Mei 2, 2024

Search
Close this search box.
MerWA Zon Selatan

Pentaksiran Makroergonomik di Tempat Kerja (MerWA)

JOHOR BAHRU, 4 Mac – Program Hebahan Pentaksiran Makroergonomik di Tempat Kerja (MerWA) bagi Pematuhan Higien Industri Secara Menyeluruh kepada Industri Zon Selatan telah diadakan di Dewan Senat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) anjuran Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama UTM.

Pengarah Bahagian Higien Industri dan Ergonomik, JKKP Malaysia (tiga dari kiri) bersama pengurusan MerWA dari UPM dan UTM.

Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. En. Mohd Yunus Talib@Khalid, Pengarah Bahagian Higien Industri dan Ergonomik, JKKP Malaysia.

Menerusi ucaptama beliau, JKKP telah merangka Occupational Safety and Health Master Plan (OSHMP) 2021-2025 bagi memastikan kebajikan pekerja dan orang awam berada pada tahap yang optimum.

Selain daripada itu, OSHMP25 mempunyai tujuh teras strategik bagi memastikan kemakmuran negara dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan antaranya dengan memperkasa faktor kesihatan pekerjaan melalui teras strategik keempat. Beliau menegaskan aspek makroergonomik terdiri daripada tiga domain iaitu kognitif, fizikal dan organisasi.

Ucapnya lagi, JKKP sedang dalam proses merangka dan mengeluarkan Code of Practice berkaitan ergonomik. Pada masa ini, penilaian fizikal ergonomik adalah menggunakan Guidelines on Ergonomics Risk Assessment at Workplace 2017.

Encik Mohd Yunos bin Talib@Khalid sewaktu memberikan ucapan perasmian.

Secara amnya, ergonomik adalah interaksi antara manusia dengan persekitaran tempat kerja termasuklah peralatan, mesin, faktor persekitaran (cahaya) dan lain-lain.

Makroergonomik dalam MerWA yang telah dirangka akan meliputi tujuh seksyen bermula dari seksyen A sehingga seksyen G.

Ketujuh-tujuh seksyen tersebut adalah merangkumi penilaian tempat kerja, saringan, pentaksiran berasaskan tugas, ruang terkurung, penilaian reka bentuk kerja, penilaian alam sekitar bidang kerja dan pentaksiran organisasi.

Peserta dari industri yang sedang membuat pendaftaran kehadiran MerWA.

Pentaksiran makroergonomik di tempat kerja dijangka akan menjadi perkara yang perlu dilaksanakan oleh industri apabila Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dikuatkuasa kelak.

Diharapkan agar program MerWA yang diadakan ini dapat memberi kesedaran dan kefahaman kepada para peserta seterusnya mengurangkan peratusan laporan masalah kesihatan pekerjaan terutamanya berkaitan ergonomik selaras dengan teras strategik empat OSHMP 2021-2025.

Explore More