Mei 6, 2024

Search
Close this search box.
A

JOHOR BAHRU, 20 Feb. Ahli Majlis Profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berhimpun buat julung kalinya dalam suatu Majlis Ramah Mesra Naib Canselor bersama Warga Profesor UTM di Bilik Jamuan, Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru, disini hari ini.

Majlis seumpama ini menjadi suatu wadah dalam menghimpunkan ahli Majlis Profesor Universiti (MPU) yang juga merupakan ilmuwan UTM yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang masing-masing.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dalam ucapannya berkata, “Penubuhan Majlis Profesor UTM ini bertujuan untuk menggembleng minda terbaik di UTM supaya boleh membantu Universiti melonjak ke satu tahap yang lebih tinggi.”

Menurutnya lagi, Profesor di universiti perlulah mempunyai WOW factor’ yang dapat menjadikan mereka unik dan boleh dijadikan pakar rujuk bagi sesuatu perkara.

A
Prof. Datuk Ahmad Fauzi sewaktu berucap ketika Sesi Ramah Mesra tengah hari tadi.

“‘WOW factor’ ini juga boleh menjadi pendorong kepada para sarjana untuk berfikir di luar kotak, tanpa dibatasi oleh sesuatu yang boleh merencat pengembangan dan peluasan ilmu pengetahuan,” tambah beliau.

Namun, dengan kadar peratusan bilangan Profesor di Universiti ini sebanyak 9.4% daripada ahli akademiknya, UTM dilihat masih berada pada kadar yang rendah berbanding Universiti Penyelidikan (RU) lain di negara ini.

A
Sesi dialog antara ahli Majlis Profesor yang hadir bersama Naib Canselor dan Pengerusi MPU.

Melihat akan keadaan ini, Prof. Datuk Ahmad Fauzi berpendapat ahli-ahli MPU mampu membimbing ahli akademik untuk menyertai barisan Profesor sedia ada di Universiti ini  dengan kualiti kesarjanaan yang tinggi.

“Jadi, saya berharap ahli-ahli MPU dapat bertindak sebagai pembimbing atau mentor kepada staf akademik lain untuk membina kapasiti dan kesarjanaan mereka supaya mereka dapat mencapai tahap kualiti profesor yang disegani.

“Saya ingin melihat Majlis Profesor UTM yang dipimpin Prof Mazlan ini bergerak sebagai satu suara yang mewakili Profesor UTM dalam menyuarakan pendapat, memberikan idea dan menjayakan projek-projek utama UTM,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Profesor UTM, Prof. Sr. Gs. Dr. Mazlan Hashim pula dalam ucapannya menyampaikan hasrat agar lebih banyak wacana yang melibatkan warga Profesor UTM bagi menggerakkan inisiatif bagi merealisasikan objektif strategi MPU.

A
Prof. Mazlan sewaktu berucap pada pembukaan sesi berkenaan.

“Saya berhasrat untuk mengadakan lebih banyak wacana dalam kalangan ahli MPU yang boleh menyumbang kepda pembangunan Universiti, masyarakat dan industri,” ujar Prof. Mazlan.

Untuk rekod, Majlis Profesor UTM dianggotai seramai 128 orang Profesor. Berdasarkan jumlah ini pula kesemua Exco MPU dan beberapa ahli lain merupakan Ahli Majlis Profesor Negara (MPN) dan menyandang jawatan penting di peringkat Kluster di MPN seperti Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir selaku Ketua Kluster Tekonologi Maklumat dan Komunikasi dan Prof. Ir. Dr. Haslenda Hashim selaku Setiausaha Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar.

A
Sesi Ramah Mesra mendapat sambutan yang baik daripada ahli MPU.

Dalam pada itu, Prof Dr Nordin Yahaya dan Prof Ida Idayu Muhammad merupakan Ketua serta Setiausaha Kluster Sains, Teknologi dan Inovasi (STI). Manakala, Prof Dr Zaidatun Tasir merupakan Ketua dan Felo Kluster Pendidikan & Pembangunan Insan di Akademi Profesor Malaysia (APM).

Explore More