Disember 22, 2024

Chit Chat Kelestarian x

Program Chit Chat Kelestarian mengupas kuasa wanita sebagai peneraju dan pemikir penyelesaian inovasi

JOHOR BAHRU, 7 Mac – Kerajaan harus mempertimbangkan untuk mewujudkan Waktu Bekerja Fleksibel (WBF) khusus untuk penjawat awam wanita yang telah berkahwin supaya dapat memberikan fokus yang secukupnya bagi mengurus rumahtangga.

Golongan ini juga seharusnya diberikan pertimbangan untuk melaksakanakan praktis Bekerja Dari Rumah (BDR) supaya dapat kekal menyumbang kepakaran dan kemahiran masing-masing untuk jabatan/kementerian yang dikhidmati tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di rumah.

Chit Chat Kelestarian
Hadirin bergambar kenangan bersama barisan panel Program Chit Chat Kelestarian bertajuk Kuasa Wanita: Peneraju dan Pemikir Penyelesaian Inovasi anjuran UTMCS yang berlangsung di Dewan Bankuet UTM.

Timbalan Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus UTM (UTMCS) Johor Bahru, LAr. Dr. Zanariah Jasmani berkata agensi bertanggungjawab perkhidmatan awam seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seharusnya memikirkan perkara ini bagi membolehkan penjawat awam khususnya golongan wanita mencapai keseimbangan kehidupan bekerja atau ‘Work Life Balance’.

“Penjawat awam khasnya golongan wanita yang telah berkeluarga harus diberikan peluang untuk memberikan fokus yang secukupnya dalam membimbing anak-anak dan mengurus rumahtangga masing-masing di samping terus menyumbang untuk rakyat dan negara” ulas beliau.

Chit Chat Kelestarian
Barisan panel berkaliber bagi membicarakan hal ehwal wanita iaitu Pendaftar UTM, Nor Azizah Ismail (dua kiri), Ahli LPU UTM, Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Kawalan dan Mekatronik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Prof. Ir. Dr. Hazlina Selamat.

“Ini amat penting kerana keseimbangan dalam kehidupan bekerjaya hanya dapat dicapai jika wujud kesimbangan antara pekerjaan dan juga kehidupan peribadi,” katanya ketika ditemui selepas majlis Chit Chat Kelestarian bertajuk Kuasa Wanita: Peneraju dan Pemikir Penyelesaian Inovasi yang berlangsung di Dewan Bankuet, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 7 Mac 2024.

Program ini telah menampilkan barisan panel jemputan yang terdiri dari Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UTM, YBhg. Prof. Emirita Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Pendaftar UTM, Puan Nor Azizah Ismail dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Kawalan dan Mekatronik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Prof. Ir. Dr. Hazlina Selamat.

Chit Chat Kelestarian
Tetamu yang hadir mendengar isu semasa wanita yang diutarakan.

Antara perkara yang dibincangkan adalah isu-isu semasa berkaitan wanita seperti waktu bekerja, pemerkasaan wanita dalam bidang pekerjaan dan professional, sumbangan wanita dalam pembangunan negara di samping masalah serta dilema yang dihadapi oleh kaum hawa ini dalam menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan juga pekerja.

Program anjuran Pejabat UTMCS dengan kerjasama Majlis Profesor UTM dan juga Sekolah Pendidikan Profesional dan Berterusan UTM (UTMSPACE) ini adalah selaras dengan Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) No. 5 iaitu Kesaksamaan Gender (Gender Equality).

 

Chit Chat Kelestarian
Dari kiri, Penolong Pendaftar Kanan UTMCS, Kiflee Jimpi, Timbalan Pengarah UTMCS Johor Bahru, Dr. Zanariah Jasmani dan Timbalan Pengarah UTMCS Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr. Shamsul Sarip mengiringi Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada YBhg. Prof. Emirita Datuk Dr. Asma Ismail, Ahli LPU UTM selepas program tamat.

Explore More