Disember 27, 2024

WhatsApp Image at

KUALA LUMPUR, 15 Mac –  Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan (SITC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip, telah mendapat jemputan ke Program Lensa IPT melalui TV1 dan Saluran Berita RTM bagi mengulas lanjut berkenaan dengan tajuk “Perlukah Universiti Sukan di Malaysia” bersama Dr. Mohd Firdaus, koordinator program pengurusan sukan Fakulti Sukan & Sains Eksesais, Universiti Malaya (UM) dan Dr. Mohd Zulkhairi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Menariknya, kupasan tajuk ini banyak berkisar tentang aplikasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan bagaimana penggunaan teknologi dapat dilaksanakan dalam program bidang pengajian sukan di Malaysia. Justeru itu, ia bertepatan dengan peranan utama Pengarah SITC di UTM iaitu memperkasakan aplikasi teknologi dalam sukan untuk pembangunan bakat dan teknologi sukan baru.

WhatsApp Image at
Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip, Pengarah SITC UTM memberikan pedapat beliau tentang topik yang dibincangkan

Dr. Hadafi telah mengupas tentang bagaimana penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) yang baharu di UTM boleh menjadi projek serampang dua mata seperti kerjasama mewujudkan program diploma teknologi sukan, diploma AI sukan, sijil virtual reality (VR) sukan dan lain-lain di masa akan datang dalam memperkasakan program TVET di Malaysia. Beliau juga menjelaskan melalui pelan kerjasama strategik yang dilakukan bersama seperti program Akademi Johor Darul Ta’zim FC (JDT) di dalam UTM, langkah penjimatan boleh dilakukan tanpa perlu pembinaan bangunan baru yang akan melibatkan kos belanjawan yang tinggi. Secara tidak langsung juga, keberadaan Akademi JDT di dalam UTM akan menarik minat pelajar-pelajar tersebut untuk menyambung pelajaran mereka di peringkat yang lebih tinggi.

WhatsApp Image at ()
Pengarah SITC UTM bersama pemain orang asli berbakat iaitu Sa’ap Baharom di Akademi JDT dalam UTM.

“Pengumuman program Sijil Professional Teknologi dan Inovasi Sukan antara Institut Sukan Malaysia (ISN) dan UTMSPACE (Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan) yang akan dilaksanakan pada tahun 2024 juga merupakan langkah future proof di mana keperluan penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IOT), AI, dan VR diaplikasikan dalam program sukan. Ia perlu dirancang secara strategik untuk menghasilkan keputusan yang optimum dan memberi impak yang besar  kepada industri sukan tanahair,” ulas beliau. Kursus pensijilan teknologi sukan ini adalah merupakan program yang pertama di Malaysia dan melibatkan kepakaran pensyarah UTM dalam proses pembangunan modul subjek serta seiring transformasi pendigitalan negara.

n
Bengkel Pemurnian Sijil Professional Teknologi dan Inovasi Sukan antara UTMSPACE, ISN dan SITC UTM yang akan dirasmikan pada tahun 2024.

Perbincangan program Lensa IPT TV1  menzahirkan keperluan universiti sukan di Malaysia adalah penting bagi pembangunan atlet dan pencapaian kecemerlangan dalam bidang sukan. Sayugia atau sebaiknya, universiti perlu menyediakan fasiliti sukan yang berkualiti seperti padang, gimnasium, dewan tertutup, kolam renang, pusat rehabilitasi dan lain-lain untuk membolehkan atlet dan pasukan berlatih dengan selesa. Program pembangunan atlet juga perlu diperkenalkan untuk menyokong pelajar yang berbakat dalam sukan mendapatkan latihan yang berkualiti dan pemantauan prestasi yang berterusan. Aplikasi kaedah bermain dan belajar (play and study) adalah sinonim buat pelajar bidang pengajian sukan di universiti di mana jumlah jam dalam latihan sukan amat penting dari segi peningkatan prestasi dalam sukan, di mana ia berbeza dengan pelajar biasa yang hanya fokus pada belajar dan bermain di waktu lapang.

