Mei 3, 2024

Search
Close this search box.
Tekno Hafiz

JOHOR BAHRU, 21 Mac – Status sebagai sebuah universiti awam terkemuka negara dalam bidang sains dan teknologi tidak menghalang Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertekad melahirkan graduan yang bukan sahaja mempelopori bidang profesional bahkan bergelar hufaz.

Komitmen ini direalisasikan menerusi pembangunan kelompok hufaz dalam salah satu program kecemerlangan elit, 5 Excellence Track Programme (5ETP) UTM, Tekno Hafiz. Program di bawah seliaan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang dimulakan pada 2013 ini telah menerima kira-kira 200 orang pelajar yang begitu komited untuk menghafaz ayat suci al-Quran.

Menurut Penyelaras program Tekno Hafiz, Ustaz Panji Alam Mazhisham, Universiti berhasrat untuk melahirkan golongan profesional hufaz yang mampu mengaplikasikan ilmu dalam berkhidmat untuk masyarakat selain cemerlang dalam bidang akademik.

Ustaz Panji Alam
Ustaz Panji Alam antara penggerak utama yang dalam membangunkan keterbilangan profesional hafiz dalam kalangan mahasiswa UTM

“Universiti mahu melahirkan para jurutera dan profesional lain yang boleh memimpin solat jemaah, bacaan doa serta majlis keagamaan dan ilmu yang lain dalam kalangan masyarakat umumnya.

“Dengan kemahiran dan kebolehan ini kita mahu melahirkan golongan Imam Muda UTM dalam kalangan mahasiswa menerusi pembangunan dan pelaksanaan aktiviti menerusi program Tekno Hafiz ini.

“Para pelajar program Tekno Hafiz ini berpeluang untuk mengambil tauliah menjadi pegawai masjid iaitu imam dan bilal di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” ujar Ustaz Panji Alam.

Setakat ini, seramai lima orang pelajar UTM di bawah program ini yang telah mendapat tauliah daripada MAINJ sejak 2018. Dengan pentauliahan ini membolehkan mereka memjadi imam dan khatib bukan sahaja di UTM malah di sekitar negeri Johor.

Ustaz Panji Alam berkata, “Para pelajar program ini turut menjadi Imam Rawatib di Masjid Sultan Ismail (MSI) UTM yang bertugas untuk memimpin solat lima waktu dengan kadar elaun kira-kira RM300 hingga RM400 sebulan.

“Bagi pelajar yang menjadi imam solat sunat Tarawih pula diberikan elaun sebanyak RM300 semalam,” tambah beliau.

Sementara itu, menerusi program ini juga para peserta perlu mengikuti Isbat Hafazan Negeri Johor yang membolehkan para hufaz menerima elaun galakan secara bulanan antara RM250 hingga RM1,200 sepanjang hayat sebagai pendorong untuk menjaga al-Quran dan hafazan yang perlu dijalani setiap tahun.

“Pada tahun ini kita telah menghantar tiga orang pelajar, termasuklah Daniel Haziq, Johan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Johor baru-baru ini. Insya-Allah, kita hanya menunggu Keputusan yang bakal menyusul dalam masa terdekat,” ujar Ustaz Panji Alam.

DSC
Antara peserta program ini yang kini menjadi imam muda di MSI dan Daniel Haziq (tiga dari kiri) jaguh Hafazan yang menjadi kebanggaan UTM.

Penyertaan pelajar UTM dalam program ini tidak terhad kepada golongan lelaki sebaliknya turut mendapat keahlian daripada pelajar wanita. Selain mengutamakan pencapaian akademik pelajar dalam memilih penyertaan yang hadir, pihak penyelaras program turut melihat kemahiran hafazan sekurang-kurang dengan 10 juzuk ayat suci al-Quran serta minat yang mendalam bagi membolehkan citra para peserta kekal unggul dalam kedua-dua bidang, akademik dan juga hafazan.

“Kita juga melihat komitmen pelajar untuk menghadiri kelas hafazan sebanyak tiga kali seminggu di bawah bimbingan guru-guru hafazan terlatih seperti, Ustaz Yusof, Ustaz Ibrahim Khalil, Ustaz Mahyudin, Ustaz Haizal Iqbal dan juga saya.

“Kami ingin melahirkan 100 mahasiswa hufaz UTM menerusi program ini selain melihat mereka mendapat pengiktirafan melalui Sijil Tahfiz Malaysia dari Darul Quran JAKIM hasil mengikuti program ini selama empat tahun di sini,” ujarnya mengakhiri temu bual.

 

Explore More