Mei 3, 2024

Search
Close this search box.
TREK

JOHOR BAHRU, 13 Jan. – Kecemerlangan 35 pelajar-pelajar kursus UKQF2572 dan ULRF2782 (Trekking) di bawah penyeliaan tenaga pengajar, Ts. Dr. Nur Fadilah Darmansah terserlah apabila dinobatkan sebagai kursus terbaik menerusi Anugerah Best of the Best bersempena Program Community Engagement Showcase & Co-Curriculum Carnival 3.0 (CESCO 3.0) 2024.

Di samping itu, kursus ini turut merangkul Anugerah Reruai Terbaik di samping meraih tempat ketiga bagi Anugerah Pembelajaran Servis.

Kecemerlangan yang dicatat merupakan hasil daripada pelaksanaan aktiviti Program Kembara dan Pemindahan Ilmu di Mukim Ulu Cheka, Jerantut, Pahang.

TREK
 Pelajar UKQF2572 dan ULRF2782 bergambar bersama bunga raflesia.

Aktiviti yang berlangsung dari 30 November sehingga 1 Disember 2023 itu menyaksikan penglibatan jawatankuasa penduduk di tiga (3) kampung iaitu Kampung Koi, Kampung Perlok dan Kampung Bharu.

Aktiviti tersebut turut menerima sokongan padu dan jitu daripada Persatuan Pemandu Pelancong Mukim Ulu Cheka (PAMUC), Kelab Amanah Khazanah Lembah Benom, Balai Polis Ulu Cheka, Ahli Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung Ulu Cheka, dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang.

Menerusi aktiviti ini, semua pihak yang terlibat berganding bahu dalam melaksanakan inisiatif pembersihan laluan trekking dan memasang papan tanda di laluan bunga rafflesia di Trail Jenerih, Renggat dan Krau.

TREK
Inisiatif pembersihan laluan trekking dan memasang papan tanda di laluan bunga rafflesia di Trail Jenerih, Renggat dan Krau oleh pelajar-pelajar UKQF2572 dan ULRF2782.

Selain itu, pelajar-pelajar turut memberikan perkongsian kepada penduduk Ulu Cheka mengenai asas trekking, pemasangan khemah dan asas pertolongan cemas sekiranya berlaku kecemasan.

Pelaksanaan program pembelajaran servis dan pemindahan ilmu ini merupakan sebahagian daripada strategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam melahirkan pelajar dan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan.

Oleh: Ts. Dr. Nur Fadilah Darmansah

Explore More