April 28, 2024

Search
Close this search box.
Geran KPM Fasa Peluasan Projek

UTM terajui pengaplikasian Teknologi Membran dalam Komuniti

JOHOR BAHRU, 1 Jan. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus diberi kepercayaan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menerajui penyelidikan teknologi membran termaju dalam bidang fokus teknologi watan melalui pemberian dua program dana penyelidikan baharu berjumlah RM14 juta.

Dua geran program penyelidikan ini adalah bagi pelaksanaan projek peluasan Fasa 2 pembekalan sistem air bersih terawat di sekolah-sekolah pedalaman berjumlah RM8,078,949.10 dan projek kelestarian dan naik taraf bagi 23 buah sekolah di Sarawak dan Sabah berjumlah RM5,921,050.90.

Kedua-dua program ini diketuai oleh Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail; Naib Canselor UTM, Ts. Mohd Sohaimi Abdullah dan Ts. Dr. Ng Be Cheer melalui Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC), UTM dengan kerjasama Bahagian Kewangan Kementerian Pendidikan Malaysia (BKEW). Kerjasama penyelidikan ini juga melibatkan kumpulan penyelidik dalam kalangan akademik, staf Pengurusan, Profesional dan Pelaksana dan teknikal daripada pelbagai bidang dan kemahiran bagi menjayakan program ini.

Geran KPM Fasa Peluasan Projek
Geran KPM Fasa Kedua Peluasan Projek.

 

Geran KPM Kelestarian & Naik Taraf
Geran KPM Kelestarian & Naik Taraf

Memandangkan isu bekalan air bersih di sekolah-sekolah pedalaman merupakan salah satu isu yang kritikal yang melibatkan taraf kesihatan dan keperluan harian, projek dicetuskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula pada tahun 2019 ini bertujuan untuk mencari penyelesaian masalah kepada isu pembekalan air bersih terawat di sekolah-sekolah berkenaan, peningkatan taraf hidup dan kesihatan murid dan guru di sekolah-sekolah berkaitan, peningkatan ilmu dan teknologi melalui pemindahan teknologi rawatan air bersih menggunakan teknologi membran hasil kajian penyelidik tempatan kepada warga sekolah serta dapat mempromosikan serta memperluas pengaplikasian pembangunan teknologi rawatan air bersih terawat hasil daripada kajian universiti tempatan bagi kesejahteraan rakyat secara khususnya.

Program bekalan air bersih ini juga merupakan salah satu program yang diiktiraf oleh Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), yang juga dikenali sebagai Matlamat Global, dan diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015 sebagai seruan universal untuk bertindak bagi menamatkan kemiskinan, melindungi planet ini, dan memastikan bahawa menjelang 2030 semua orang menikmati keamanan dan kemakmuran. Bagi program bekalan air ini, terdapat dua SDG yang terlibat iaitu SDG3 (Kesihatan dan kesejahteraan yang baik) dan Matlamat SDG6 (Kebersihan air dan sanitasi) kerana air bersih merupakan salah satu cabang penting yang telah diperakui dan perlu disediakan buat masyarakat setempat.

Peluasan fasa kedua projek ini dan projek kelestarian serta penaiktarafan menunjukan bahawa pelaksanaan program sebelum ini bagi 53 buah sekolah telah memberikan manfaat dan impak yang besar kepada warga komuniti sekolah-sekolah pedalaman secara khasnya. Inisiatif yang diusahakan oleh KPM dengan kerjasama UTM ini menjadi bukti dengan komitmen dan kerjasama kedua-dua pihak ini ia telah menjadi penanda aras bagi kejayaan program pembekalan air bersih di sekolah-sekolah pedalaman. Ia juga menjadi tanda dan bukti keprihatinan kerajaan kepada penyediaan kemudahan infrastruktur dan peningkatan taraf kesihatan di sekolah-sekolah pedalaman ini buat jangka masa panjang.

Explore More