Mei 22, 2024

Search
Close this search box.

Kembara delegasi pejabat TNCPI UTMKL di bumi Jepun

JEPUN, 29 Jan. – Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (JTNCPI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah mengambil inisiatif menjejakkan kaki mengembara ke  negara matahari terbit, Jepun bagi merasai dan mendalami ekosistem, etika dan budaya kerja di luar negara. Delegasi yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Zaki, Pengarah Pentadbiran membawa bersama 16 orang staff pejabat TNCPI, UTMKL bagi turut serta menerima pendedahan “experience learning” ini secara langsung. Osaka University, Kindai University dan syarikat NSK Limited dipilih sebagai detinasi untuk dilawati dan menjalankan aktiviti jaringan dan strategik.

Lawatan ke Makmal Solid Mechanics Subarea dan Makmal Combustion Engineering Subarea, Osaka University

Osaka University yang mengamalkan konsep global knowledge partners toward dynamic and sustainable partnership dalam budaya kerja mereka menjadi destinasi pertama pilihan delegasi dari UTM. Kedatangan delegasi UTM disambut baik oleh Prof. Fujita Kiyoshi, Director of International Relation Centre in Graduate School of Engineering.

Lawatan ke makmal Solid Mechanics Subarea yang kini aktif dalam bidang penyelidikan dan inovasi pembuatan mesin analisis penyelidikan melibatkan teknik scanning electron-induced acoustic microscope (SEAM) bersama industri, dan makmal Combustion engineering subarea, sebuah makmal yang telah mendapat pengiktirafan sebagai makmal nasional menjadi pengalaman yang membuka mata. Makmal-makmal ini merupakan aset negara Jepun bagi penyelidikan berkaitan tenaga yang boleh diperbaharui dengan menggunakan biojisim dan pembakaran ammonia. Pencapaian Osaka University dalam penubuhan  99 Joint Research Labs hasil jalinan kerjasama dengan industri menjadi pemangkin semangat untuk UTM terus menggiatkan usaha menjalinkan hubungan bersama industri bagi mendapat manfaat yang sama seperti Osaka University rasai.

Delegasi UTM bersama Prof. Dr. Takaomi Matsutani dan Prof. Dr. Nishiyabu Kazuaki di Kindai University

Destinasi kedua, Kindai University atau dulunya dikenali sebagai Kinki University merupakan universiti yang dilengkapi dengan fasiliti dan kemudahan akademik yang moden dan bertaraf antarabangsa. Prof. Dr. Takaomi Matsutani dan Prof. Dr. Nishiyabu Kazuaki menyambut delegasi UTM dan memberi perkongsian tentang program universiti, pencapaian universiti dan hala tuju universiti. Fasiliti “The Garage” yang merupakan hub inovasi atau pusat keusahawanan yang dilengkapi dengan ruang pameran, kawasan kerja bersama dan bengkel berjaya menarik perhatian rombongan dari UTM. Fasiliti memukau yang ditubuhkan bertujuan untuk membantu bakal usahawan yang terdiri daripada pelajar, penyelidik dan komuniti setempat ini menawarkan program jaringan, program bimbingan dan peluang pembiayaan .

Antara koleksi gambar ketika lawatan ke The Garage, Kindai Universiti            

Peluang melawat makmal Joint Research Centre (JRC) yang disokong dengan penggunaan peralatan saintifik berteknologi terkini dan moden yang telah ditubuhkan dengan matlamat untuk memudahkan kemajuan penyelidikan dan pendidikan natural science di Kindai University juga tidak dilepaskan. Bibliotheater Kindai merupakan kemudahan atau ruang yang direka untuk mempromosikan aktiviti kesusasteraan, seni dan budaya yang dilengkapi dengan perpustakaan, teater, kemudahan bagi mengadakan program kebudayaan selain menjadi tempat penglibatan masyarakat setempat. Perpustakaan ini mampu menempatkan lebih kurang 70,000 koleksi manga iaitu komik dan novel keluaran Jepun yang luar biasa.

Delegasi UTM bersama Dr. Izyan Iryani, Timbalan Pengurus kumpulan Penyelidikan Ketahanan Bahan NSK Ltd (alumni UTM).

Kemuncak kepada Program GOP ini ialah lawatan ke NSK Limited (NSK Ltd.) yang merupakan salah sebuah syarikat pengeluar utama bearing di peringkat global dan pengeluar terbesar di Jepun. Produk yang dikeluarkan adalah bearing jentera perindustrian, jentera dan perkakasan ketepatan, serta bearing automotif dan komponennya. Delegasi disambut oleh empat orang alumni MJIIT UTM yang diketuai oleh Dr. Izyan Iryani, Timbalan Pengurus kumpulan Penyelidikan Ketahanan Bahan dan terus dibawa ke bilik pameran kilang yang terbahagi kepada dua seksyen. Seksyen pertama berkisar tentang pengenalan dan sejarah NSK Limited manakala seksyen kedua memaparkan aplikasi dan contoh produk bearing dalam industri yang dihasilkan seperti, bearing yang dihasilkan untuk shinkansen dari pembuatan pertama hingga yang terkini. Delegasi ini juga turut dibawa melawat makmal-makmal analisis di bawah Jabatan Penyelidikan dan Inovasi iaitu Makmal Simulasi Kegagalan dan juga Makmal Bahan.

Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Zaki dan Dr. Wira Jazahir bersama barisan alumni UTM yang kini berkhidmat di NSK Ltd.
Dr. Izyan Iryani memberi penerangan mengenai sistem bearings Shinkansen pembuatan NSK Ltd

Program GOP Jepun ini berjaya menjadi penyalur ilmu dalam meluaskan horizon pemikiran dan memberikan pelbagai pengalaman budaya bagi menghadapi cabaran-cabaran global dalam persekitaran luar negara yang sebenar. Program ini menjadi platform hubungan kerjasama untuk mempromosikan UTM dan membuka peluang staf teknikal makmal untuk bertukar pandangan mengenai amalan terbaik yang dapat diaplikasi di makmal UTM. Hasrat untuk menempatkan staf UTM untuk menimba ilmu melalui program sangkutan di ketiga-tiga entiti tersebut telah disuarakan dan diharapkan melalui program ini ia dapat menjadi batu loncatan bagi peluang kolaborasi penyelidikan di antara UTM dengan Osaka University, Kindai University dan NSK Limited.

 

Disediakan oleh : Amy Zuria Binti Abdul Ajid dan Nurul Azwa Mohd Yunus

Explore More