April 28, 2024

Search
Close this search box.
RoBoKar

UTM menerajui pembangunan generasi muda ke arah celik digital

SEGAMAT, 7 Feb.– Pertandingan Kemahiran Pemikiran Komputasional: Pengaturcaraan Scratch dan Robotik daerah Segamat telah berlangsung selama dua hari bermula 6 hingga 7 Februari 2024 di Segamat Central Mall. Pertandingan ini merupakan anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Segamat dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pertandingan ini juga merupakan susulan daripada dua Knowledge Transfer Program (KTP) UTM di bawah kendalian pensyarah Fakulti Komputeran iaitu bengkel Kemahiran Pemikiran Komputasional Menggunakan Pengaturcaraan Scratch dan Robotik diketuai oleh Dr Ahmad Najmi Amerhaider Nuar yang telah dianjurkan pada 13 September 2023, dan bengkel Pengaturcaran Robotik diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Dayang Norhayati Abang Jawawi yang telah dijalankan pada 17-18 September 2023.

img
Para VIP diiring oleh Timb. Dekan Penyelidikan & Inovasi, PM Dr. Siti Zaiton melihat projek Scratch yang dibangunkan oleh pelajar

Pertandingan dan bengkel yang telah dijalankan ini menyokong inspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk mempersiapkan pelajar sekolah dengan kemahiran dan pengetahuan yang sangat diperlukan dalam era digital masa kini, serta memberi pendedahan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) yang kian berkembang.

Pertandingan Kemahiran Pemikiran Komputasional ini melibatkan 48 buah kumpulan yang terdiri daripada sekolah rendah dan sekolah menengah. Seramai 92 orang pelajar sekolah rendah daripada 23 buah sekolah, dan 100 orang pelajar daripada 25 buah sekolah menengah telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

img
Pelajar sedang bertungkus lumus dalam menyiapkan projek RoboKar mereka.

Pertandingan ini bertujuan untuk melatih pelajar dalam membangunkan permainan komputer dengan menggunakan aplikasi Scratch. Bagi peringkat sekolah rendah, setiap kumpulan telah membangunkan aplikasi permainan mengikut tema yang diberikan iaitu kereta api, alam sekitar dan pertanian. Kriteria penilaian adalah berdasarkan inovasi, kreativiti, dan aplikasi pemikiran komputasional. Pelajar juga diberikan masa 10 minit untuk membentangkan projek mereka kepada penilai dari industri. Pertandingan ini juga turut mempertandingkan beberapa kategori anugerah seperti projek terbaik, anugerah pembentangan terbaik, anugerah pemindahan pengetahuan komuniti UTM, dan anugerah idea paling inovatif.

IMG
Pelajar Sekolah Rendah Agama Bersepadu Segamat (SRAB) memenangi anugerah bagi kategori Projek Inovasi Terbaik.

Bagi kategori sekolah menengah pula, penganjuran pertandingan ini adalah untuk menguji penyelesaian masalah yang dibangunkan oleh pelajar sekolah melalui atur cara mengawal pergerakan robot “RoboKar” atas litar yang disediakan oleh pihak penganjur UTM. Bagi setiap peringkat, cabaran berbeza disediakan untuk menguji kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran komputasional pelajar. Sepertimana pertandingan Scratch, pertandingan RoboKar juga dinilai dari segi pemikiran komputasional, inovasi, kreativiti dan kerja berpasukan. Melalui pertandingan ini, pelajar mampu mengasah cara penyelesaian masalah mereka disamping melatih kemahiran insaniah untuk memperkayakan kemahiran generik pelajar.

 

Bagi penyertaan peringkat sekolah menengah beberapa anugerah seperti  anugerah kandungan kreatif, anugerah kerja berpasukan, anugerah pembelajaran Micro Credential paling aktif, anugerah pemikiran komputasional, anugerah pemindahan pengetahuan komuniti UTM dan anugerah Tiktok paling viral juga turut dipertandingkan.

IMG
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (LKTP) Pemanis dinobatkan sebagai Johan

Majlis pembukaan pertandingan ini disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Tuan Hj Abdul Rahman Kechik, juga disaksikan oleh wakil Parlimen Segamat, Parlimen Sekijang dan Parlimen Labis. Pertandingan kali ini melibatkan lima industri ternama iaitu Intel, YouthVenture, EVMedia, CoolCode dan AKMaju Resources sebagai pengadil pertandingan yang seterusnya menyumbang kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR) industri.

Explore More