Disember 13, 2024

Search
Close this search box.
IMG ()

SURABAYA, INDONESIA,  27 Feb. – Go East Java, program berbentuk khidmat masyarakat yang dijalankan oleh pelajar ahli Kelab Lambaian Masyarakat (KLM), kelab di bawah naungan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor (JKMKTC). Dengan mengadaptasikan pengetahuan saintifik dan kepakaran mereka dalam lingkungan bilik darjah, ilmu tersebut diterapkan melalui program Pengabdian Masyarakat Antarabangsa. Dengan kolaborasi Universitas Airlangga (UNAIR), program tersebut dijalankan selama lapan hari di Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.

Bersesuaian dengan bidang tujahan KTC, iaitu Inovatif, Kreatif & Pengantarabangsaan, program ini telah mendapat sokongan penuh daripada Pengetua KTC, Prof. Ir. Dr. Sharul Kamal Abdul Rahim, dibantu oleh Felo Penasihat Program, Dr. Fatin Afiqah Md Azmi, Pembantu Felo, Cik Fatin Batrisya Jihat serta Pengarah Program, saudara Maliki Siron.

Go East Java ini bukan hanya sekadar sebuah program, tetapi satu pengalaman bagi pelajar untuk mempertautkan antara ilmu pengetahuan dengan keperluan masyarakat. Program ini tidak hanya menghubungkan mahasiswa dengan masyarakat setempat, malah juga mengangkat martabat kehidupan komuniti pedalaman.

Selain menjalani aktiviti Community Service Development, program ini juga merangkumi lawatan ke Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) di Surabaya, Indonesia. Institusi yang terkenal dengan keunggulan dalam bidang kejuruteraan dan sains, menjadikannya destinasi yang ideal bagi mahasiswa untuk mempelajari inovasi terkini dalam bidang teknologi. 

IMG ()
Lawatan mengelilingi kampus Insititut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS)

 

Para pelajar UTM termasuk mahasiswa ITS dipecahkan kepada sembilan kumpulan. Di sini, masing-masing berpeluang untuk berinteraksi sambil bertukar pendapat, dan menjalin kerjasama bagi projek-projek masa depan. Setelah itu, pelajar diberikan lawatan sekeliling sambil menyaksikan infrastruktur pendidikan, penyelidikan, dan kegiatan kokurikulum yang membentuk keunikan budaya akademik di universiti tersebut.

Lawatan UNAIR di Surabaya, Indonesia, pula merupakan pengalaman yang memperkaya dan memberi pendedahan budaya, sistem pendidikan, serta pengalaman akademik kepada pelajar UTM. UNAIR adalah salah satu institusi pendidikan tertua dan terkemuka di Indonesia.

 

Penerangan taklimat diberikan mengenai aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang penempatan pelajar selama tiga hari di Dusun Mendiro. Kemudiannya, pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk tujuan lawatan sekeliling kampus UNAIR dan Museum Etnografi, satu-satunya muzium kematian di Indonesia.

Lawatan ini memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pelajar tempatan, yang mana dapat memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi. Ini pada gilirannya dapat membuka pintu kepada peluang kerjasama akademik yang berterusan antara dua negara.

Selesai lawatan dua universiti yang unggul di Indonesia, program diteruskan lagi dengan aktiviti KKN di Dusun Mendiro, Desa Panglungan, Kecamatan Wonosalam, Kabupaten Jombang, Jawa Timur, Indonesia. 

IMG
Majlis Pembukaan Rasmi Go East Java turut dihadiri oleh penduduk desa tempatan

Kedatangan pelajar UTM di Dusun Mendiro disambut meriah oleh pelajar UNAIR serta penduduk desa tersebut. Para pelajar dibahagikan kepada enam kumpulan untuk bergerak ke rumah keluarga angkat yang telah ditetapkan. Dalam masa terluang, pelajar dapat mengenali serta mengeratkan hubungan bersama keluarga angkat masing-masing.

