April 28, 2024

Search
Close this search box.
IMGL

UTM perkukuh kerjasama bersama agensi Sarawak

SARAWAK, 6 Feb.Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kuching, Sarawak dari 3 hingga 6 Februari bagi memperkukuhkan kerjasama strategik dengan beberapa agensi di Sarawak. Sehingga kini, UTM telah menjalinkan kerjasama aktif bersama agensi Sarawak seperti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) dan Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS). Antara bidang tumpuan kerjasama tersebut adalah berkaitan penyelidikan dan inovasi, serta perundingan dan pembangunan bakat TVET, khasnya dalam bidang kejuruteraan, tanah dan ukur.

Kerjasama UTM dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS)

Kerjasama antara UTM dengan JTS telah pun lama terjalin sejak beberapa tahun lalu terutama dalam bidang perundingan, penyelidikan kontrak serta peningkatan modal insan hingga ke peringkat Sarjana. Untuk rekod, suatu Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua belah pihak telah dimeterai pada September 2021 dengan disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak.

n
Pemeteraian MOU UTM dan JTS pada September 2021.

Rentetan daripada MoU ini, UTM-JTS memulakan inisiatif penubuhan makmal satelit yang merupakan makmal pertama seumpamanya yang ditubuhkan antara JTS dan institusi di Malaysia. Makmal satelit ini merupakan pemangkin kepada pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan perundingan secara komprehensif buat kedua-dua belah pihak.

Bermula Oktober 2023, kerajaan Sarawak bersetuju menyalurkan dana untuk Geran Kursi Premier Sarawak yang dapat menyuburkan lagi 13 projek penyelidikan yang telah dikenal pasti, serta perancangan peningkatan bakat para staf JTS. Selain itu, seramai 15 orang staf JTS didaftarkan untuk mengikuti program Sarjana Kejuruteraan Geomatik Pesisir yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.

IMGL
Delegasi UTM bergambar bersama Pengarah Tanah & Survei Sarawak  dan pegawai-pegawai Kanan JTS di Menara Pelita, Ibu Pejabat JTS.

Naib Canselor bersama delegasi turut berkesempatan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi mengukuhkan kerjasama yang telah terjalin. Delegasi UTM telah disambut mesra oleh YBhg. Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak bersama pegawai-pegawai kanan JTS.

IMGL
Naib Canselor dan delegasi diberi taklimat berkaitan operasi Pusat dan Stesen Data CORS di seluruh negeri Sarawak yang mendapat kerjasama penuh daripada Pakar UTM.

Delegasi UTM dibawa melawat Pusat Data Continuously Operating Reference Station (CORS), iaitu sistem kadastar moden berpaksikan geosentrik untuk seluruh Sarawak. Pusat CORS ini mendapat sentuhan kepakaran UTM daripada pensyarah dan penyelidik Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU).

Kedua-dua pihak juga bersetuju agar kerjasama strategik perlu sentiasa diteruskan pada masa hadapan. Antaranya pemerkasaan fungsi Makmal Satelit UTM-JTS, berkonsepkan quadruple atau quintuple helix yang melibatkan universiti, agensi, industri, negeri dan komuniti. 

IMGL
Perbincangan strategik dua hala UTM dan JTS.

Kerjasama UTM dan Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS)

Dalam pada itu, UTM menerima jemputan khas ke Upacara Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bersempena dengan Majlis Konvokesyen ke-8 CENTEXS di Santubong, Sarawak.

Pertukaran dokumen MOU ini dilaksanakan dengan UTM diwakili oleh Naib Canselor manakala CENTEXS diwakili oleh YBhg. Dato Haji Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS dengan disaksikan oleh YAB Premier Sarawak.

IMGL
Pertukaran dokumen MOU antara Naib Canselor, UTM bersama Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS dengan disaksikan oleh YAB Premier Sarawak.

MoU ini hasil usaha strategik UTM melalui Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan FABU berkaitan pembangunan sumber manusia dan persetujuan menjalankan aktiviti pengajaran, penyelidikan serta perundingan bersama.

IMGL

CENTEXS Santubong merupakan lokasi aktiviti pembangunan bakat muda Sarawak melalui Geomatics Lab; yang mendapat usaha sama pelbagai rakan strategik termasuk kepakaran khusus daripada UTM dalam penyediaan modul latihan. 

 

Oleh Jaffrey Samsul Bahrin & Nurul Amrie Abdullah, Pejabat Naib Canselor, UTM

Explore More