November 22, 2024

Search
Close this search box.
jpg

Perkembangan teknologi elektrik dalam menjamin kemampanan dan kelestarian masa hadapan

Tenaga Elektrik merupakan elemen yang amat penting untuk memastikan sesebuah negara boleh membangun dengan baik. Tanpa sumber tenaga elektrik, ia akan membantutkan ekonomi kerana kebergantungan kebanyakan peralatan kini terhadap sumber ini. Oleh yang demikian, negara akan cuba untuk memastikan penjanaan tenaga elektrik adalah mencukupi.

Malaysia antara negara yang mempunyai keboleharapan tenaga elektrik yang tinggi. Untuk mencapai objektif ini, Malaysia masih bergantung kepada penjanaaann bersumberkan gas asli dan arang batu. Berdasarkan data International Energy Agency (IEA) sebanyak 47.9% tenaga elektrik yang dijana di Malaysia adalah daripada arang batu, manakala 32.5% dijana menggunakan gas asli. Kurang daripada 20% tenaga elektrik yang dihasilkan menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui seperti penjana hidro dan solar PV. Natijahnya, pembebasan karbon dioksida (CO2) di Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 96% pada 2021 berbanding tahun 2000.

rajah
Pembebasan CO2 hasil dari penjanaan elektrik (tahun 2000 – 2021)

Kelestarian alam yang semakin mendesak ini memerlukan semua pihak bekerjasama, terutamanya daripada pihak pengguna. Alatan berkecekapan tinggi dan tenaga yang boleh diperbaharui antara alternatif terbaik yang boleh digunakan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap penjanaan elektrik tradisional yang menghasilkan CO2 yang tinggi.

Teknologi Berkecekapan Tenaga

Perkembangan teknologi alatan berkecekapan tinggi merupakan aspek penting dalam perubahan menuju kelestarian. Semakin tinggi kecekapan sesebuah alat, semakin sedikit tenaga yang akan digunakan. Secara tidak langsung, ini dapat memastikan penggunaan tenaga elektrik oleh pengguna menjadi sangat rendah. Contohnya, sebuah alat yang mempunyai kecekapan 50%, akan menggunakan tenaga dua kali ganda lebih banyak daripada sepatutnya. Sebaliknya, alat yang mempunyai kecekapan 90% akan menggunakan lebihan tenaga sebanyak 11%. Oleh sebab itu, penghawa dingin yang mempunyai label 5 Bintang (berkecekapan tinggi) daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) akan menggunakan tenaga jauh lebih rendah berbanding 2 Bintang. Secara tidak langsung, penggunaan alatan 5 Bintang dapat mengurangkan kadar bil elektrik pengguna, mengurangkan jumlah tenaga yang perlu dijana oleh Tenaga Nasional berhad (TNB), dan seterusnya mengurangkan pembebasan CO2.

Walaupun alatan 5 Bintang ini sedikit mahal, namun, dari segi pulangan modal (Return of Investment – ROI) ia boleh diperoleh dalam masa yang singkat. Oleh itu, semua pengguna sepatutnya menitikberatkan pembelian alat berkecekapan tenaga yang tinggi supaya jumlah pembebasan CO2 dapat dikurangkan serta menjamin kelestarian alam.

rajah
Contoh label bintang yangada pada peralatan elektrik yang dikeluarkan oleh ST Malaysia

Teknologi Solar Fotovolta (PV)

Kedudukan Malaysia yang berada di garisan Khatulistiwa menjanjikan jumlah cahaya yang banyak sepanjang tahun. Ini membolehkan potensi solar PV jauh lebih besar jika dibandingkan dengan sumber tenaga yang boleh diperbaharui yang lain, seperti tenaga angin, dan tenaga ombak.  Untuk menggalakkan penggunaan tenaga solar PV, inisiatif kerajaan melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Lestari (SEDA) Malaysia telah memperkenalkan pelbagai skim untuk dinikmati pengguna. Terkini, kuota pada skim NEM 3.0 terus ditambah bagi tahun 2024 agar rakyat boleh membuat pemasangan solar PV pada rumah mereka. Melalui pemasangan panel PV ini, pengguna dapat mengurangkan kebergantungan terhadap TNB, mengurangkan jumlah tenaga yang dibekalkan oleh TNB , dan mengurangkan pembebasan CO2.

rajah
Nilai tambahan kuota NEM 3.0 untuk 2024 untuk menggalakkan penggunaan solar PV

Komponen solar PV, seperti panel solar, mempunyai jaminan produk daripada kilang selama 12 tahun, manakala untuk penukar arus terus/arus ulang alik (inverter) mempunyai jaminan selama 10 tahun. Ini memberikan keyakinan kepada pengguna akan kebolehtahanan sistem tersebut. Pengguna dapat mencapai pulangan modal daripada pemasangan solar PV ini dalam tempoh 5-6 tahun dan menikmati tenaga yang percuma dan bersih untuk baki tempoh jangka hayat sistem.

Perubahan menuju teknologi tenaga yang lebih mampan membawa implikasi positif kepada masyarakat dan ekonomi. Dengan penggunaan alat berkecekapan tinggi dan menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui di rumah atau premis perniagaan atau  syarikat, pengguna bukan sahaja mendapat manfaat dari segi pengurangan kos tenaga, malah dapat meningkatkan kebolehcapaian kepada teknologi moden dan mengurangkan impak kesihatan akibat pencemaran alam. Oleh yang demikian, dengan meningkatkan kesedaran dan kerjasama global dan masyarakat setempat (pengguna), kita dapat memanfaatkan kekuatan teknologi ini untuk melindungi alam sekitar.

 

Prof. Madya Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian merupakan staf di Jabatan Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia. Beliau terlibat secara aktif dalam penyelidikan serta banyak mengetuai projek perundingan dengan beberapa syarikat, seperti Petronas dan Tenaga Nasional Berhad. Bidang kepakaran beliau adalah dalam reka bentuk serta teknologi solar PV dan sistem perlindungan bagi sistem elektrik kuasa.

Explore More