Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

PAGOH, 2 Jan. − Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Forest Fine Foods (M) Sdn. Bhd. telah memeterai kerjasama melalui memorandum perjanjian (MoA) bagi membangun usahasama penyelidikan dan inovasi dalam bidang fermentasi mikroorganisma ke arah menyokong pertanian lestari.

Pemeteraian kerjasama ini yang dilaksanakan di UTM Kampus Pagoh telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias dan Pengarah Urusan Forest Fine Foods (M) Sdn. Bhd., Encik Chew Swee King sambil disaksikan oleh Penasihat Teknikal syarikat berkenaan, Encik Chong Kwai Hoong.

Menurut Prof. Dr. Rosli, kerjasama ini dijangka akan membawa sinergi baharu dalam industri biopemprosesan mikroorganisma yang akan memberi nilai pulangan komersial yang tinggi. Kerjasama ini tidak hanya menitikberatkan pada perkongsian maklumat strategik, pembangunan kompetensi staf, dan teknologi biompemprosesan, malah ia juga merangkumi pembangunan inovasi termaju dan lestari bagi menyokong industri pertanian dalam era global yang kompetitif.

Tambah beliau, “Melalui kerjasama strategik ini yang telah digerakkan Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing (ICA) di UTM Kampus Pagoh, sebuah makmal satelit dengan kolaborasi UTM dan Forest Fine Foods (M) Sdn. Bhd. akan ditubuhkan dan berpusat di UTM Kampus Pagoh.

Makmal satelit ini akan menjadi teras dalam meningkatkan aktiviti penyelidikan dan inovasi secara bersama dalam menghasilkan potensi produk baharu berasaskan mikroorganisma khususnya dalam penghasilan variasi produk baja organik yang bersifat lebih lestari melalui khidmat nasihat barisan kepakaran penyelidik UTM.

Dengan dana penyelidikan yang akan disalurkan oleh Forest Fine Foods (M) Sdn. Bhd. dijangka akan meningkatkan aktiviti penyelidikan di makmal satelit ini serta membuka lebih banyak peluang kerjasama penyelidikan antara kedua-dua entiti.

Hasil kerjasama ini merealisasikan agenda penyelidikan dan pengkomersialan selaras dengan UTM Research & Innovation Blueprint 2025 untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi bagi memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Pengarah UTM Kampus Pagoh, Prof. Ts. Dr. Safian Sharif, Pengerusi Research Alliance (Health and Wellness), Prof. Ir. Ts. Dr. Roshanida A. Rahman, Pengarah Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU), Prof. Ir. Ts. Dr. Sheikh Ahmad Zaki Sheikh Salim serta Timbalan Pengarah Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN), Dr. Sabrinah Adam.

Explore More