IMG
Penyampaian ucapan alu-aluan oleh pihak barisan VIP majlis

Sebagai pembuka tirai, para pelajar berkumpul di Aula untuk acara majlis pembukaan sambil menyambut kedatangan penduduk tempatan Dusun Mendiro. Kata-kata aluan disampaikan oleh barisan para VIP iaitu wakil daripada pihak UNAIR, World United Association for Community Development (WUACD) UNAIR dan Kepala Desa, atau lebih dikenali sebagai Ketua Kampung Dusun Mendiro serta pengarah program, saudara Muhamad Maliki Siron.

Program kemudian dilanjutkan dengan latihan dalam kumpulan (LDK) di sekolah rendah, Sekolah Desa Negeri (SDN) Panglungan 2. Sebelum permulaan aktiviti, majlis pembukaan secara ringkas ditambahkan dengan senaman pagi untuk menceriakan hari pelajar-pelajar sekolah tersebut. Kemudian, pelajar dibahagikan kepada dua belas kumpulan sebelum meneruskan ke aktiviti seterusnya iaitu Eco-printing, pembuatan tabung dan sabun menggunakan botol dan minyak terpakai.

IMG ()
Majlis penutupan ringkas di Sekolah Desa Negeris (SDN) Panglungan setelah selesai aktiviti

Bukan sahaja aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk mengembangkan kepekaan terhadap isu alam sekitar, malah menggalakkan kreativiti dan keupayaan mereka dalam menghasilkan produk bernilai tambah dari bahan terbuang. Perkongsian ilmu sebegini mampu membentuk jambatan sosial dan ilmiah yang penting dalam pertukaran pengetahuan dan pengalaman. Akhirnya, aktiviti di sekolah diakhiri dengan majlis penutupan ringkas disertai dengan pemberian hadiah kepada pelajar sekolah dan cenderamata kepada pihak sekolah sebagai tanda penghargaan. 

IMG ()
Sesi pengajaran tajwid kepada anak-anak Dusun Mendiro

Di sebelah petang, aktiviti pengajaran celik tajwid diadakan oleh pelajar UTM kepada kanak-kanak Dusun Mendiro di masjid. Secara tidak langsung, pengajaran yang diberi dapat membantu memperkukuhkan hubungan antara generasi muda dengan warisan keagamaan mereka.

Pada hari terakhir, para pelajar dibawa ke Wisata Bukit Matahari untuk meneruskan aktiviti pembinaan bank sampah bersama warga desa. Aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran penduduk kampung tentang pentingnya pengasingan bahan kitar semula dan membangunkan sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar di kalangan penduduk kampung, serta mempromosikan amalan kelestarian yang berkekalan iaitu amalan konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

IMG ()
Proses pembinaan bank sampah
photo
Hasil pembinaan tong bank sampah oleh pelajar UTM dan pihak UNAIR

Program Go East Java melabuhkan tirainya tepat pada jam 4.00 petang dengan kata alu-aluan pengacara majlis diikuti dengan penyampaian cenderamata kepada pihak Dusun Mendiro oleh pengarah program, saudara Muhamad Maliki Siron dan turut hadir sama ialah Cik Fatin Batrisyia Jihat Ahmad selaku pembantu penasihat program.

Disajikan pula dengan persembahan tradisional jawa iaitu tarian barongan yang diketuai oleh warga desa dan persembahan dikir barat serta tarian zapin oleh pelajar UTM. Sebagai tanda penghargaan kepada penduduk tempatan, pembahagian sembako diedarkan kepada penduduk warga desa di pengakhiran majlis.

IMG ()
Pengagihan sembako kepada warga penduduk tempatan

Penganjuran Go East Java tidak hanya memberikan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kepakaran mereka dalam lingkungan masyarakat yang sebenar memperluaskan pengalaman akademik mereka, tetapi juga memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang keperluan masyarakat serta meningkatkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dari kedua-dua negara.

Dengan demikian, ia tidak hanya menjadi satu pengalaman yang berharga bagi peserta, tetapi juga membawa manfaat yang berkekalan dalam pembangunan pendidikan dan masyarakat.

IMG ()
Barisan kru program diiringi oleh pengetua KTC dan pembantu felo penasihat program
Disediakan oleh: Hanis Farzana Binti Mohammad Hizam, Nur Haziqah Nadiah Binti Abd Jamil, Muhamad Maliki bin Siron & Dr Fatin Afiqah binti Md Azmi

Explore More