Mei 3, 2024

Search
Close this search box.
photo

SURABAYA, 29 Feb.Sustainable Energy and Green Technology Applications (SEGTA 2024) program mobiliti pelajar anjuran Fakultas Teknologi Maju dan Multidisiplin Universitas Airlangga (FTMM, UNAIR), Surabaya, Indonesia berlangsung selama 9 hari dengan kolaborasi bersama beberapa Universiti di Malaysia termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). UTM telah menghantar seramai 45 orang pelajar dan 4 orang pensyarah bagi menyertai SEGTA 2024.

Jawatankuasa Kolej Kediaman (JKM) Kolej 9&10  mengambil peluang ini untuk menghantar 6 orang wakil, iaitu Amirul Idham, Muhammad Dzul Syaafii, Muhammad Ikmal Zulhakkim, Muhammad Syahmi Afif, Farah Faizal dan Ismahani Juzailah, diiringi oleh Pengetua Kolej 9&10, Prof Madya Ts. Dr Abd Rahman Tamuri. Program memberi impak yang besar kepada mahasiswa yang menyertainya kerana banyak input yang disampaikan oleh panel jemputan dan turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan oleh pihak UNAIR.

Objektif utama program ini adalah untuk mendidik dan melatih generasi akan datang dalam bidang tenaga dan teknologi hijau untuk menghasilkan graduan yang berkemahiran, peka alam sekitar, dan mampu berinovasi dalam membangunkan solusi tenaga yang mampan.

photo
Ketibaan para peserta di  Juanda International Airport

Majlis Perasmian Program SEGTA disempurnakan yang oleh Prof. Dr. Retna Apsari, Dekan III FTMM merupakan antara acara utama program ini. Peserta dibahagikan kepada beberapa topik pembangunan komuniti di mana wakil Kolej 9&10 telah memilih topik Tourism Concept yang mengfokuskan penggunaan Drone. Peserta telah didedahkan dengan lebih mendalam tentang drone dan diberikan peluang menaikkan drone di sekitar Batu Canggah, Pulau Gili Iyang setelah sesi pertukaran ilmu selesai.

photo
Wakil Kolej 9 & 10 di Batu Canggah, Pulau Gili Iyang (Drone)

Peluang melawat Muzium & Keraton Sumenep yang merupakan tempat menyimpan kereta emas, pemberian Ratu England kepada Raja dan digunakan untuk menyimpan harta pusaka merupakan pengalaman yang berharga buat para peserta.

Forum yang disampaikan oleh barisan panel yang sangat berpengalaman dengan bidang masing-masing mengenai kelestarian dan penerapan teknologi hijau membantu mengembangkan lagi pengetahuan tentang isu yang dibincangkan. Peserta juga diberi peluang untuk melihat makmal-makmal yang tedapat di FTMM sekaligus merasai pengalaman menjadi mahasiswa FTMM semasa lawatan sekeliling fakulti dijalankan.

photo
Lawatan ke makmal di FTMM

Lawatan kebudayaan sekitar Surabaya memberi pendedahan kepada peserta tentang sejarah tanah air Indonesia secara amnya dan Surabaya secara khususnya. Destinasi pertama adalah Alun-Alun Surabaya dimana peserta diberikan peluang untuk meneroka galeri seni surabaya yang mempamerkan banyak gambar bersejarah yang menjadi bukti dan sejarah yang bermakna. Lawatan ke Mirota Batik & Handicraft Surabaya yang merupakan pusat membeli-belah pelancong terkenal dengan batik dan kraftangan yang boleh dijadikan sebagai ole-ole dari negara jiran.

photo
Wakil Kolej 9&10 di Alun-Alun Surabaya

Majlis penutupan SEGTA mengetengahkan kepelbagaian budaya dari pelbagai bangsa di seluruh dunia. Peserta dari UTM telah mengadakan pertunjukan fesyen yang memperkenalkan pakaian tradisional pelbagai etnik di Malaysia dan juga persembahan dikir barat. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil kepada peserta dan cenderamata daripada peserta kepada pihak penganjur.

photo
Penyerahan cenderamata kepada pihak penganjur

Peserta turut di bawa meneroka keindahan Gunung Bromo yang terletak di Kota Malang Indonesia. Peluang keemasan ini sangat mencabar kekuatan fizikal dan mental peserta tetapi bagi mereka ianya merupakan pengalaman yang sangat berharga. 

photo
Wakil Kolej 9&10 di sekitar kawasan Gunung Bromo

Tuntasnya, SEGTA telah membuktikan dirinya sebagai platform yang efektif dalam memperluas pengetahuan dan kesedaran tentang kelestarian alam dan teknologi hijau dalam kalangan pelajar, sambil membuka peluang untuk pertukaran budaya dan pengalaman yang berharga di antara peserta dari pelbagai pelusuk dunia.

Explore More