia ada.

iOS
Produk ini menarik perhatian pengunjung yang hadir sepanjang pameran berlangsung.

Sebelum MTE 2024, patung CPD ini juga telah menerima pengiktirafan di Industrial Art and Technology Exhibition (INATEX) pada Oktober 2023, di mana ia memenangi pingat perak dalam kategori G-Health, Wellness & Wellbeing. Sokongan kewangan yang diberikan oleh ASEAN NCAP melalui geran kerjasama industri ANCHORIV dan juga dana UTM (melalui Geran PDF1) berperanan penting dalam pembangunan teknologi yang revolusioner ini.

Melihat ke hadapan, beliau yang juga Pengarah Syarikat Hiliran UTM, ACTS Smart Solution Sdn. Bhd. ini berharap patung CPD yang dibangunkan menjadi salah satu alat penting dalam mencegah insiden yang tidak diingini melibatkan kanak-kanak dalam kenderaan. Beliau juga berharap proses pengkomersialan patung ini berjaya kerana ciptaan ini tidak hanya akan memberi manfaat kepada pengeluar automotif dan pembangun teknologi secara global tetapi juga menyumbang kepada UTM dan negara.

IMG
Pasukan yang mendukung aspirasi Dr Nurulakmar dalam menghasilkan inovasi ini.

Pencapaian Dr. Nurulakmar dan patung CPD ciptaannya menterjemahkan komitmen tinggi UTM terhadap inovasi dan penghasilan produk yang memberi manfaat kepada masyarakat. Sementara keselamatan automotif terus berkembang, patung CPD ini diharap dapat membantu dalam menyelamatkan nyawa dan merevolusikan teknologi automotif di seluruh dunia.

Explore More