Mei 3, 2024

Search
Close this search box.
Imam Muda UTM

JOHOR BAHRU, 1 Apr. – Menjadi suatu kebiasaan kebanyakan masjid di negara ini mengambil khidmat imam daripada kalangan pelajar tahfiz bagi memimpin solat sunat Tarawih sepanjang bulan Ramadan.

Berbeza dengan UTM, Universiti ini menggunakan khidmat Imam Muda yang diambil daripada kalangan pelajar Tekno Hafiz untuk mengimami solat sunat Tarawih bersama dengan para Imam Masjid Sultan Ismail (UTM).

Enam Imam Muda ini ada di antaranya telah pun menerima tauliah Imam daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ). Barisan Imam Muda ini menerima bimbingan daripada Pegawai Hal Ehwal Islam UTM sendiri mencakupi kemahiran memimpin solat berjemaah termasuklah hafazan ayat-ayat suci al-Quran yang menjadi inti pati utama dalam program Tekno Hafiz.

Alunan merdu bacaan ayat suci al-Quran Hufaz ini dapat diperdengarkan pada malam-malam yang telah dijadualkan sepanjang bulan Ramadan. Ikuti perkongsian mereka berkaitan kecintaan menghafaz ayat al-Quran yang disuburkan melalui program kecemerlangan 5ETP UTM, Tekno Hafiz.

Sementara itu, Muhammad Hadi Rosli pelajar Tahun 3 Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di UTM minat menghafaz ayat suci al-Quran telah pun bermula sewaktu mengikuti persekolahan peringkat menengah di Kuala Selangor selepas pulang ke tanah air mengikuti ayah yang bertugas di Bahrain. Beliau mahu sentiasa dekat dengan suasana dan persekitaran yang baik yang akhirnya ditemukan menerusi program Tekno Hafiz di UTM.

Hadi
Muhammad Hadi Rosli

“Saya ingin berada dalam suasana yang baik (biah solehah) sepanjang menyambung pengajian di Universiti ini. Jadi saya memilih untuk menyertai Tekno Hafiz,”kata Hadi.

Nik Muhammad Aiman Ibrahim, pelajar PhD ‘fast track’ dalam bidang Pendidikan TESL di UTM menjadi antara tujuh imam yang memimpin solat sunat Tarawih pada tahun ini. Sudah pun mendapat tauliah sebagai Imam daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) ketika mengikuti pengajian prasiswazah di UTM dalam bidang yang sama, beliau memperoleh lebih banyak peluang menjadi Imam bukan sahaja di Masjid Sultan Ismail UTM bahkan di masjid-masjid di kawasan sekitar dan juga di beberapa buah negeri seperti Perak dan Perlis menerusi program Tekno Hafiz ini.

Aiman
Nik Muhammad Aiman Ibrahim

“Saya sangat bersyukur UTM ada mempunyai program Tekno Hafiz seperti ini dapat memberi peluang kepada saya mengekalkan rutin meghafaz al-Quran sepertimana saya lakukan pada zaman persekolahan,” ujar Aiman.

Ahmad Syarhan Ahmad Syakir yang mengikuti kursus pengajian Mekanikal Industri dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM memilih untuk menyertai program Tekno Hafiz atas semangat menghidupkan persekitaran Islamik di dalam Universiti. Lepasan Maktab Rendah Sains Mara (Ulul Albab) Kepala Batas ini masih mengutamakan akademik meskipun aktif mengikuti aktiviti dalam program Tekno Hafiz.

syarhan
Ahmad Syarhan Ahmad Syakir

“Galakan yang besar menerusi program Tekno Hafiz ini mendorong saya menjaga hafazan meskipun keutamaan saya dalam bidang akademik adalah penting ,” ujarnya.

Begitu halnya dengan Ahmad Fathi Hani Basri, pelajar tahun akhir, Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Islam) mempunyai pendedahan awal dalam bidang hafazan sementelah mendapat pendidikan menengah di Sekolah Agama Kerajaan negeri Johor di Kluang dan sewaktu mengikuti pengajian di Maahad Johor. Latar belakang pendidikannya itu menjadikan kecintaan dalam menghafaz ayat al-Quran sebati dalam dirinya. Beliau mahu menyuburkan kembali hafazan yang pernah dikuasai dahulu di samping mengenali rakan hufaz yang dalam program ini.

Fathi
Ahmad Fathi Hani Basri

“Berada dalam kelompok para Hufaz dalam program Tekno Hafiz ini memberikan saya suatu semangat untuk menyempurnakan hafazan selain dapat mengisi masa senggang dengan cara yang bermanfaat,” ujar Fathi.

Sebagaimana Fathi, Muhammad Wasiq Muhammad Shukry, pelajar Tahun 4, Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Islam) mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang telah diterapi sedari zaman persekolah. Menyedari akan program Tekno Hafiz yang mengutamakan kecemerlangan pelajar, penyertaannya mendorong untuk turut menjadi pelajar cemerlang di samping berada bersama-sama mereka yang menjaga hafazan al-Quran.

Wasiq
Muhammad Wasiq Muhammad Shukry

“Banyak perkara dan maanfaat yang saya peroleh sepanjang saya berada bersama kumpulan pelajar Tekno Hafiz ini. Saya mahu mengulang dan menyempurnakan hafazan al-Quran melalui kelas tasmik yang didakan,” ujar Wasiq.

Iman Solehin Zulyadi pula antara peserta paling muda dalam program Tekno Hafiz yang menjadi Imam solat sunat Tarawih di MSI merupakan pelajar Tahun 1 dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal. Meskipun pernah mengikuti Sekolah Tahfiz selama dua tahun di sekolah menengah, berada di sekolah harian biasa tidak mematikan cinta beliau terhadap hafazan ayat-ayat Kalamullah. Beliau menyimpan hasrat untuk menyempurnakan hafazan 30 juzuk al-Quran melalui penyertaannya dalam program Tekno Hafiz ini.

Iman Solihin
Iman Solehin Zulyadi

“Apabila menyertai program Tekno Hafiz ini mindset saya berubah daripada sekadar menghabiskan hafazan 30 Juzuk al-Quran tetapi menjadi Hufaz yang sentiasa menjaga Hafazan yang telah saya sempurnakan,” ujar Iman.

Semangat kelompok pelajar ini dalam meneruskan hafazan meskipun menuntut di instiusi pendidikan tinggi berteraskan kejuruteraan dan teknologi wajar dipuji dan disokong demi melahirkan generasi teknokrat hufaz yang mampu memimpin negara mendepani cabaran pada masa hadapan.

Explore More