April 27, 2024

Search
Close this search box.
DSC

JOHOR BAHRU, 26 Mac – Mendakap kemenangan pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Johor 2024 sekali lagi menyaksikan Mohamad Daniel Haziq Haswadi, pelajar 5 Excellence Track Programme (5ETP) daripada teras Tekno Hafiz menjuarai pertandingan Hafazan peringkat Negeri Johor baru-baru ini.

Dalam sesi temu bual bersama UTM NewsHub, beliau berkongsi kisah perjalanannya dalam menghafaz ayat-ayat suci al-Quran dan perjuangan menyeimbangkan keperluan tuntutan akademik untuk terus cemerlang dalam kedua-dua bidang.

n
Mohammad Daniel menerima hadiah sebagai Johan hafazan peringkat Negeri Johor

Pelajar sarjana muda dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) ini merupakan permata hati pasangan alumni UTM; ayahnya pensyarah di Fakulti Komputeran, UTM manakala ibunya seorang pendidik di sebuah sekolah di Kangar Pulai. Mewarisi semangat keilmuan dari kedua ibu bapa beliau, Mohamad Daniel telah pun didedahkan dengan kemahiran membaca al-Quran sebelum memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor dan berjaya menghafaz juz Amma serta beberapa surah pilihan yang lain.

Pendidikan awal Daniel ini telah membentuk asas kecenderungan hafazannya sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara Gemencheh dan akhirnya ke UTM dalam bidang Kejuruteraan Elektrik. Meskipun memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, ia tidak menghalang Daniel untuk terus memperkaya ilmu hafazan beliau dengan menyertai program kecemerlangan elit, 5ETP UTM, Tekno Hafiz.

Bagi Mohamad Daniel, pengurusan masa yang efisien antara pelajaran akademik dengan hafazan al-Quran sangat penting bagi memastikan keseimbangan antaranya keduanya tetap dijaga. Dengan membaca satu juzuk al-Quran setiap hari selepas solat Asar atau Maghrib, beliau menegaskan keutamaan tetap diberikan kepada tugasan akademik tanpa meninggalkan hafazan al-Quran. Kehadiran dalam kelas Tekno Hafiz setiap minggu juga menjadi sebahagian daripada rutinnya.

DSC

“Saya akan pastikan semua tugasan kelas akademik telah saya selesaikan dan tidak mempunyai apa-apa aktiviti pada malam Rabu. Para Ustaz yang memimpin pelajar Tekno Hafiz ini sangat memahami situasi kami sebagai pelajar dan memberikan kelonggaran sekiranya kami mempunyai kuiz atau peperiksaan pada waktu kelas yang telah mereka tetapkan. Saya berusaha mengutamakan tugasan kelas harian tanpa meninggalkan hafalan saya,” ujar Daniel.

Berkongsi pandangannya mengenai peranan hafazan al-Quran dalam meningkatkan daya ingatannya, Daniel percaya bahawa hafazan al-Quran membantu dalam memahami ilmu akademik dengan lebih baik dan memberikan kelebihan dalam menyelesaikan masalah serta menjawab soalan peperiksaan. Daniel antara pelajar cemerlang dalam jurusannya setakat ini memperoleh CGPA 3.95 meskipun adakalanya mempunyai masa yang singkat untuk mengulang kaji pelajaran pada musim peperiksaan.

DSC
Daniel Haziq (tiga dari kiri) bersama barisan imam muda di MSI

“Saya rasa dengan muraja’ah (mengulang hafazan) al-Quran menjadikan saya lebih mudah untuk memahami mata pelajaran yang susah, lebih kreatif untuk menyelesaikan msalah dan menjawab soalan-soalan yang diberikan dalam peperiksaan. Saya percaya walaupun kita menghabiskan masa dengan al-Quran tetapi kita tak boleh tinggalkan akademik, kita perlu mempunyai usaha dan tawakkal dalam mencapai kejayaan dalam akademik,” katanya.

Mengakui minatnya dalam bidang robotik lahir sejak di bangku MRSM lagi dan kelab Robocon di UTM menjadi salah satu faktor penentu pemilihannya ke Universiti ini, akhirnya telah membawa beliau meraih pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

IMG WA
Mohamad Daniel bersama pasukannya meraih Johan dan dinobatkan sebagai teknologi terbaik dalam pertandingan Robocon

“Pencapaian saya dalam kelab Robocon ialah pada tahun 2022, saya merupakan salah seorang wakil Malaysia ke pertandingan di New Delhi, India yang dijalankan secara dalam talian kerana pandemik Covid-19. Pada bulan Ogos tahun lepas, kami telah menyertai pertandingan di Kemboja dan telah menjadi Johan (UTM B),” tambah Daniel.

Selepas menamatkan pengajian nanti, beliau bercita-cita untuk menyambung pula pengajian dalam bidang qiraat dan tafsir, dan memasang hasrat untuk berguru dengan individu berpengalaman dan dalam masa yang sama menceburkan diri dalam industri sebagai seorang jurutera. Beliau berharap agar program Tekno Hafiz diteruskan untuk mengangkat nama baik UTM dalam bidang hafazan al-Quran seterusnya melahirkan profesional yang juga penghafaz al-Quran.

DSC

Dengan kejayaannya dalam akademik dan hafazan al-Quran, Mohamad Daniel membuktikan  kecemerlangan dalam dua bidang bukanlah mustahil. Kisah Mohamad Daniel ini memberi inspirasi kepada semua untuk terus menggabungkan ilmu duniawi dan ukhrawi dalam mencapai kejayaan sejati.

Explore More