Mei 6, 2024

Search
Close this search box.
Amanat TNCP

Bicara aspirasi TNCP menyeru warga JTNCP bergerak senada bersama

JOHOR BAHRU, 15 Feb. – Amanat pemimpin saban tahun menjadi satu wahana utama dalam menyampaikan hala tuju dan hasrat kepada warga kerja bagi sesebuah jabatan. Begitu juga halnya di Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM melalui penganjuran Bicara Aspirasi TNCP: Anjakan Minda yang berlangsung baru-baru ini di Dewan Senat Ainuddin Wahid, UTM Johor Bahru dengan siaran lintas langsung di Dewan Jumaah, UTM Kuala Lumpur.

Program ini menjadi wadah kepada Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, dalam menyampaikan hasrat dan hala tuju bagi memastikan gerak kerja dan sasaran tahun 2024 dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh warga jabatan itu.

Amanat TNCP
Prof. Dr. Edy Tonnizam (tiga dari kiri) bersama ketua setiap unit di bawah JTNCP

Sesi wacana ini bersama Prof. Edy berkisar tentang matlamat strategik yang ingin dicapai, gerak kerja perancangan yang telah direncanakan, pencapaian yang telah dicapai oleh warga JTNCP selama 9 bulan di bawah kendalian beliau dan hala tuju seterusnya bagi tahun ini.

Prof Edy menegaskan kejayaan yang dicapai oleh JTNCP selama 9 bulan belakangan ini bukan hasil usaha beliau seorang sahaja, tetapi juga berkat kerja keras semua insan yang bernaung di bawah jabatan berkenaan. Bicara aspirasi yang dimulakan dengan tayangan persembahan orkestra menjadi analogi Prof Edy di mana setiap alat dalam persembahan orkestra mencerminkan unit-unit di bawah JTNCP.

Beliau berkata, “Seperti persembahan orkestra yang disajikan kepada kita sebentar tadi, anggaplah setiap alat itu mencerminkan setiap unit di bawah JTNCP. Semua harus bergerak senada bagi mencapai hasrat dan aspirasi yang telah diamanahkan kepada kita selagi hayat dikandung badan.”

IMG
Suasana sekitar Bicara Aspirasi TNCP

Dua matlamat strategik yang ditekankan dalam amanatnya berkaitan perkhidmatan cekap dan strategik serta penjanaan pendapatan yang maksimum menggunakan aset sedia ada yang dimiliki oleh Universiti ini secara optimum. Perkhidmatan yang cekap dan strategik yang dimaksudkan ialah menjalankan gerak kerja dengan lebih teratur berdasarkan strategi kerja yang telah ditetapkan.

“Kita di UTM mempunyai banyak aset yang boleh digunakan sebagai sumber penjanaan Universiti.  Namun, masih banyak aset yang kita ada tetapi tidak digunakan untuk menjana pendapatan yang maksimum. Tapi saya yakin, dengan usaha dan kerja keras semua unit di bawah JTNCP kita mampu untuk menjana semaksimum mungkin melalui aset yang kita miliki,” kata Prof. Edy.

Beliau juga berharap agar tekad ini disambut baik oleh semua warga JTNCP bagi memastikan semua aspirasi dapat dicapai dengan jayanya.

Amanat TNCP
Warga JTNCP yang hadir bersama dalam Bicara Aspirasi TNCP

Memetik temu bual beliau bersama UTM Newshub semasa awal pelantikannya sebagai Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), dua fokus utama Prof Edy iaitu memperkasa tadbir urus, responsif demi fungsi yang lebih berkesan dan mengangkat agenda kelestarian, kekal mampan menjana pendapatan. Menurut beliau, kedua-dua fokus tersebut telah dimulakan dan sedang giat dilaksanakan.

“Saya mahukan JTNCP menjadi jabatan yang akan mengotakan apa yang telah dijanjikan kepada universiti,” ujarnya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada unit-unit di bawah naungan JTNCP yang telah menjalankan fungsi secara berkesan. Ucapan penghargaan tersebut diberikan kepada semua keluarga JTNCP UTM di ketiga-tiga kampus.

“Dapat dilihat ketika majlis terbesar Universiti dijalankan, iaitu Majlis Konvokesyen ke-67, semua warga JTNCP berkerja keras untuk memberikan yang terbaik. Ada yang bertugas hingga ke lewat malam dan sanggup berhujan.”

Sekiranya semua fungsi jabatan berjalan dengan baik maka jentera pentadbiran dan pengurusan universiti boleh digerakkan dengan lebih bersepadu, berfokus dengan berpaksikan tatakelola di samping menangani lakuna yang ada dalam menyokong pelaksanaan Pelan Strategi enVision UTM 2025.

“Pencapaian terbaik yang ingin saya kongsikan ialah kita telah berjaya menurunkan kadar penggunaan elektrik sebanyak 14% dan penggunaan air sebanyak 22%. Unit kontrak juga telah berjaya menurunkan kes sebanyak 20%. Walaupun kelihatan kecil tetapi small success seperti inilah yang perlu kita raikan bagi meningkatkan lagi motivasi bagi mencapai kejayaan yang lebih besar,” ujarnya.

Prof. Edy yang juga menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (TNCHEPA) memberikan cabaran buat barisan Majlis Perwakilkan Pelajar (MPP) yang terbaru iaitu untuk menurunkan kadar penggunaan elektrik sekurang-kurangnya 22% melalui kempen di seluruh kolej kediaman mahupun fakulti. Beliau berharap cabaran ini disahut dan mendapat respon yang baik dari pihak MPP sendiri. Bagi beliau, sinergi antara JTNCP, JTNCHEPA dan pelajar sangat vital bagi memastikan segala hasrat universiti dapat dicapai dengan jayanya.

Amanat TNCP
Prof. Dr. Edy Tonnizam bersama seluruh warga Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan)

Segala usaha pihak JTNCP dalam mengangkat agenda kelestarian dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) mendapat pengiktirafan antarabangsa dan merupakan antara institusi teratas yang menyokong matlamat ini. Kejayaan memperkenalkan kenderaan elektrik seperti basikal elektrik dan mengalakkan perkongsian kenderaan selain bas di dalam universiti seperti “Kumpool” membantu mengurangkan jejak karbon dalam universiti dan menjadikan UTM sebagai universiti lestari ke arah sifar karbon.

“UTM mempunyai banyak tempat cantik dan menarik yang wajar diperkasakan dan dibangunkan untuk dijadikan kawasan pelancongan. Seperti balai cerap yang dahulunya menjadi tempat cerapan bulan dan aktiviti stargazing, boleh hidupkan semula dengan menyediakan fasiliti yang cukup dan boleh dijadikan antara tarikan semasa pesta konvo akan datang”

Beliau berharap agar setiap warga JTNCP mengekalkan prestasi dan terus konsisten untuk membawa dan sama-sama mengangkat JTNCP mencapai matlamat sepenuhnya. Selain itu, beliau juga berpesan agar segala kejayaan yang dikecapi ini menjadi pemangkin semangat setiap warga JTNCP untuk meraih lebih banyak kejayaan bersama pada masa hadapan.

Oleh Aimi Dayana Jairen, Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat

Explore More