Mei 4, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

Sinergi UTM, Kolej Vokasional Langkawi semarak transformasi TVET

LANGKAWI, 16 Jan. – Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) bersama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program kerjasama dengan Kolej Vokasional Langkawi dalam usaha untuk mentransformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Program Inovasi dan Digital Lestari Siri-2 ini telah dilaksanakan pada 14 hingga 16 Januari 2024 untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang berbeza buat pelajar TVET di Kolej Vokasional Langkawi menerusi pembelajaran servis (service learning) berorientasikan projek inovasi.

WhatsApp Image at

WhatsApp Image at ()

WhatsApp Image at
Penuntut Sarjana Muda UTM sedang memberi bimbingan kepada pelajar Kolej Vokasional berkaitan pengaturcaraan (programming)

Program yang dilaksanakan selama tiga hari ini melibatkan 70 pelajar dan 14 pensyarah daripada pelbagai bidang TVET terutamanya dalam bidang teknologi/kejuruteraan elektrik dan elektronik.

Kolaborasi di antara UTM dan Kolej Vokasional ini telah mewujudkan satu ekosistem pembelajaran yang berimpak tinggi bukan sahaja untuk pelajar-pelajar Kolej Vokasional, malahan kepada pelajar-pelajar jurusan Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan di UTM.

Apabila melihat potensi di masa hadapan, visinya adalah jelas untuk memupuk generasi graduan TVET yang mahir dalam bidang teknikal, kreatif, kolaboratif dan berkembang dalam persekitaran pembelajaran yang autentik.

“Pelajar UTM perlu memainkan peranan penting dalam menerajui program-program SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) yang berfokus kepada kemahiran Inovasi. Secara tidak langsung, program ini memupuk pelbagai kemahiran insaniah bagi melahirkan seorang bakal guru TVET yang inovatif, berkemahiran tinggi dan berorientasikan masa hadapan,” ulas Timbalan Pengerusi UGS, Dr. Mahyuddin Arsat.

“Setiap tahun Sekolah Pengajian Prasiswazah komited menyediakan pelbagai bentuk kemudahan kepada pensyarah-pensyarah UTM termasuk dana pemula bagi merancang dan menjalankan projek Service Learning,” tambahnya lagi dalam ucapannya di sesi Majlis Perasmian Penutup.

WhatsApp Image at
Sebahagian pelajar Kolej Vokasional Langkawi yang mengikuti kelas Inovasi dan Digital Lestari

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Arsat dan Ahmad Najahalhayyi bin Zulkifli

Explore More