KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kejohanan Liga Sahur (Piala Pengetua KSJ) merupakan kejohanan tahunan yang dianjurkan di Kolej Siswa Jaya (KSJ) dengan melibatkan pelajar-pelajar yang menginap di dalam kolej dan luar kampus. Kejohanan ini dianjurkan bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat pelajar di dalam arena sukan dan juga membantu kebajikan pelajar dengan memberi makanan sahur percuma selama empat hari kejohanan berlangsung. Selain itu, matlamat utama kejohanan ini juga adalah untuk mengeratkan ukhuwah dan mahabbah dalam kalangan pelajar tahun satu sehingga tahun empat yang berbeza kursus dan latar belakang akademik. Tambahan lagi, kejohanan seperti ini mampu memberi pilihan kepada pelajar muslim dan bukan muslim untuk melakukan aktiviti kesukanan di bulan Ramadan. Kejohanan ini telah berlangsung selama empat hari bermula pada 20 Mac hingga 23 Mac 2024 dengan melibatkan dua jenis sukan teras yang mendapat sambutan penyertaan yang menggalakkan dalam kalangan pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur iaitu Futsal bagi kategori lelaki dan Frisbee bagi kategori campuran.

Pengetua KSJ, Dr. Mohamed Azlan bin Suhot; Ketua Seksyen Kecemerlangan Sukan, dan Penaja Utama Kejohanan ISMA MEWAH turut hadir pada hari terakhir kejohanan bagi menyaksikan perlawanan akhir futsal. Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Liga Sahur (Piala Pengetua KSJ) telah disempurnakan oleh Pengetua KSJ sendiri di Gelanggang Futsal KSJ.
“Kolej sentiasa menggalakkan dan menyokong kejohanan seperti ini. Ia menjadi satu branding dan acara tahunan di KSJ untuk mengasah bakat pelajar agar boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi” ucap pengetua KSJ semasa Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Liga Sahur (Piala Pengetua KSJ)

