Mei 1, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at PM ()

Program Temu Waghih kumpul 1200 mahasiswa anak Negeri Sembilan

SEREMBAN, 28 Mac – Seramai 27 orang perwakilan mahasiswa daripada Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan Universiti Teknologi Malaysia (SEMANIS UTM) yang diketuai oleh penasihat SEMANIS UTM, Dr. Mohd Akmali Mokhter bersama Yang Dipertua SEMANIS UTM, Muhammad Hakim Mohd Zain turut hadir bersama-sama perwakilan PERMANIS daripada seluruh IPT dan sekolah-sekolah di sekitar Negeri Sembilan yang lain ke program julung tahun ini.

Lebih 1200 orang mahasiswa Anak Negeri Sembilan daripada seluruh Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara berkumpul bersempena Program Temu Waghih: Iftar Jama’ie 1445 H anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (PERMANIS) dengan kerjasama pihak Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dan Dewan Waghih Siswa (DWS). Program yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan bersama barisan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri.

WhatsApp Image at PM
Perwakilan SEMANIS UTM bergambar kenangan bersama YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun.

Program Temu Waghih: Iftar Jama’ie 1445H yang bertujuan bagi meraikan bulan Ramadan pada tahun ini dimulakan dengan sesi merewang memasak bubur lambuk yang telah menjadi tradisi utama saban kali bulan Ramadan tiba. Sebanyak 1000 pek bubur lambuk telah disediakan oleh seramai 100 orang sukarelawan mahasiswa anak Negeri Sembilan di sekitar perkarangan Dewan MBS seawal jam 9 pagi.

WhatsApp Image at AM
Para sukarelawan mahasiswa anak Negeri Sembilan merewang memasak dan menyediakan 1000 pek bubur lambuk di perkarangan Dewan Majlis Bandaraya Seremban.

Seramai 15 orang perwakilan SEMANIS UTM turut serta bersama-sama sukarelawan lain dalam sesi menyantuni dan pengagihan bubur lambuk kepada masyarakat setempat di sekitar daerah Seremban pada jam 6 petang. 

WhatsApp Image at AM
Penasihat SEMANIS UTM, Dr. Mohd Akmali Mokhter (tiga dari kanan) bersama wakil sukarelawan mahasiswa anak Negeri Sembilan mengagihkan pek bubur lambuk kepada masyarakat di sekitar daerah Seremban.

Menurut Yang Dipertua SEMANIS UTM, program ini memberikan satu pengalaman yang sangat manis apabila seluruh mahasiswa yang melanjutkan pengajian di seluruh IPT dalam negara dapat turun berkumpul di negeri kelahiran mereka sendiri bagi bersama-sama menjayakan program yang dianjurkan oleh PERMANIS ini sendiri.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar Negeri Sembilan telah menyampaikan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berjumlah RM 3.6 juta kepada para mahasiswa yang terdiri daripada kelompok keluarga yang berpendapatan rendah. Menurutnya, inisiatif ini merupakan bantuan oleh pihak kerajaan negeri melalui Yayasan Negeri Sembilan (YNS) kepada anak-anak Negeri Sembilan bagi membantu memudahkan urusan pengajian mereka.

WhatsApp Image at AM
YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun menyampaikan mock cheque Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada Bendahari PERMANIS Kebangsaan yang berjumlah RM 3.6 juta.

“Program ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan yang lebih baik antara pihak kerajaan Negeri bersama anak-anak Negeri Sembilan yang merupakan pelapis pemimpin negeri dan negara kita pada masa akan datang”, ujar YAB Menteri Besar Negeri Sembilan pada ucaptama beliau ketika merasmikan Program Temu Waghih: Iftar Jama’ie 1445H selepas selesai menyempurnakan solat Terawih secara berjemaah di sana.

WhatsApp Image at PM
Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun menyampaikan ucapan ketika menyempurnakan program Temu Waghih: Iftar Jama’ie 1445H di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.

Penganjuran program ini jelas membuktikan kebersamaan daripada seluruh pihak tidak kira golongan mahasiswa, pihak komuniti setempat dan barisan pucuk pimpinan kerajaan negeri dalam terus memperkasakan agenda pendidikan yang berkualiti sekali gus mampu merealisasikan tema Bersih, Muafakat, Sejahtera yang menjadi pegangan seluruh masyarakat di Negeri Sembilan.

“Siapa yang bertakwa kepada Rabb-nya dan menyambung silaturahmi, niscaya umurnya akan diperpanjang dan hartanya akan diperbanyak, serta keluarganya akan mencintainya.”- HR Bukhari

Explore More