Mei 1, 2024

Search
Close this search box.

Membangunkan “Intellectual Capacity” di UTM jadi fokus utama JTNCPI untuk 2024

JOHOR BAHRU, 20 Feb. – “Sejak 2021 kita telah pun melaksanakan agenda penyelidikan dan inovasi di UTM berpandukan kepada Blueprint R&D 2025 yang telah dibangunkan hasil dari pemikiran, idea dan kerjasama daripada ahli akademik dan staf PPP. UTM merupakan satu-satunya universiti awam yang mempunyai Blueprint R&D.”

Begitulah kata-kata pembukaan yang dilontarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) – TNCPI, YBrs Prof. Dr. Rosli Md. Illias membuka bicara dalam Amanat Tahun 2024 pagi ini.

Tema “Kematangan Ekosistem – Transformasi Budaya – Komuniti Berilmu” menjadi pilihan Jabatan TNCPI bagi menyampaikan hala tuju serta fokus bagi menjayakan inisiatif strategik tahun 2024 sebagai satu pasukan.

Mencatat kehadiran seramai 1540 staf secara fizikal dan dalam talian, amanat yang berlangsung selama dua jam ini antara lain menyentuh tentang pencapaian tahun 2023 yang memberangsangkan terutamanya dalam pencapaian MyRA.

“Selama 3 tahun berturut-turut, UTM telah berjaya menjadi Universiti Penyelidikan yang mendapat markah MyRA tertinggi dalam kalangan kelima-kelima RU. Bahkan, pada tahun lepas UTM berjaya memperolehi markah yang tertinggi yang pernah dicatatkan semenjak kita menjadi RU 13 tahun yang lalu.”

Prof. Rosli juga menyeru  semua warga UTM untuk bersama menyumbang dan mewujudkan “ekosistem” yang sihat dalam membangunkan “Intellectual Capacity” dalam konteks Penyelidikan dan Inovasi Universiti.

“Dalam konteks R&D, adalah penting bagi UTM bukan sahaja melahirkan atau membangunkan ‘Intellectual Capacity’ tetapi juga apa yang dipanggil sebagai ‘Social Capacity’. Membangunkan hubungan dan kerjasama sesama penyelidik dan staf, kerjasama intelektual  begitu juga keupayaan kewangan merupakan tunggak kehebatan pada masa hadapan,” kata beliau.

Beliau juga turut menyeru semua untuk berfikir dan bertindak melangkaui (beyond) instrument MyRA dalam memperkasa budaya ‘Kecemerlangan Keilmuan’ dan pembangunan anak bangsa.

“Bagaimana hendak kita jadikan UTM ini tempat apa yang dipanggil ‘Brain of the Nation’ seperti yang dinyatakan oleh YBM KPT  dalam pembangunan ketamadunan bangsa dan negara dengan nilai-nilai yang baik dan murni.”

“Universiti perlulah memainkan peranan yang penting di dalam pembangunan sosioekonomi sesebuah negara. Penyelidikan dan inovasi yang dilaksanakan perlulah selaras dan memenuhi matlamat dan aspirasi negara. Universiti perlu Fit The Purpose.”

Dalam menjayakan kesemua program yang dirancang, Prof Rosli turut menitipkan tiga resepi utama untuk penyelidikan dan pembangunan ke arah inovasi iaitu yang pertama ialah “Ilmu baharu”, kedua  “Manusia dan bakat yang berkeupayaan” dan ketiga “Persekitaran yang menggalakan inovasi dan keusahawanan”.

Antara inisiatif baharu yang mendapat sambutan baik warga UTM bagi strategi dan program yang akan dilaksanakan pada tahun 2024 ini ialah pewujudan dana bernilai RM 20 hingga RM 30 ribu bagi staf yang mempunyai pelajar pascasiswazah yang sedia ada; Program F4+ bagi bidang Sains Sosial; Sosial Tech Research di bawah Program Digitalisasi dan Dana Translasional untuk Sains Sosial.

“Di kesempatan ini, saya bagi pihak JTNCPI ingin mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada semua warga UTM termasuk warga penyelidik, warga PPP atas segala sumbang bakti yang telah diberikan sehingga UTM dikenali ramai dan di antara Universiti RU yang terhebat di Malaysia,” ujar beliau menutup bicara.

Rakaman penuh Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 boleh dicapai di https://fb.watch/qk6EMVuIAU/

 

 

Explore More