JOHOR BAHRU, 15 Mac – Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM menekankan pentingnya refleksi dalam menghadapi cabaran masa kini. Beliau juga menekankan keperluan untuk mengadaptasi diri dengan cepat kepada perubahan teknologi yang semakin pesat, menggaris cabaran dan peluang yang timbul daripada perubahan tersebut.
Beliau juga berkata demikian ketika berucap sempena Amanat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) 2024 berdasarkan penubuhan UTM yang menjangkau usia 52 tahun, terdapat legasi yang perlu dilihat, dianalisis dan ditambah baik untuk memastikan agar ia kekal releven seiring dengan perubahan zaman.
“Legasi itu memerlukan anjakan dan penambahbaikan untuk kita teruskan. Tidak salah sekiranya kita take a break for a while untuk kita lihat dan menganalisis pengalaman institusi kita agar kita dapat lakukan yang lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.
Prof. Shafry turut menambah hubungan alumni UTM yang berterusan dengan institusi ini dapat memainkan peranan signifikan dalam pembangunan ilmu dan program universiti.
Amanat yang berlangsung selama satu setengah jam dengan tema “Menjiwai Ilmu, Menginovasi Penyelesaian” itu turut membincangkan pencapaian ekosistem akademik UTM pada tahun 2023 dan pelan tindakan serta sasaran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM (JTNCAA) pada tahun 2024.
Kejayaan Ekosistem Akademia UTM
Menyoroti pencapaian UTM khususnya dalam konteks akademik, Prof. Dr. Mohd Shafry menzahirkan rasa terima kasih kepada semua kepimpinan terdahulu yang telah mengusahakan perubahan. Penubuhan Pusat APEL antaranya pada 2023 telah menjadi pelengkap ekosistem akademia UTM setelah dua tahun berhempas pulas untuk merealisasikannya. Polisi akademik UTM yang telah mendapat kelulusan oleh pihak Senat mengandungi panduan dalam melaksanakan akademik juga telah berjaya dikuatkuasakan.
“Kita telah melakukan penstrukturan semula UTM iLeaGue kepada sekolah pengajian prasiswazah daripada life ready gradutes kepada future-oriented high-quality graduates dan penubuhan Pusat Kualiti Akademik dan Kurikulum (UTM CAQ) yang diletakkan di bawah JTNCA. Antara tugas CAQ ialah untuk melihat bagaimana kita boleh mengurangkan beban pengkeranian yang dilakukan oleh pensyarah,” ujar Prof Shafry.
Kesemua pelan tindakan tahun 2023 yang disasarkan pada awalnya telah berjaya dilaksanakan sebanyak 80%. Walau bagaimanapun, bagi pelan tindakan pada tahun 2023 yang kurang berjaya dan tidak sempat untuk dilaksanakan bakal diteruskan pada tahun 2024.
“Di sini saya ingin kongsikan kejayaan yang kita semua patut banggakan. Salah satu sasaran di bawah enVision UTM 2025, iaitu premium employment sekarang ini digunakan oleh KPT sebagai KPI mereka untuk universiti dan kitalah penerajunya,” tambah Prof. Shafry.
“Justeru, ekosistem akademik Universiti perlu terus ditambah baik selaras dengan perubahan keperluan generasi masa kini,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, UTMHyFlex telah pun dibangunkan dengan kerjasama UTM CDex dan UTMSPACE, melibatkan pelajar yang berada di luar negara mendaftar sebagai pelajar UTM tanpa perlu datang ke Malaysia untuk mengikuti kelas. Seiring dengan transformasi digital yang semakin maju, inilah tanda UTM yang sentiasa berusaha memenuhi keperluan semasa dengan menyediakan perkhidmatan pelajaran yang memudahkan pelajar melalui pengadaptasian teknologi terkini.
“Melalui program UTMHyFlex, seramai 397 pelajar dan 24 pelajar dari 14 buah negara menyertai program ODL dan 748 pelajar dari 100 buah negara menyertai program MOOC & Micro-Credential yang mana pembelajaran mereka lebih fleksibel dan inilah masa depan pembelajaran kita. CDex dan UTMSPACE turut membantu kita dalam menerajui pendidikan fleksibel dan sepanjang hayat ini,” ujar beliau.
Menyingkap 52 tahun UTM menempa kebitaraan dalam pendidikan tinggi, warga akademia juga menerima imbalan yang besar dan positif dengan menerima pelbagai anugerah sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Tujuh Fokus Utama Tahun 2024
Dalam pada itu, JTNCAA bakal memberi perhatian kepada tujuh (7) fokus utama dalam menggerakkan usaha mempertingkat kualtiti pendidikan tinggi. Antaranya ialah penghasilan Kurikulum berorientasikan masa hadapan dengan lima sasaran, iaitu semakan kurikulum, tambahan kursus bidang baharu, TNE & A-TVET melalui SPACE dan pesisir antarabangsa melalui SPS, pemerkasaan kualiti akademik (MQR) dan program baharu dengan empat (4) teras utama termasuklah ESG, AI, Green Transition dan New Energy selain memperkasakan kolaborasi penyelidikan agar hasil penyelidikan boleh dibawa ke dalam kelas dan memperkenalkan research-led teaching kepada pelajar.
Fokus kedua, memperkasakan pengalaman mahasiswa dengan merancang program baharu yang boleh diketengahkan bagi mengasah soft skill pelajar bagi membangunkan pelajar yang bersifat “smart and sharp”. Seterusnya, Teaching Research Nexus pula sebagai fokus ketiga menumpukan kepada peluang pelajar ijazah sarjana muda merasai pengalaman melakukan kerja-kerja di makmal berteknologi tinggi.
Sementara itu, akademia berorientasikan masa hadapan yang memerlukan pensyarah untuk mengadaptasikan diri dengan perubahan teknologi semasa dan perlu memahami teknologi baharu untuk digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran seperti virtual lab dan sebagainya dilihat perlu diberi perhatian dan ini menjadi tumpuan keempat bagi warga JTNCAA. Kesohoran global turut menjadi fokus JTNCAA yang fokusnya untuk meningkatkan kerjasama global, penyeliaan bersama dengan universiti ternama pada ranking 100 teratas, meningkatkan mobiliti pelajar dan mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
UTMHyflex juga perlu diperkasakan lagi pada tahun 2024 dengan pemerkasaan ODL, MOOC & MC, memastikan flexible offering serta virtual lab yang lebih baik, memperkasakan peranan UTM CDex bagi memastikan UTM Online boleh dilancarkan dalam masa terdekat.
Kecemerlangan perkhidmatan akademik menjadi fokus terakhir JTNCAA bagi 2024 dengan memperkasakan sistem kaunter melalui tiga inisiatif iaitu pelaksanaan piagam pelanggan, kaunter maya dan kempen senyum di kaunter fizikal.
“Generasi kita dengan pelajar sekarang mungkin berbeza, namun saya yakin dan percaya semua warga akademia di UTM mampu untuk bergerak sejajar dengan transformasi yang berlaku di masa ini,” kata Prof Shafry dalam mengakhiri ucapannya.
Rakaman penuh Majlis Amanat Tahun Baharu TNCAA 2024 boleh dicapai di https://fb.watch/qObpQykSfY/