“Pensyarah sukan perlu mainkan peranan utama kepada setiap atlet dan pemain agar mengamalkan wasatiah dalam kehidupan di mana pentingnya keseimbangan sukan dan akademik dalam kehidupan. Peluang untuk belajar di universiti dan bersukan di peringkat tertinggi semakin meluas pada masa kini. Jadi, jangan bazirkan peluang yang ada kerana purata tempoh umur bermain sukan sekitar 30-40 tahun sahaja,” kata Dr. Hadafi apabila mengulas lanjut berkenaan dengan peluang yang sepatutnya diambil oleh pelajar yang mempunyai bakat dalam bidang sukan.

n
3 Panel Jemputan adalah merupakan Pensyarah Sains Sukan dari 3 Universiti berbeza iaitu UTM, UM dan UiTM

Model Akademi Sukan JDT di dalam UTM telah diangkat oleh pengarah SITC UTM sebagai langkah yang bijak dan strategik kerana pelbagai manfaat yang boleh diperolehi secara bersama dalam program lensa IPT RTM TV1.

“Model kerjasama strategik ini telah lama diguna pakai di luar negara di mana kerjasama universiti dan kelab bolasepak tersohor di peringkat antarabangsa yang berjaya menghasilkan keputusan yang positif. Keputusan kejayaan pasukan akademi JDT yang pelbagai di dalam liga-liga kejohanan di Malaysia juga menunjukan bukti keberkesanan program ini. Selain itu, masa depan pemain juga perlu diutamakan agar apabila bersara dari arena sukan satu hari nanti sekurang-kurangnya mereka mempunyai sijil atau diploma. Ia bertepatan dengan projek UTMSPACE berkaitan lifelong learning serta penawaran program diploma sukan dan kecergasan kepada pelajar akademi JDT dan atlet Negeri Johor, tambah beliau.

Sokongan kewangan dan pembiayaan juga diperlukan untuk menampung kos latihan, perjalanan ke tempat latihan dan pertandingan, keperluan sukan seperti suplemen tambahan, alatan sukan yang berkualiti mengikut spesifikasi pertandingan dan lain-lain bagi golongan pelajar-atlet. Dengan menyediakan sokongan kewangan yang mencukupi, pelajar-atlet dapat fokus sepenuhnya pada pembangunan kemahiran dan pencapaian prestasi dalam bidang sukan. Terdapat pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan seperti biasiswa sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), biasiswa sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pelbagai jenis biasiswa sukan negeri sedia ada.

LAB
SITC UTM adalah merupakan Pusat Satelit ISN di bahagian selatan mendapat kebenaran menjalankan program sukan di Negeri Johor.

Keseluruhannya, sokongan kewangan yang mencukupi, kerjasama dengan pemain industri seperti KBS, Majlis Sukan Negara (MSN), ISN dan lain-lain, program kenalpasti bakat dan pembangunan sukan, halatuju dan keterjaminan kareer sukan juga penting bagi memastikan sukan di Malaysia dapat beroperasi dengan berkesan dan menyumbang kepada ekonomi negara serta meningkatkan reputasi Pasukan Malaysia dalam arena sukan di peringkat antarabangsa dan dunia.

“Secara tuntasnya, universiti sukan di Malaysia adalah keperluan buat pelajar lepasan SPM yang merupakan atlet sekolah sukan malaysia. Terdapat 5 buah sekolah sukan malaysia dan 15 buah sekolah sukan negeri, namun begitu tidak semua yang akan layak terpilih mewakili skuad senior negara. Kewujudan universiti sukan memberikan peluang dan ruang kepada pelajar-atlet untuk kekal berlatih dan bersaing serta memperolehi sekurang kurangnya sijil atau diploma demi menjamin masa depan mereka. Akhir kata, dengan hikmah kita teroka, Kerana Tuhan Untuk Manusia” ucap beliau dalam sesi penggulungan di akhir segmen.

WhatsApp Image at
Pasukan Pengurusan Insitute Human Centred Engineering UTM ( MAGICX / SITC / IJN / MEDITEG )

 

Rakaman penuh bual bicara ini boleh dicapai melalui pautan  https: //youtu.be/VefkfPnjPgc?si=PWFHHkSqkNpzjmYT 

Explore More